`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 26, 2023

6 tahun tragedi berlalu, pusat tahfiz operasi tanpa bantuan, akaun dibeku

 

Ismail Sabri Yaakob menyerahkan pek makanan kepada pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sempena program ‘Kongsi Rezeki Ramadan’. Turut hadir Pengetuanya, Zahid Mahmood (kiri). (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara terus beroperasi, walaupun enam tahun tidak menerima bantuan kewangan daripada pihak berwajib selepas tragedi kebakaran pada September 2017 yang mengorbankan 21 pelajar dan dua gurunya.

Keadaan bertambah teruk apabila akaunnya dibekukan sehingga kini kerana kes ibu bapa menyaman pusat tahfiz itu masih berterusan di mahkamah.

“Selain akaun dibekukan, kalau dulu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bantu kami, tetapi apabila kes 2018 (sekolah) disaman dan MAIWP disaman juga, jadi bantuan ditangguhkan sejak 2018 sehingga hari ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Tetapi, pengetuanya, Zahid Mahmood berkata, sekolah itu tidak menghadapi masalah beroperasi atas bantuan individu perseorangan.

Katanya, pusat tahfiz itu memerlukan kira-kira RM25,000 hingga RM30,000 untuk kos penyelenggaraan dan makan minum 30 pelajar pelbagai latar belakang.

“Kita bukan saja buat rayuan, tetapi kita berjumpa terus dengan pihak berwajib, cuma oleh kerana bukan rezeki kami, maka belum ada bantuan lagi.

“Tetapi, tidak ada masalah walaupun tempat kita tidak ada yuran pengajian dan tanpa dana pihak berwajib, Alhamdulillah sekolah boleh beroperasi.

“Sebab kalau Allah kata bagi, maka bagi kerana pengharapan kita bukan sesiapa…terus pada Allah,” katanya selepas menerima sumbangan kira-kira 100 pek makanan daripada bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob sempena program “Kongsi Rezeki Ramadan”.

Zahid berkata, tragedi hitam enam tahun lalu bukan penghalang untuk pusat tahfiz itu terus mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.

Katanya, ia menerima sehingga 200 permohonan, tetapi hanya dapat menampung 50 pelajar.

“Kita bukan tak mahu buka iklan, tetapi tidak berani. Apabila tiada tajaan, kita pun takut ada apa-apa berlaku masa depan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.