`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 26, 2023

Menteri jamin ayam cukup hingga Aidilfitri

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub menasihati peniaga mematuhi harga siling ayam ditetapkan kerajaan.

JOHOR BAHRU: Bekalan ayam mentah di seluruh negara dijangka mencukupi sehingga menjelang sambutan Aidilfitri akhir bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Justeru, beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan itu memandangkan data menunjukkan ia mencukupi sehingga tempoh perayaan akan datang.

Beliau sekali gus membidas dakwaan segelintir peniaga, mengenai bekalan ayam tidak mencukupi sebagai sebab menaikkan harga, yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku.

“Saya mendapat maklumat terperinci hari ini daripada Jabatan Veterinar, setelah KPDN berkongsi maklumat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

“Secara rasminya data menunjukkan bekalan cukup sehingga hari raya ini,” katanya selepas mengedarkan kurma kepada pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan Taman Perling.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pulai itu berkata setiap aduan dipandang serius KPDN, justeru jika perkara tersebut berlaku, rakyat dan peniaga diminta melaporkan kepada KPDN.

“Kerana kita bimbang (kalau ada) isu tempatan atau tempat-tempat tertentu, itu tidaklah menggambarkan tentang isu sebenarnya. Kadang-kadang, ada masalah di antara pembekal dengan peruncit, mungkin akibat daripada mereka lambat bayar ataupun bekalan tidak cukup, mungkin itu berlaku di tempat-tempat tertentu,” katanya.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDN diarahkan mengetatkan pemantauan sepanjang Ramadan sehingga selepas Aidilfitri, demi kebajikan rakyat.

“Nasihat saya kepada peniaga selagi kerajaan masih meletakkan harga kawalan atau harga siling bagi ayam iaitu RM9.40 (sekilogram), saya harap itu dipatuhi.

“Sekiranya mereka berhadapan dengan bekalan atau memerlukan bantuan daripada KPDN, kita sedia membantu,” katanya ketika menjawab dakwaan peniaga yang mengatakan harga naik kerana bekalan kurang di pasaran.

Media hari ini melaporkan terdapat kekurangan bekalan ayam segar hampir 30% di pasaran, menyebabkan kenaikan harga ayam tidak dapat dielakkan, dengan harga ayam di peringkat runcit dilaporkan naik kepada RM11 sekilogram sejak awal Ramadan dan dijangka terus meningkat sehingga RM11.50 dalam tempoh terdekat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.