`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 23, 2023

Marhaban ya Ramadan


Ramadan tiba lagi. Ini juga rezeki. Rezeki kerana jumpa Ramadan. Ada yang tidak sempat mendapat rezeki ini. Selain ibadat, bulan puasa mengajar kita untuk lebih berhemah dalam apa sahaja tindakan kita.

Tetapi realitinya ia sukar untuk diterjemahkan. Logiknya belanja kita boleh dikurang tetapi berlaku sebaliknya kerana asakan nafsu yang membuak setiap kali Ramadan.

Kalau mahu disenaraikan menu di bazar, tidak terbilang dibuatnya. Niat mahu membeli murtabak daging tetapi birat jari menjinjing ayam percik, briyani gam, sup “power” and serba manikam lagi.

Niat berjimat memang ada. Dengan kesempitan hidup yang semakin mencengkam, sepatutnya niat ini begitu murni untuk direalisasikan.

Kos sara hidup “versus” nasi mandy. Yang mana agaknya menang? Ternampak pula “live” di Facebook orang beratur membelinya. Tentu sedap! Entah godaan siapa, tiba-tiba anda dah ada dalam barisan panjang di gerai nasi Arab itu.

Niat paginya berbeza. Petangnya terbarai semua. Kita kalah lagi. Lalu menyalahkan harga makanan yang tidak masuk akal. Mana menu Rahmah?

Ramadan kali ini juga mengimbau kisah silam. Sejak hari pertama lagi, kami sudah membilang hari ke 1 Syawal. Kemenangan satu hal, satu lagi kemeriahan beraya. Duit raya, ketupat, dan lemang. Waktu itu tiada baju Melayu bulan bintang.

Tugas kami sebelum berbuka ialah membeli ais ketul di pekan. Air dibalut sekam padi atau habuk kayu menahannya daripada cair. Kami tidak punya peti ais tapi kalau tidak ada sirap ais di meja, boleh jadi berantakan ketika berbuka.

Ads by Kiosked

“Itu dulu,” kata generasi sekarang. Memang dulu hidupnya santai. Tidak punya harta tetapi hati lebih tenang berbanding sekarang, kalut mencari harta tetapi tidak pernah cukup untuk biaya iftar beratus ringgit.

Entah berapa lagi Ramadan yang sempat kita tempuhi. Kata ustaz, jangan sampai setiap kali habis Ramadan dosa kita tidak terampun, nauzubillah.

Kita doa gred ibadat kita sedikit meningkat pada bulan puasa kali ini. Kita doa menjadi antara yang terpilih berjumpa malam laylat al-qadr. Kita doa menjadi umat yang memberi manfaat kepada orang lain. Amin Ya Rob. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.