`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, March 22, 2023

Chris Rock dan kita

 



Saya “enjoy” habis menonton persembahan terbaharu Chris Rock tempoh hari. “Stand-up comedian” terkenal itu muncul 4 Mac lalu untuk Netflix Special yang bertajuk “Selective Outrage” atau kemarahan terpilih.

Seperti biasa persembahan Rock tidak mengecewakan. Tetap menarik, tajam, pedih, panas, dan pedas. Oh ya pastinya lucu. Untuk “Selective Outrage”, beliau bercakap mengenai “racism”, memanjakan anak-anak, keluarga Kardashians, and tentulah insiden membabitkan Will Smith pada upacara anugerah Oscar 2022 yang berlangsung pada 27 Mac tahun lalu.

Setahun selepas Smith melempang mukanya di khalayak ramai dan siaran langsung, Rock melancar serangan balas (dengan kata-kata) menerusi Netflix Special berkenaan.

Selain itu Rock bercakap juga mengenai keadaan “teruk” yang dialami Amerika Syarikat dewasa ini. Katanya ketagihan terbesar (the biggest addiction) di AS sekarang ialah “attention” atau perhatian. Masalah ketagih perhatian ini ada di negara kita juga. Lihat sahaja cara orang kita nak “viral” di media sosial. Macam-macam benda pelik ditonjolkan, kadangkala memualkan.

“Kita ketagih perhatian. Bagaimana nak dapat perhatian? Ada empat cara mudah,” kata Rock kepada kepada penonton. Lalu beliau menghuraikan dan saya sentuh cara keempat yakni acah-acah jadi mangsa atau “play victim”, katanya.

Ramai orang acah-acah mangsa. Orang tahu mereka bukan mangsa pun mengaku jadi mangsa. Seperti orang putih, menurut Rock.

“Sejak bila orang putih jadi mangsa? Orang putih betul-betul fikir mereka sedang kehilangan negara. Hilang kepada siapa? Bukan kepada kita (orang kulit hitam). Anda lihat apa yang berlaku semasa rusuhan Capitol? Orang putih cuba gulingkan kerajaan yang mereka sendiri tadbir. Macam berkata ‘kita mesti keluarkan mereka daripada pentadbiran’. Siapa? Kita.”

Rusuhan yang dimaksudkan ialah kejadian pecah masuk bangunan Capitol di Washington pada 6 Januari 2021 oleh ribuan penyokong Donald Trump, berkait kekalahannya pada pemilihan presiden AS 2020.

Kita pun pernah dan sedang mengalami apa yang Rock katakan. Untuk sekian lama kita dengar kata-kata “orang Melayu terancam, akan hilang negaranya sendiri”. Kepada siapa? Orang bukan Melayu? Bukankah negara ini ditadbir dan diurus oleh orang Melayu? Daripada tempat paling tinggi dan jawatan paling atas disandang orang Melayu.

Kita ada raja-raja Melayu, perdana menteri dan majoriti kakitangan kerajaan orang Melayu, jawatan ketua agensi terpenting digalas orang Melayu, tetapi Melayu masih kehilangan negara? Kepada orang bukan Melayu? Senada dengan apa yang Rock ceritakan di AS. Tidak begitu?

“Dakwaan Melayu-Islam terancam taktik pembangkang tutup keburukan sendiri – untuk menyelamatkan diri daripada keburukan yang mereka lakukan,” kata Dr Mahathir Mohamad pada 8 Mei 2019 semasa beliau menjadi perdana menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Hari ini Mahathir bukan lagi perdana menteri, malah bukan juga Ahli Parlimen, dan berkata beliau sekarang Melayu terancam, hilang kuasa politik, tidak ada kuasa ekonomi, dan oleh itu mesti diselamatkan. PAS dan Bersatu pula mengambil Islam dan dijadikan isu.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Ketua Penyelidik ilham Centre Yusri Ibrahim berkata “memang ada pihak-pihak yang cuba menyerang kerajaan menggunakan sentimen Melayu-Islam seperti pernah dilakukan sebelum ini.”

Kata beliau di Facebook, sama ada isu filem yang kontroversi, konsert artis luar negara, tauliah mengajar di masjid, mereka cuba kaitkan dengan polisi kerajaan perpaduan.

Izinkan saya menambah. Dakwaan kononnya orang Melayu khususnya anak muda sedang cuba dikristiankan. Ini taktik “favourite” pihak tertentu yang kita tahu siapa. Menurut Yusri, tujuannya untuk tunjukkan bahawa kerajaan perpaduan mempromosi agenda pemikiran liberal serta tidak mesra Islam. Ini katanya agenda politik untuk memperoleh keuntungan.

Sedangkan, kata beliau, “kelulusan filem kontroversi yang dimaksudkan, kelulusan penganjuran konsert artis luar negara dan sebagainya diluluskan sebelum kerajaan perpaduan lagi.”

Beliau menambah, “begitu juga tauliah untuk mengajar di masjid, kelulusan di bawah negeri masing-masing, bidang kuasa di bawah raja negeri-negeri.” Yusri memberi contoh Terengganu yang diperintah PAS. Ia juga tidak membenarkan sesiapa yang tiada tauliah mengajar di semua masjid yang diurus tadbir atau dikawal selia Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

“Semua ini perkara berkaitan pentadbiran yang biasa namun cuba dikaitkan untuk memburukkan wajah Malaysia Madani,” kata Yusri.

Lantas Yusri berpendapat kerajaan melalui Kementerian Komunikasi perlu mempergiatkan usaha penerangan untuk memberi kefahaman kepada rakyat berkaitan isu agama dan perkauman “yang cuba dihangkatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab”.

Bagi saya, selain itu rakyat sendiri mesti membezakan mana yang benar, mana yang fitnah dan dakyah.

Menurut Yusri sebarang usaha mensabotaj kestabilan politik dan sosial perlu diatasi segera menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada dan “jangan pernah berkompromi terhadap sebarang anasir yang menggugat ketenteraman dalam negara.”

Kata beliau, negara perlu berada dalam kestabilan politik dan sosial untuk membolehkan terus dimajukan ekonomi bagi kesejahteraan rakyat. Saya setuju.

Selamat menyambut Ramadhan, bulan penuh keberkatan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.