`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 9, 2023

Enam jangan buat para suami

 

Ada sebuah naskhah lama dari Sunda yang bagus untuk direnung oleh semua lelaki, baik lelaki itu doktor, guru, menteri, lebai atau polis. Naskhah ini juga baik untuk lelaki yang non-polis, non-doktor, non-guru, non-menteri, dan non-lebai. Naskhah Sunda itu ada pengaruh Arab, dan berjudul “Wa’asyiruhunna bil ma’ruf” yang mana isinya berisi banyak pengajaran dan nasihat untuk suami isteri dalam melayari bahtera rumahtangga yang sangat bergelora.

Naskhah berisi nasihat ini berbentuk nazam dengan pola metrum syair bahasa Arab. Ia dipercayai terkarang oleh seorang lelaki bernama Usman Ismail yang dikatakan mendiami kampung Citeureup, Bogor. Naskah ini dipercayai usai tertulis pada 25 Sept 1956 bertepatan 19 Safar 1376 Hijrah. Naskhah sedia ada ini merupakan naskah apograf, iaitu teks salinan stensilan daripada teks aslinya. Aksara yang digunakan pula adalah pegon dan bahasanya adalah bahasa Sunda.

Ada banyak nasihat dan pengajaran untuk lelaki dan perempuan yang berstatus suami dan isteri dalam naskhah ini. Akan tetapi saya begitu tertarik dengan bahagian di mana ditekankan kewajipan suami atau lelaki terhadap isterinya.

Jika saya rumuskan, dan turunkan dalam bentuk petua; terdapat enam jangan buat para suami yang elok dikongsikan mengambil semangat hari ini. Iaitu hari atau zaman lelaki dan perempuan itu dilihat mempunyai hak yang setara.

Pertama, pengarang nazam dalam “Wa’asyiruhunna bil ma’ruf” memesankan agar suami jangan mendatangkan keburukan kepada isterinya. Seorang suami hendaklah memberi sinar kepada isterinya setiap detik dan hari. Kiranya sang isteri berhak mendapat sinar harian daripada sang suami.

Kedua, suami jangan memilih berbuat baik itu buat isteri yang muda sahaja, tetapi merangkum buat isteri tua. Berbuat kejahatan itu dijangankan dan haram hukumnya buat yang muda ataupun tua. Ini kerana kita mesti mengingat pada zaman lalu, banyak ditemukan suami mengahwini anak gadis yang baru baligh (kahwin bawah umur) dan berbuat buruk kepada isteri muda ini. Maka pengarang memberi pesan jangan dianiayai isteri baik yang muda ataupun yang sudah lama dikahwini.

Ketiga, suami jangan berbuat tidak adil, yang menurut dalam naskhah “dalam perkara tidur dan nafkahnya”. Dalam erti kata lain, suami jangan memberikan wang saraan nafkah daripada sumber yang tidak halal. Misalnya janganlah kita suami memberikan makan keluarga duit hasilan
menunggang agama, duit memerah mafia dan samseng, atau duit korupsi. Ia juga mencakupi nasihat supaya jangan tidak adil terhadap isteri dalam perihal batin. Ini bermakna isteri jangan dibiarkan tidak digauli atau dalam bentuk galakan, hendaklah suami berkasih sayang dengan isteri. Janganlah suami memukul isterinya baik di kepala atau di leher, apatah lagi di muka. Pendek kata untuk kita di zaman moden ini janganlah dipukul isteri di mana-mana anggota badan baik dengan kayu, rotan, tangan; apatah lagi dengan alat keras yang tajam atau tumpul seperti kayu golf atau helmet.

Nazam juga mengingatkan buat seorang suami supaya jangan mencampuri isteri dengan buruk. Hal ini sangat berkait dengan peranan suami di tempat tidur, yang jika ingin bersama isterinya mestilah melakukan atau meminta dengan baik. Pengarang naskhah nazam ini, yang dipercayai
seorang ulama semacam mengingatkan sang suami agar tidak merogol isterinya. Hendaklah jika suami itu berasa berkehendak dan berhajat, maka dimintalah daripada sang isteri dengan penuh hemah dan ramah. “Horny” seorang suami bukan alasan untuk memperkosa isterinya.

Ads by Kiosked

Keempat, naskhah juga memberi pesan agar janganlah seorang suami lekas marah. Ini kerana selalu isteri yang marah akan diberi macam-macam nasihat oleh lebai atau ahli masyarakat; tetapi jarang terdapat nasihat melarang suami itu marah. Dalam banyak keadaan, suami marah akan mendorong kejahatan atau isu domestik. Maka kita akan membaca berita isteri cedera, dipukul, ditembak meski hamil, tidak diberi nafkah, dikhianati malah diperlakukan dengan buruk amat. Hari ini kita akan membaca berita suami yang pemarah dan merasakan dirinya benar, lalu membawa nasihat dan petua untuk isteri di media sosial. Padahal, pengajaran agama bukan sahaja buat isteri tetapi juga jatuh buat semua suami.

Kelima, janganlah jika berkemampuan, kita para suami tidak mengikuti keinginan para isteri. Misalnya jika suami itu punya rezeki lebih yang halal; janganlah suami itu dayus, kedekut dan enggan membelanja isterinya dengan hak-hak yang lebih daripada keperluan. Misalan jika isteri berkehendakkan telekung selesa dan tenang luar dalam sepertinya jenama Siti Khadijah di bulan Ramadan, janganlah suami yang mampu tidak mengikutkan hajat dan keinginan isterinya itu. Nasihat ini mungkin sedikit lucu tetapi berkait dengan jangan yang keenam.

Jangan keenam ialah suami dijangan atau dipesan agar tidak berbuat, yakni melihat perempuan non-mahram kerana menurut pengarang nazam, ia adalah haram. Malah kata pengarang “Wa’asyiruhunna bil ma’ruf” perempuan bukan mahram itu termasuk meliputi yang sudah “nenek-nenek dan kulitnya sudah keriput” kerana harus diingat terdapat syaitan menenggek di pelupuk mata yang akan membuatkan wanita itu kelihatan menggiurkan sehingga memesong sang suami.

Justeru, untuk menjadikan suami itu kekal di jalan “lurus” hendaklah suami setia kepada isterinya, dan salah satu tips menumbuhkan cinta ialah memberikan isteri keinginan mereka, kenapa tidak jika kita suami berkemampuan.

Naskah “Wa’asyiruhunna bil ma’ruf” ini menurut saya sangat menarik, kerana selalunya naskhah lama kita di alam Melayu ini akan selalu menekankan perihal kedudukan isteri saja. Misalnya kita akan menemukan larangan atau nasihat untuk perempuan sahaja. Dalam konteks artikel ini
mungkin akan ada enam jangan untuk isteri, padahal harus juga ada enam jangan untuk suami. Tetapi ada juga terselit naskhah yang tidak patriarki seperti “Wa’asyiruhunna bil ma’ruf”.

Mesej pengarang naskhah lama kita ini agak mudah, kalau perangai suami elok dan senonoh, tiadalah isteri ingin berbuat gila. Bahkan terdapat banyak ayat dalam al-Quran yang memberi pesan tentang kesetaraan laki-laki dan perempuan.

Ini kerana nenek moyang manusia (Adam dan Hawa), baik lelaki atau wanita, sama-sama diciptakan di syurga (al-Baqarah:35), dan sama-sama juga tergelincir atas godaan syaitan (al-A’raf: 20). Lantas sama-sama bertaubat, dan beroleh keampunan-Nya (al-A’raf: 23) lalu sama-sama saling melengkapi sehingga dapat mengembangkan keturunan (al-Baqarah:187).

Para insan, baik lelaki atau perempuan, sama-sama diperintah berlaku adil dan berbuat kebaikan (an-Nahl:90). Juga lelaki dan perempuan yang beramal soleh dan beriman akan beroleh anugerah daripada Sang Pencipta Yang Maha Adil sesuai dengan pengabdian dan pekerjaannya (an-Nahl:97) Ayat suci di atas semua mengisyaratkan bahawa lelaki dan perempuan memiliki peluang dan hak yang sama.

Maka dalam konteks hari ini, setiap nasihat dan jangan tidak lagi terpakai untuk isteri sahaja tetapi juga haruslah untuk suami. Demikan saya turunkan nasihat daripada naskhah lama Sunda yang molek untuk diciapkan di media sosial (Twitter misalnya) agar semua lelaki; sama ada lelaki itu doktor, guru, menteri, lebai atau tentera-polis beroleh manfaat. Naskhah ini juga baik untuk lelaki yang non-polis dan tentera, non-doktor baik kontrak atau tidak kontrakan, non-guru, non-menteri, dan para non-non lebai seperti kita. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.