Pagi ini Che’gubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shahrin mengajak orang ramai bersamanya buat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, mendakwa agensi di bawah kementerian Yeoh ‘mempromosi’ agama bukan Islam.
Dalam perkataannya sendiri Che’Gubard menuduh agensi itu menjalankan program “rekrut belia khususnya Islam ke gereja”.
Tidak jelas apa yang dimaksudkan. Adakah beliau mendakwa progam itu diadakan untuk membawa belia khususnya belia beragama Islam memeluk Kristian?
Beliau menggunakan istilah “rekrut”. Menurut definisi lazim atau apa yang dijelaskan dalam kamus, rekrut yang dalam bahasa asalnya ialah “recruit” bermakna pengambilan, penyertaan. Biasanya merekrut seseorang digunakan apabila pasukan polis dan tentera menerima seseorang menjadi anggotanya. Sekadar contoh.
Jadi adakah Che’Gubard menuduh gereja merekrut belia Islam? Adakah ‘memasuki gereja’ disifat beliau sebagai ‘peluk agama Kristian’? Jika masuk gereja secara literal saya kira bukan masalah.
Masuk gereja “literally” maksudkan melangkah masuk ke dalam gereja. Itu. Tidak ada ikut acara keagamaan. ‘Masuk gereja’ secara begitu sama dengan ‘masuk kedai’, ‘masuk stadium’, ‘masuk rumah’ sebagainya. Jadi apa maksud Che’Gubard? Masing-masing boleh buat terjemahaan sendiri.
Sebagai konteks, kita imbau kembali apa yang berlaku. Agensi yang dimaksudkan Che’Gubard ialah Impact Malaysia, yang di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan.
Impact Malaysia menganjurkan apa yang dipanggil program Jom Ziarah di bawah Projek Artikel 11 – satu insiatif Malaysia Inklusif yang merupakan kempen berintegrasi ke arah meningkatkan persefahaman belia dari segi budaya pelbagai kaum dan agama dalam masyarakat majmuk negara ini. Begitu lah penjelasan rasminya. Setuju atau tidak akan projek itu terpulang.
Baru-baru ini diberitakan tular poster Impact Malaysia mengajak belia bukan Kristian menyertai program Jom Ziarah ke sebuah gereja di Klang pada Sabtu ini yakni 18 Mac 2023. Difahamkan juga jemputan untuk ziarah kuil Hindu pada hari berikutnya.
Yang diketengahkan Che’Gubard ialah ziarah ke gereja. Beliau pernah menganggotai PKR tetapi menyertai Bersatu pada 2020 dan masih bersama parti itu hingga ke hari ini. Rakan Bersatu dari PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Projek Artikel 11 menimbulkan “kegusaran dalam kalangan rakyat”.
Menurut Impact Malaysia, program Jom Ziarah bukan sahaja membabitkan lawatan ke gereja tetapi juga masjid, kuil, dan gurdwara. Mengikut laporan sehingga kini program Jom Ziarah membawa lapan belia Cina dan India ke Masjid Wilayah Persekutuan pada 4 Mac lalu dan pada 11 Mac pula tiga belia Cina menziarahi Gurwara Sahib di Shah Alam.
Pada ucapannya di Dewan Rakyat dua hari lalu, Yeoh memberitahu tidak ada belia Muslim yang menyertai program Jom Ziarah dan kementeriannya tidak akan membabitkan penyertaan belia Muslim dan “tidak akan ada belia Muslim yang masuk gereja menerusi program itu”.
Pun begitu Yeoh merasa perlu mengingatkan bahawa Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pada 2 Okt 2018, “bukan menjadi kesalahan umat Islam memasuki kuil dan menerima kalungan bunga. PAS tidak mempertikai umat Islam yang mahu pergi ke rumah ibadat agama lain selagi mereka tidak menyertai upacara keagamaan”.
Yeoh juga menberitahu pada 2015 Presiden PAS Abdul Hadi Awang menziarah gereja di Miri dan berkata perbincangan dua hala dan pertukaran idea sesuatu yang menarik bertujuan memperkukuhkan hubungan dalam masyarakat yang berpelbagaian.
Bagi Che’Gubard, pemimpin Islam pergi ke rumah ibadat agama lain kerana sebagai pemimpin perlu “melihat masalah dan memahami semua rakyat bawah pimpinan dia”. Katanya tidak boleh disamakan dengan “rekrut belia Islam dibawa ke gereja untuk mendengar dakyah bahawa semua agama sama”.
Bolehkah dibaca kenyataan itu bermakna menurut beliau pemimpin agama cukup matang, berilmu, serta kuat iman dan akidah untuk ke rumah ibadat agama lain berbanding golongan belia?
Jelas Che’Gubard tidak puas hati dengan penjelasan dan jaminan yang diberi Yeoh. Kata beliau, membawa belia ke masjid menerusi program Jom Ziarah “tidak halalkan” program berkenaan. Beliau mendakwa Impact Malaysia ditubuhkan untuk tiga fokus utama iaitu “e-sport, kegiatan anak muda, dan media. Tidak ada urusan agama”.
Namun mungkinkah program seperti Jom Ziarah boleh dikategorikan di bawah ‘kegiatan anak muda’? Waullahualam.
Apa pun Yeoh sudah membuat laporan polis terhadap Che’Gubard. Che’Gubard juga buat aduan polis terhadap Yeoh. Biarkan pihak berkuasa menyiasat.
Sebenarnya saya tidak terperanjat apabila isu agama seperti ini ditimbulkan terutama oleh Bersatu mahpun PAS, malah kita semua menjangkanya. Bukankah enam pilihan raya negeri akan diadakan tidak lama lagi?
Kita boleh jangka isu ‘Islam terancam’ akan ditimbulkan. Tujuannya kita tahu. Tidak perlu dihuraikan. Sememangya Islam amat penting buat orang Melayu, majorti pengundi di negara ini.
Dulu pun PAS kerap menggunakan isu agama. Begitu juga Umno sebelum menjadi anggota kerjaan perpaduan…
Kita pernah ditakuti dengan dakwaan pelajar Melayu-Islam diberi Bible. Kita juga ditakutkan dengan timbulnya objek yang dilihat sebagai salib meski ada kalanya ia bukan salib sebenarnya.
Bercakap mengenai salib, teringat saya masa budak-budak dulu selalu juga tengok wayang filem hantu. Antara yang popular dulu ialah filem “Dracula Prince of Darkness”. Si Dracula ialah pontianak jantan, bukan betina kalau dalam filem Melayu. Dalam filem mat saleh, Dracula lah yang amat takut dengan salib. Pandang pun tak boleh. Menggeletar habis. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.