Apa yang dilaporkan oleh FMT pada 27 Mac tentang cadangan Teraju untuk bekerjasama dengan peniaga Bumiputra dalam bidang pengangkutan dan logistik menarik perhatian saya.
Cadangan kerjasama melalui ‘Bumiputera Logistics Collaboration’ atau Kerjasama Logistik Bumiputra (KLB) dalam bentuk usahasama atau koperasi ini ialah untuk meningkatkan keupayaan syarikat milik Bumiputra ke arah mencapai tahap 4PL atau piawaian logistik taraf keempat.
Dalam sektor pengangkutan dan logistics, kaedah 4PL ini bermula di industri pembuatan dan perkilangan yang memerlukan bahan mentah di kilang-kilang mereka.
Pemilik bahan mentah (pihak pertama) yang menjual dan mengendalikan penghantaran kepada penerima dengan menggunakan kenderaan sendiri disebut sebagai 1PL (bahan mentah + pengangkutan dari penjual)
Sekiranya pihak pembeli (pihak kedua) yang memesan bahan mentah serta menyedia dan mengurus pengangkutannya juga disebut 2PL (bahan mentah + pengangkutan dari pembeli).
Sementara 3PL pula melibatkan pihak ketiga, biasanya syarikat pengangkutan bebas dengan kenderaan tersendiri, yang menguruskan tugas mengangkut atau menghantar bahan mentah dari penjual kepada pembeli.
Contoh 3PL syarikat kenderaan yang mengangkut buah sawit dari ladang ke kilang atau bahan asas import dari pelabuhan ke kilang.
Biasanya 3PL lebih efektif berbanding 1PL dan 2PL kerana mereka memiliki bilangan kenderaan yang banyak dan dapat mengangkut keperluan dengan cepat, berjadual, dan mengikut permintaan.
Logistik terkini
Tidak lama dulu timbul pula kaedah 4PL yang mana syarikat 4PL ini mengambil tanggungjawab untuk mengatur pengangkutan bahan mentah ke kilang dan proses logistik setelah barangan kilang siap.
Ia akan melihat data pengeluaran daripada kilang, permintaan daripada pasaran, dan mengatur cara terbaik menghantar barang ke pasaran tempatan atau luar negara.
Jadi apakah mod pengangkutan yang sesuai dan murah?
Syarikat 4PL tidak mempunyai kenderaan sendiri, sebaliknya bertindak sebagai pengatur maka ia menyelidik mod darat, laut, atau udara. Syarikat 3PL akan ikut aturan syarikat 4PL.
Kaedah sedemikian mungkin melibatkan penyimpanan stok di gudang terlebih dahulu, atau pengeluaran yang berpaksikan permintaan atau kitaran pesanan (order cycle) tertentu yang bermusim.
Kerana itu syarikat 4PL ini memerlukan kepakaran serta kecekapan dari beberapa sudut:
- Dari sudut pengeluaran, pengilang akan berpandukan kepada data jualan yang semestinya mantap.
- Dari segi kawalan stok dan pengurusan, ini memerlukan kecekapan yang berbeza kerana barangan yang dikeluarkan dari kilang-kilang juga berbeza.
4PL terpaksa menghitung dan mengambil kira perbezaan produk yang dikendalikan, misalnya produk industri, produk untuk kegunaan perumahan, sektor binaan, sektor perubatan, makanan, pengguna, pakaian dan pelbagai lagi.
Ini memerlukan pendekatan yang berbeza, kepakaran, serta kecekapan yang semuanya memerlukan pertolongan sistem komputer yang canggih dan bermacam lagi.
Arah Teraju
Teraju mungkin baru mengenali sektor logistik dan kaedah 4PL ini, lantas mereka melihat kepada penglibatan syarikat kaum Bumiputera dalam aktiviti 4PL itu.
Apakah kepakaran sedia ada di Teraju yang dapat membantu kaum Bumiputera untuk mencapai matlamat yang dimaksudkan? Apakah mereka sasar sesuatu bidang atau sektor tertentu? Mahirkah Teraju tentang perisian komputer untuk membantu industri pengangkutan, pergudangan, pengurusan stok, dan logistik?
Setahu ramai, selama ini pihak kerajaan dan agensi terlibat banyak memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat milik Bumiputera tertentu yang dulunya ditakrifkan sebagai syarikat milik kerajaan.
Banyak syarikat ini telah diswastakan kepada beberapa pemilik Bumiputera sahaja. Pemilik yang sama menerajui bidang pelabuhan, pengangkutan pos dan kurier, logistik 4PL dan pengangkutan kontena, pergudangan untuk komoditi beras dan gula, serta sektor pembangunan hartanah di sempadan negara yang juga melibatkan aliran trafik, logistik, dan keselamatan.
Antara sebab kenapa syarikat gergasi ini diswastakan ialah kerana dasar negara pada waktu itu ingin melihat Bumiputera lain ‘berpayung’ bawah naungan mereka. Dalam erti kata sebenar, membantu dan menolong syarikat-syarikat Bumiputera yang kecil agar mereka turut maju dan meningkat dengan teknologi terkini.
Apakah sekarang Teraju merasakan dasar-dasar tersebut tidak berhasil, terpesong, dan tidak membantu syarikat-syarikat kecil Bumiputera?
Syarikat yang diswastakan ini dianggap juga sebagai ‘syarikat monopoli’ – bererti mereka mempunyai pasaran yang kukuh dan menyeluruh. Jadi kenapa mereka tidak membantu syarikat Bumiputera yang lain, atau berfungsi dan bergerak ke arah 4PL sepertimana cadangan Teraju itu?
Agak malang bagi kaum Bumiputera apabila dasar-dasar terdahulu tidak membuahkan hasil. Bertambah malang lagi sekiranya sekarang mereka terpaksa bergantung harap kepada agensi kecil seperti Teraju, yang bukan saja tiada rekod kejayaan yang boleh dibanggakan, tetapi juga tiada kepakaran. Tidak mungkin ia boleh menerajui teknologi 4PL, yang kini sudah jauh ke depan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.