PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dijangka memberi ruang kepada Barisan Nasional (BN) meletakkan calon menteri besar sekiranya menang pilihan raya negeri di Kedah, Kelantan, dan Terengganu, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.
Katanya, bagaimanapun calon bakal ditampilkan gabungan itu akan diteliti dan diputuskan dalam mesyuarat bersama PH.
“Itu tidak boleh dinafikan, calon menteri besar di Selangor, Negeri Sembilan dan ketua menteri di Pulau Pinang kita akan kekalkan pada penyandang (PH). BN tidak banyak kerusi, jadi mereka kena terima hakikat.
“Tetapi, calon menteri besar di tiga negeri lain itu mungkin kita akan berunding, kemungkinan ia lebih condong untuk diberi kepada BN. Tetapi kita mahu tengok dulu siapa calonnya. Ia mesti dibincang dan dirunding semula,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Sementara itu, Khalid tidak pasti sama ada pengundi Umno mampu menterjemahkan sokongan mereka dalam bentuk undi kepada PH, pada pilihan raya negeri.
Katanya, bagi penyokong PH, kebanyakan mereka sudah dapat menerima sebab gabungan itu membentuk kerajaan bersama BN.
“Memang saya rasa kebanyakannya pada peringkat awal, ada rasa begitu, tidak begitu seronok, tetapi sekarang saya lihat ramai sudah memahami kenapa kita bentuk kerajaan bersama dengan BN, kerana kita tiada pilihan lain.
“Lawan rasuah dan monopoli kartel, setakat ini pengundi PH boleh terima. Tetapi mahu tengok pengundi Umno boleh sokong PH atau tidak, kita tunggu lah,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.