PETALING JAYA: Ratusan ribu guru dipercayai sedang menunggu Kementerian Pendidikan (KPM) membuat audit ke atas Sistem Pengurusan Identiti (idMe) dan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS), kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah memberi jaminan untuk tidak akan berkompromi jika berlaku pelanggaran terma dan syarat oleh syarikat pelaksana membangunkan sistem itu.
“Saya menyambut baik jaminan menteri pendidikan dan beliau berjanji akan menyelesaikan masalah serta melakukan audit teknikal bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu),” katanya kepada FMT.
“Saya berharap bebanan dan tekanan guru di luar sana dapat diringankan tidak lama lagi,” kata Sim yang juga timbalan pengarah strategi PKR.
Terdahulu, ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Fadhlina berkata, pihaknya menjangkakan audit itu dilakukan pada suku kedua tahun ini.
Sistem idMe menjadi persoalan apabila ramai guru mengeluh kerana kerap mengalami gangguan teknikal.
Bagaimanapun, Fadhlina memberitahu KPM menyedari terdapat gangguan capaian pada kedua-dua sistem itu pada 19 Jan lalu.
“Isu tersebut telah diselesaikan pada 11 Feb 2023. Prestasi sistem terus dipantau bagi memastikan ia sentiasa beroperasi dengan baik bagi meminimumkan gangguan capaian.
“Sehingga 16 Mac 2023, secara keseluruhan, 89% sekolah di seluruh negara telah selesai memasukkan data,” katanya.
Pada masa sama, Fadhlina turut memaklumkan sistem idMe dan MOEIS diperoleh secara sebut harga dan tender terbuka.
“Nilai kontrak idMe adalah RM454,000 manakala MOEIS adalah RM1.05 juta.”
Fadhlina juga menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada KPM akan menghentikan sistem idMe kerana tidak mengurangkan beban guru.
“Ketika ini, kita tak ada sebarang pendirian untuk memansuhkan atau menghentikan sistem ini kerana kita lihat sistem ini masih ada kepentingan untuk mengurangkan beban guru,” tegasnya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.