PETALING JAYA: Beberapa fakta mengenai kehidupan akan diajar kepada kanak-kanak mulai Tahun 1, menerusi garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk sekolah bagi memahamkan kanak-kanak mengenai anggota sulit tubuh dan mengajar mereka supaya melindunginya.
Satu kit mengajar khas sudah disediakan untuk bulan pertama persekolahan yang akan bermula minggu depan.
Pelbagai program akan diadakan pada dua minggu pertama persekolah, iaitu fasa penyesuaian. Fasa ini akan bertumpu pada suai kenal dan mempersiapkan murid untuk persekolahan formal selepas tadika.
Dua minggu berikutnya adalah fasa persediaan dan antara subjek yang akan diajar ialah “Badan Saya Kepunyaan Saya”.
Kementerian berkata, murid akan diajar mengenai anggota sulit tubuh dengan bantuan gambar dan nama organ berkenaan dalam Bahasa Melayu.
“Murid membincangkan persamaan dan perbezaan anggota seksual antara kanak-kanak lelaki dan perempuan berdasarkan gambar,” kata kementerian dalam Kit Program Transisi Tahun Satu edisi 2.0.
Garis panduan itu antara lain mengadakan aktiviti perbincangan dengan murid berdasarkan soalan berikut:
- Bolehkah kamu menunjukkan anggota seksual kepada orang lain? Mengapa?
- Bolehkah anggota seksual kamu disentuh oleh orang lain? Mengapa?
- Bolehkah kamu melihat dan menyentuh anggota seksual orang lain?
“Guru perlu menegaskan kepada murid bahawa terdapat anggota badan yang boleh didedahkan dan ada yang harus ditutup.
“Murid juga perlu dimaklumkan bahawa anggota seksual perlu ditutup dengan pakaian dalam,” tambahnya.
Seorang guru yang dihubungi berkata, perkara ini lazimnya diajar secara berperingkat sehingga Tahun 6 di mana murid akan diajar mengenai reproduksi.
“Sebelum ini kami tidak perlu ajar mereka dalam beberapa minggu pertama tempoh peralihan itu. Tetapi saya rasa ini langkah positif supaya kanak-kanak sedar mereka haruslah menghormati tubuh sendiri, terutama apabila kes cabul dan rogol membabitkan mangsa kanak-kanak semakin meningkat,” katanya.
Ibu bapa yang dihubungi FMT menyambut baik langkah itu kerana mengajar kanak-kanak mengenai “sentuhan tidak baik” pada usia awal boleh mencegah penganiayaan seks.
“Tetapi guru perlu cermat dan memastikan subjek itu tidak jadi bahan gurauan dalam kalangan murid. Ibu bapa pula mesti main peranan dengan melengkapkan pengajaran guru-guru,” kata seorang ibu yang anaknya akan masuk Tahun 1 minggu depan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.