PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, tidak menjadi kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di masjid dan surau malah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.
Hadi berkata dalam Islam, politik dan agama tak boleh dipisahkan malah Nabi Muhammad juga bercakap mengenai politik dalam khutbah baginda, lapor Malaysiakini.
“Kita bercakap tentang Islam dan dalam politik ada Islam, maka politik Islamlah. Tak jadi salah dan wajib untuk kita bercakap,” katanya.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, sebagai orang Islam wajib untuk menegur benda yang tidak betul, sama ada hal ehwal ekonomi, politik atau lain-lain.
Semalam, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, Terengganu melarang ahli politik memberikan kuliah, ceramah agama dan khutbah Jumaat di seluruh masjid serta surau negeri itu.
Katanya, larangan itu dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran Maidam.
Mengulas mengenai larangan tersebut, Hadi berkata, larangan itu hanya mengulangi arahan lama sejak 1960-an lagi dan parti sudah laluinya.
“Saya akan teruskan ceramah seperti biasa di surau-surau dan masjid-masjid,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.