`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, March 22, 2023

Takwim sekolah sedang menuju kembali ke Januari, kata menteri

 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya sedang berusaha untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan ke Januari. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan sedang menuju untuk kembali ke Januari, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, beliau memahami semangat dan sentimen ibu bapa yang mahu sesi persekolahan dimulakan awal tahun berbanding Mac pada masa ini dan pihaknya sedang berusaha ke arah itu.

Bagaimanapun katanya, ia memerlukan sedikit masa kerana perlu mematuhi Akta Pendidikan.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa kita sedang menuju kepada Januari semula, itu jaminan KPM. Namun, kita memerlukan sedikit masa kerana perlu mematuhi Akta Pendidikan bahawa kanak-kanak mesti bersekolah sekurang-kurang 190 hari.

“Kita juga perlu memastikan beberapa episod peperiksaan, terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak mengganggu kitaran anak-anak ini, selain beberapa faktor ekonomi lain,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan Petronas 2023, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Jalan Batu (L), Kuala Lumpur.

Sebelum itu, beliau ditanya mengenai rungutan ibu bapa yang mahu sesi persekolahan dimulakan awal bulan dan bukan hujung bulan apabila terpaksa membayar penuh tambang van sekolah.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kementerian juga bersedia menyemak semula silibus pendidikan khas bagi pelajar Sindrom Down untuk disesuaikan mengikut keperluan semasa.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik cadangan supaya ia dikaji semula, malah sentiasa mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan bagi meneliti silibus berkenaan.

“Kita mengambil kira kitaran ansur maju kanak-kanak ini. Soal mengubah atau meminda kurikulum ini, ada pakarnya di KPM,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.