`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, March 25, 2023

TikTok kena ‘katok’

 



Dua hari lalu Shou Zi Chew, warga Singapura berusia 40 tahun yang pegang jawatan ketua pegawai eksekutif TikTok, berdepan ahli Kongres AS untuk memberi keterangan pada sesi yang dipanggil “Congressional hearing”.

AS menganggap TikTok satu ancaman keselamatan. Aplikasi TikTok dilihat mempunyai data rakyat AS dan dikatakan 150 juta rakyat AS menggunakan aplikasi itu. Washington percaya Beijing mengawal TikTok atau paling tidak mempunyai pengaruh ke atas TikTok. Satu lagi kebimbangan Washington, ia berpendapat TikTok memberi kesan buruk ke atas kanak-kanak AS. Tersenyum saya apabila mendengar “concern” ini yang ditimbulkan oleh sebuah negara yang bangga dengan kebebasan yang diberi kepada rakyatnya untuk membuat pilihan sendiri.

Lantas Khamis lalu, Shou dipanggil. Semua media antarabangsa melaporkan CEO TikTok itu “was grilled by Congressmen for five hours”. Istilah yang digunakan “grill”. Dalam bahasa Melayu “panggang”. Saya memilih istilah “katok”, perkataan dalam loghat Utara yang membawa maksud ‘pukul’ atau ketuk. Tak kiralah apa istilahnya, yang pasti anda faham apa yang dilalui Shou selama lima jam. Beliau ditekan dan diasak oleh ahli Kongress AS mewakili Democrat dan Republican. Buat julung kali mereka sepakat, bersatu menentang Tiktok ‘demi Amerika’. Malah Dan Crenshaw, seorang Republican mengucapkan terima kasih (jenaka atau perli?) kepada Shou “kerana berjaya merapatkan Democrat dan Republican”.

Kata mereka, Biro Siasatan Persekutuan atau FBI percaya TikTok senjata agresif yang boleh digunakan terhadap AS. Ertinya boleh memudaratkan. Mereka mahu tahu adakah ByteDance, syarikat yang mencipta aplikasi TikTok, menerima dan melaksanakan arahan China. Syarikat teknologi internet itu diasaskan oleh rakyat China, Zhang Yiming and Liang Rubo pada Mac 2012.

Lantas “concerns” atau apa yang dibimbangi AS berhubung TikTok boleh difahami. Ada justifikasi mengapa AS mensyaki TikTok. Bagi orang yang berkecuali dan tidak memihak, China bukan malaikat. Begitu juga AS. Setuju atau tidak terpulang. Berdasarkan apa yang saya lihat menerusi siaran langsung CNN, hampir jika tidak semua jawapan Shou terhadap persoalan yang diaju tidak diterima anggota Kongress AS. Mereka jelas sangsi.

Tekanan kepada TikTok tidak dinafikan lebih keras berbanding umpamanya ke atas Facebook, Twitter, atau Cambridge Analytica atas ‘kesalahan’ sama iaitu mengumpul data peribadi pengguna. Ahli Kongres mahu tindakan keras diambil terhadap TikTok. Wakil Republican dari Washington, Cathy Anne McMorris Rodgers yang bertindak sebagai pengerusi “perbicaraan” Khamis lalu membuka sesi dengan memberitahu Shou: “Platform anda sepatutnya diharamkan”.

Shou bagi saya menangani apa yang dihadapi dengan baik meskipun ada ketika nampak “gabra” dan kadangkala pula cuba “berpusing, berputar, dan mengelak”. Apa pun, menurut CNN, Washington “has already made up its mind about TikTok”. Sudah membuat keputusan sejak mula. Pun begitu kita tunggu kesudahan isu ini.

Di Malaysia, Ahli Parlimen Arau daripada Perikatan Nasional, Shahidan Kassim mendakwa penstriman langsungnya ketika berbahas di Dewan Rakyat 22 Mac lalu “disekat selepas Kementerian Komunikasi dan Digital mengadakan libat urus dengan TikTok”.

Ads by Kiosked

Tersentak saya apabila membaca laporan mengenai dakwaan Shahidan. Ini tuduhan serius. Tuduhan besar bukan sahaja terhadap kerajaan tetapi juga pengendali aplkasi terkemuka dunia itu.

Betapa hebatnya Shahidan sehingga KKD terpaksa mengadakan libat urus (baca: buat deal) dengan gergasi antarabangsa untuk menyekat “live streaming” beliau di Parlimen. Tokoh utama pembangkang seperti Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang pun tak kena macam itu. Apa agaknya hujah gempar beliau yang kerajaan begitu takut dan tidak mahu ia didengar rakyat?

Tampil Timbalan Menteri KKD Teo Nie Ching dengan penafian sambil menegaskan pihaknya tiada pengetahuan mengapa TikTok secara langsung Shahidan ditutup semasa perbahasan. “Saya rasa tuduhan beliau bahawa TikTok live stream beliau ditutup sebab KDD mengadakan kolaborasi dengan platform media sosial itu adalah tidak bertanggungjawab.”

Kata Teo lagi, kalau Shahidan benar berani sila ulang tuduhan di luar Dewan “supaya tindakan undang-undang boleh diambil”. Sememangnya Ahli Parlimen mahupun Adun diberi perlindungan atau mendapat imuniti untuk bercakap dengan bebas atau cakap ‘apa sahaja’ di dalam Dewan. Sehingga artikel ini ditulis Shahidan belum mengulangi tuduhannya di luar Dewan.

Imbau kembali laporan media menjelang PRU15 Nov 2022. Ramai penganalisis politik mendapati hampir semua calon menggunakan TikTok untuk mendekati generasi muda khususnya yang berusia 18 tahun yang mengundi buat pertama kali waktu itu.

Berikutan PRU15 timbul dakwaan kempen PN menggunakan TikTok untuk membangkitkan sentimen agama bertujuan menghasut golongan muda. Satu contoh ialah tuduhan Pakatan Harapan mempunyai kaitan dengan kumpulan Yahudi dan Kristianisasi yang disifatkan PH sebagai fitnah.

Ads by Kiosked

Nyata di Malaysia isunya bukan TikTok. Isunya ialah konten fitnah yang membakar sentimen agama dan perkauman yang boleh mengancam keharmonian rakyat. Lalu yang mesti “dikatok” bukan TikTok tetapi si penyebar fitnah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.