PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menafikan laporan mendakwa rumahnya di Damansara, Kuala Lumpur, diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) berkata dakwaan itu adalah fitnah terhadapnya menjelang PRN enam negeri tidak lama lagi.
Beliau memberi amaran akan mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis dan saman terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu.
“Serbu itu bagaimana maksudnya. Saya nak maklumkan sudah banyak fitnah dilakukan terhadap saya, saya tak mahu menjawab fitnah dan berita yang tersebar luas ini.
“Hari ini, saya dah ada maklumat contoh fitnah yang dibuat terhadap saya dulu, saya dah bawa polis report (laporan). Tapi tak apalah kita pegang dulu sampai masa kita akan gunakan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Marang di Terengganu, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan pegawai LHDN menyerbu dan menggeledah rumah Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu, Selasa lalu, susulan terdapat beberapa cukai yang didakwa tidak dilaporkan.
Malah, pasukan serbuan turut merampas beberapa fail termasuk dokumen pemilikan aset dan akaun milik Ahli Parlimen Larut itu.
Hamzah dikatakan berada di rumah ketika serbuan itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.