KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bakal mewujudkan satu platform pelaburan hijau yang baharu untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung dari dalam atau luar negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata ia bagi membantu syarikat tempatan terutama syarikat Bumiputera sekali gus mencipta lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat.
Beliau berkata, perkara itu antara dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah ketiga bagi 2023 beberapa hari lalu, dengan peranan Khazanah dalam usaha pembangunan negara dibincangkan secara tuntas.
“Kami turut membincangkan mengenai peri penting melaksanakan peralihan tenaga yang mampan bagi menjamin kelestarian ekonomi,” katanya menerusi catatan di laman Facebook.
Anwar, yang juga menteri kewangan, memaklumkan pada mesyuarat itu, perbincangan utama adalah mengenai pelaburan oleh Khazanah untuk mengukuhkan ekosistem ekonomi domestik yang tidak hanya kepada syarikat permulaan, tetapi juga kepada perniagaan sudah berjaya dan memerlukan modal mendanai pertumbuhan masa depan.
Beliau berkata, melalui penglibatan Khazanah, inisiatif itu dapat membangunkan bakat pekerja tempatan serta meningkatkan keupayaan dan daya saing negara.
Perdana menteri juga berkata, Khazanah akan terus bekerjasama dengan kerajaan menerusi strategi ‘Memajukan Malaysia’ untuk memastikan hala tujunya sejajar dengan matlamat pembangunan ekonomi negara.
“Kerajaan komited untuk terus memacu ekonomi Malaysia ke hadapan di dalam suasana ketidaktentuan pasaran dan geopolitik global.
“Dalam hal ini, usaha menggembleng yang lebih kukuh antara sektor swasta dan juga kerajaan sama ada di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan mesti terus dipertingkat,” katanya.
Selaras dengan prinsip Madani, Anwar menggesa Khazanah agar terus berada di landasan betul selain kekal dengan mandat sedia ada untuk menyampaikan manfaat ekonomi dan sosial yang mampan demi rakyat serta masa depan yang lebih baik untuk negara. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.