`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 28, 2023

Langit Mina saksi Ibrahim melelas leher Ismail

 

Sebenarnya ibadah korban tidak sederhana. Ia seharusnya tidak sederhana. Jika kita berada di Mina ketika Nabi Ibrahim bersiap-siap mengasah belatinya agar cukup tajam untuk menembusi tenggorokan Nabi Ismail, kita akan merasakan apa yang kita lakukan itu tidak sederhana. Ia menjadi sederhana jika kita merasakan urat leher ternakan yang dihiris sehingga terpancur darahnya itu sekadar kambing, lembu, kerbau, atau unta.

Ia tidak sederhana bila kita berada di dalam capalnya Ibrahim, yang mana langit Mina sedang terlentang luas di atas kepalanya. Di hadapan Ibrahim adalah Ismail, terkapar dengan tengkuk tengadah di atas. Dada dan leher Ismail yang putih kemerahan itu terdedah untuk dilelas. Ia tidak sederhana bila kita menjadi Ibrahim yang sedang menggenggam rambut halus Ismail yang baru menginjak usia remaja seraya tangan sebelahnya memegang belati yang baru diasah pada batu di lereng perbukitan Mina.

Ibadah korban tidak patut, malah jangan sederhana. Ini kerana Ibrahim telah melelas leher Ismail ke atas ke bawah, dengan harapan ia akan berlaku dengan cepat sekali. Ibrahim mengharapkan Ismail tidak akan berteriak atau menangis membentak. Sungguh Ismail anak yang patuh dan akur. Apabila diperikan oleh Ibrahim akan wahyu yang hadir, Ismail anak yang taat tidak menyangkal atau membantah. Ismail cekal dan pasrah. Akan tetapi belati yang sudah dipertajamkan itu ternyata tumpul dan ada suara Ismail berderik melirih. Ibrahim teruji secara luar biasa. Jika Nabi Adam diuji dengan rengek isteri dan buah ranum berisi duga; Ibrahim sedang diuji dengan anaknya yang baru tumbuh dan sedang segak. Ibrahim ada isteri yang taat setia, tetapi kini dia bakal diduga lagi.

Keadaan ini menjadi lebih sulit apabila kita membayangkan diri kita Siti Hajar, ibunya Ismail. Dia seorang bangsawan yang tertawan oleh pemerintah Mesir yang kejam. Hajar diperhambakan dan kemudian diberikan kepada Siti Sarah, isteri pertama Ibrahim. Apabila Hajar dimerdekakan dan seterusnya hamilkan Ismail dalam kandungan, sudah ada pula perintah Tuhan agar Hajar dan Ismail dihantar ke gurun gersang dan tandus, yang hari ini tanah suci Mekah. Hajar ditinggalkan atas perintah Allah. Dek kehausan, Hajar berlari-lari di antara Safa dan Marwah mencarikan air sehinggalah hentakan kaki Ismail menerbitkan sumur zamzam.

Untuk Ibrahim yang diuji perpisahan dengan isteri dan anaknya yang baru dilahirkan, kemudian apabila dewasa dititah supaya menyembelihnya, tentulah begitu perit.

Tetapi bayangkan pula Hajar. Jarang orang membayangkan kedudukan Hajar yang nestapa. Ditinggalkan di padang pasir, kemudian anaknya yang sudah membesar itu akan direnggut pula. Pun Hajar akur, seperti Ibrahim suaminya, Hajar ikut dan patuh. Oleh kehebatan dan kesabaran Hajar, hari ini, saban tahun, saban zaman manusia mendatangi Kaabah dan mengitari pusaranya di dalam Hijir Ismail. Dia dikebumikan di samping Kaabah. Itulah makam wanita yang luar biasa, kerana pengorbanannya juga tidak biasa.

Maka ibadah korban tidak sederhana. Ada kesabaran luar biasa. Ibadah korban tidak sederhana kerana Ibrahim sebagai ayah diperintah oleh Tuhan yang amat dipercayai dan diimaninya itu, untuk menyembelih Ismail. Hajar yang mengandungkan Ismail harus rela, buat kali seterusnya. Anaknya Ismail yang naik tumbuh dari sebesar telapak tangan hingga kini kacak dan berwajah mendung. Di langit Mina, Ibrahim tidak meraung; Ismail juga tidak melolong. Demi keesaan Ilahi, Ibrahim memusatkan keyakinan dan keteguhan hati. Tentu perintah Tuhan itu ada kewajarannya. Tentu arahan Tuhan itu ada alasannya. Dia tidak perlu mempersoalkan. Langit Mina sedang menyaksikan. Maka buat kali seterusnya Ibrahim merengkuh dan mencekak belakang tengkuk Ismail agar cukup terbuka. Ibrahim pun menyuakan belati itu buat kali berikutnya dan menjangkakan akan ada darah hangat memancur membasah mata pisau dan tangannya yang telanjang itu.

Apabila Ibrahim tunduk melihat jasad yang menggelupur, ia telah menjadi seekor ternakan yang terkorban dek tajam belatinya. Demikianlah ibadah korban pertama itu disaksikan oleh langit Mina. Ibrahimlah manusia pertama yang melakukan ibadah korban itu. Makanya ibadah itu tidak sederhana. Ia memang tidak sederhana.

Ia seharusnya tidak sederhana. Celakalah buat mereka yang menjadikan ibadah korban itu enteng, seolah-olah korban itu lengkap dan sempurna apabila leher ternakan ternganga luka mengucurkan darah. Sepertinya korban itu lengkap dan sempurna apabila kaki dan tubuh ternakan itu menggelupur dan meronta. Seakan-akan korban itu kini menjadi lengkap kerana ada daging yang akan dapat diagih dan dibawa bekal pulang. Seibarat korban itu kononnya lengkap dan menjadi bila kepala dan ekor kambing terendam tenggelam dalam sup yang sedang menggelegak di dalam belanga dan ditabur sedikit garam agar ikut rasa. Ibadah korban tidak sesederhana itu.

Apabila Ibrahim pertama kalinya meletakkan belati di leher Ismail, dan kemudian diganti dengan ternakan, ia merupakan pemutus agama pagan dan agama langit. Bahawa tidak ada keperluan untuk Tuhan dipersembahkan dengan korban manusia. Ini kerana Tuhan tidak memerlukan darah manusia untuk berasa bahagia. Sebesar-besar Tuhan, Maha Kuasa yang tidak memerlukan apa-apa persembahan. Ibadah korban itu pemutus dan batu tanda yang datang dalam bentuk pisau belati tajam memisahkan antara kepercayaan kuno dengan akidah yang menekankan tauhid, atau monoteisme. Semua itu disaksikan langit Mina.

Di luar, di luar dari celah batu di bukit Mina itu, ada Hajar sedang memejam mata. Bayangkan dada dan debur jantung Hajar yang menanti suaminya membawa pulang jasad anaknya yang sudah terpisah kepala. Makanya Tuhan memberi isyarat penting kepada Ibrahim dan anakandanya bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan mengangkat darjat Ibrahim dan Ismail sedemikian tinggi dan menawarkan galang ganti yang tidak disangka dan dijangka. Hajar diberi kedudukan di sisi rumah-Nya. Ibrahim merdeka di bawah langit Mina. Hajar merdeka di bawah langit Safa dan Marwah. Bahawa iman dan kesaksian atau syahadahnya Ibrahim dan Hajar mengatasi cinta dan kasih buat anaknya Ismail. Demikian bebas dan merdeka Ibrahim sanggup memberikan anaknya sebagai syahid sebelum ditawarkan pengorbanan yang tidak diduga olehnya. Itulah sebabnya ibadah korban tidak sederhana.

Pada hari langit Mina menyaksikan dan bertanyakan kepada kita, siapakah atau apakah ‘Ismail’ yang sedia untuk kita korbankan demi menyempurnakan tanggungjawab dan keimanan kita kepada Allah, kita diminta menjadi ‘Ibrahim buat’ seketika. Atau masuk ke dalam capalnya. Tentu ada yang menahan kita dari menghampiri Allah dan menyempurnakan tugas kita buat-Nya.

Untuk politikus diambang pilihan raya, boleh jadi sahaja Ismail yang harus dikorbankan itu adalah cita-cita menduduki kerusi dan kuasa. Seorang ketua atau pimpinan mestilah menjadi seumpama Ibrahim, seorang imam yang luhur dan pasrah. Tidak berdengki, pembuli, dan tamak. Untuk agamawan menghampiri pilihan raya, boleh jadi sahaja Ismail yang harus dikorbankan itu adalah hasrat lahap untuk memfitnah lawan lantas menang bertanding. Seorang agamawan mestilah seperti para anbiya, banyak berkorban bukan banyak meraban.

Untuk kita orang biasa tentu ada ‘Ismail’ yang perlu kita korbankan yang tidak pun diketahui oleh orang lain. ‘Ismail’ yang menghalang kita dari mencapai tauhid dan kedekatan dengan Tuhan. ‘Ismail’ kita itu mungkin pasangan kita, pangkat dan kedudukan, kemasyhuran, wang ringgit, harta benda, keselesaan, dan entah apa lagi. Jika kita lelaki, kita harus menjadi Ibrahim. Jika kita wanita, kita harus menjadi Hajar.

Setiap orang punya ‘Ismail’ sendiri untuk disembelih demi meraih kecintaan dan keimanan. Akan ada langit terkangkang luas di atas kepala kita melihat dan memandang apakah kesanggupan dan kesungguhan kita untuk mengorbankannya demi memenuhi tanggungjawab kita kepada Tuhan. Sebab kita, agama apa pun – lagi-lagilah kalau agama langit – akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita lunaskan di dunia ini. Kita akan ditanya dan dipersoal di hadapan Pencipta.

Ibadah korban memang tidak sederhana. Memang celakalah sesiapa yang menganggap ia ibadah biasa-biasa. Lebih celaka mereka yang cuba memadam sejarah Ismail akan dikorbankan ayahnya. Mereka menganggap hidup dan agama menjadi sempurna hanya dengan mengorbankan domba. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.