Dalam tahun-tahun kebelakangan ini saya banyak membaca syair tradisional, dan menulis mengenai syair-syair ini di pelbagai portal berita. Antara lain yang pernah saya tulis tentangnya adalah ‘Syair Burung’; ‘Syair Dagang Adanya’; ‘Syair Nasib Melayu’; ‘Syair Raja Tedung dan Raja Katak’; ‘Syair Janda Muda Lawa’; dan ‘Syair Perahu oleh Hamzah Fansuri’. Memang saya menulis itu sebagai pengkaji. Saya tidak menerbitkannya sebagai artikel jurnal yang tidak mahu dibaca orang meskipun ia dapat menjadi laba akademik. Saya lebih suka menulis perihal syair ini untuk orang awam demi memasyhurkan karya atau genre puisi lampau ini. Lama-kelamaan saya jadi betul suka dan sebati dengan syair-syair ini.
Saya pun berfikir, mengapa tidak saya sendiri mengarang sebuah syair panjang. Ia dapat menjadi sebuah puisi epik. Saya membayangkan, jika Seamus Heaney sang penyair Irish yang meraih Hadiah Nobel Prize Kesusasteraan pada 1995 itu pun menterjemah dan menulis kembali ‘Beowulf’, iaitu puisi panjang tradisional Anglo-Saxon pada 1999; mengapa saya tidak menulis syair dalam format lamanya. Buat apa menulis gila-gila puisi moden yang orang tidak mengerti.
Hati saya meronta-ronta apabila teman di Universiti Nasional Singapura, Dr Azhar Ibrahim menulis ‘Syair Kesaksian’ pada 2016. Takala itu saya sendiri sudah memulai projek menulis syair sendiri. Maka saya lagi bergegas berusaha menyiapkan ‘Syair Dukana Lubaba’ yang sudah terbit pada 2023.
Memang ada beberapa syair dengan muatan moden akan tetapi semuanya bersyair tentang raja dan pemimpin secara amat feudal. Banyak sungguh puja puji. Misalnya ‘Syair Sultan Azlan Shah, Putera Berjiwa Rakyat’ yang ditulis oleh Ibrahim Mohd Said (2009) menjadikan Sultan Azlan Shah, yang memerintah Perak antara 1989 hingga 2014 sebagai objek penulisan. Terdapat juga ‘Syair DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar’ oleh Maskiah Masrom (2018) mengenai Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, pemerintah Johor sejak 2010. Selain itu ada ‘Syair Adat Istiadat Kesultanan Melayu Kelantan’ (2020) daripada Aziz Deraman yang merincikan adat istiadat dalam pemerintahan kerajaan Kelantan. Tidak kurang juga ‘Syair Kedah Darul Aman’ (2006), nukilan Abdul Halim R (2006). Teks syair ini mencatatkan peristiwa Kesultanan Kedah selama 864 tahun bermula 1136. Lain lagi ada pula ‘Syair Tun Abdul Razak Hussein Perdana Menteri Malaysia Kedua’ (2009). Ia memusatkan perhatian kepada perdana menteri kedua sebagai objek penceritaan.
Membaca syair-syair ini kadang saya senyum sendiri. Contohnya Maskiah menulis begini:
Tuanku pernah lalui pembedahan,
Sakit di bahu tiada tertahan,
Bermain polo punya penangan,
Tulang belakang menerima kesan.
Tertanam titanium di tubuhnya,
Kesan pembedahan ada kenangan,
Takdir diterima penuh redanya,
Segala ujian Allah ada hikmah-Nya.
Di bait lain ada pula nukilan begini:
Ketika menaiki kereta nenda,
Lamboghini mahal tidak terkira,
Terdorong perasaaan ingin mencuba,
Kereta terbabas tidak diduga.
Dek kerana tiada cita-cita mendapat gelar dan mendapat perhatian dunia saya berfikir lebih baik saya menulis mengenai raja yang lain. Iaitu raja di syurga-loka. Lebih baiklah saya menjadikan Ketua Pemuda Syurga sebagai objek penceritaan. Lagipun saya boleh menghindar diri menulis hal semasa atau bahan kontemporari yang akan dijadikan bahan ketawa atau geli-geleman orang.
Yang menjadikan syair sangat mendera apabila ditulis ialah syair itu terdiri daripada empat baris serangkap. Ia tergolong dalam jenis puisi kata. Dalam sebaris itu harus mengandungi empat kata dasar; dan mengguna skema rima a-a-a-a pada rima akhir, tidak pada rima dalaman. Seluruh empat baris itu merupakan satu kesatuan idea, bemaksdud ia tidak terbahagi dua kepada bayang dan maksud sepertimana pada seuntaian pantun.
Yang menjadikan syair mungkin seperti novel ialah suatu rangkap syair itu perlu diekori rangkap-rangkap lain bagi membina suatu idea lengkap, menyempurnakan isi dan tujuan. Walhasil, isi sesebuah syair pada umumnya merupakan cerita panjang atau penerangan mengenai sesuatu hal, termasuk agama, falsafah, dan lain-lain.
Lebih menarik sebetulnya genre syair dalam bahasa Melayu mempunyai banyak lagi variasi, seperti dua baris serangkap dengan rima a-b-b dan memerlukan beberapa rangkap; tiga baris serangkap dengan rima a-a-b; empat baris serangkap dengan rima a-a a-a; empat baris serangkap dengan rima a-b a-b; empat baris serangkap dengan rima a-a b-b; empat baris serangkap dengan rima a-a-a-b, c-c-c-b, d-d-d-d dan seterusnya; empat baris seirama; dan juga empat baris berkait. Kita orang Melayu amat suka dan peka dengan kesamaan suku kata menajdikan ia berkesan bunyi. Jadi meskipun genre ini berasal dari Parsi-Arab, orang Melayu telah menjarakkan diri dari mereka.
Tatkala saya memulai menulis syair dalam tahun 2014-2015, saya dapati ia bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Kononnya menulis syair akan demikian mudah kerana tidak ada pembayang, dan tidak ada keperluan ritma seperti di genre pantun. Rupa-rupanya, keseragaman bunyi dan ritma pada syair itulah yang kelak memerangkap saya. Terdapat banyak kali saya mengalah, pernah putus asa, dan terlalu letih untuk menyiapkan ‘Syair Dukana Lubaba’ ini. Kata yang perlu seiring itulah yang nampaknya sulit dipenuhi setiap kali. Apatah lagi kalau yang dipilih ialah subjek sejarah Islam yang ingin dilupakan orang.
Kalau kita menyorot syair lalu akan ada cerita-cerita panji seperti ‘Syair Ken Tambuhan’, dan ‘Syair Panji Semerang’; dan juga ada romantisnya seperti ‘Syair Bidasari’ dan ‘Syair Puteri Handalan’, ‘Syair Dandan Setia’, ‘Syair Siti Zubaidah’, dan ‘Syair Ratu Juwita’.
Jenis kedua adalah syair episod sejarah di mana ia berasaskan peristiwa yang benar-benar berlaku. Antara karya dalam kategori ini ialah ‘Syair Perang Mengkasar’, ‘Syair Perang Banjarmasin’, ‘Syair Perang Johor’, ‘Syair Bah Singapura’, dan ‘Syair Singapura Terbakar’.
Orang Melayu juga menulis syair untuk mengajar agama menjadikan syair ada kesan didaktik. Ini misalnya terlihat pada ‘Syair al-Salat’, ‘Syair lbadat’, ‘Syair Mekah atau Haji’ yang menceritakan tentang doktrin akidah, aturan fikah, dan nasihat-nasihat agama.
Saya tidak mahu terlalu mengajarkan. Lagipun saya tidak mahu berebutkan fungsi lebai. Saya akhirnya memilih syair bersifat cerita (naratif) mengenai sesuatu watak atau peristiwa yang ada hubungannya dengan agama Islam. Dalam zaman keemasan syair, pernah ada ‘Syair Nabi Allah Adam’, ‘Syair Nur Muhammad’, ‘Syair Nabi Allah lbrahim’, dan ‘Syair Nabi Allah Yusuf’.
Saya membuat kesimpulan akhir iaitu keputusan menciptakan syair mengenai cucu dan keluarga Nabi Muhammad yang terbunuh di padang Karbala. Dalam perjalanan jauh itu, watak utama dalam naratif syair ini – Lubaba – demi mendodoikan anak yang letih dan dahaga telah bersyair pula tentang Nabi Adam dan keturunannya, dan juga Nabi Nuh dan keturunannya. Maka dalam syair induk Dukana Lubaba ini ada pula syair-syair anak yang lain.
Jadi saya menetapkan fikiran menulis perihal cucu Nabi Muhammad yang dibunuh lantaran baginda milik semua orang Islam tanpa mengenal mazhab.
Saya percaya, jika seorang pengarang terlanjur mengaku penyair; setelah dia membaca dan berjaya menulis syair; segala rangkap puisi moden yang tidak berbentuk itu menjadi mudah. Agaknyalah demikian. Bukan apa, latihan untuk menjadi seorang penyair tentunya dengan membaca dan mengarang syair. Saya tidak pandai menulis puisi moden, walaupun ada dua kumpulan puisi iaitu ‘Ingin Jadi Nasrallah’ dan ‘Kumpulan Puisi Mek Bah’, tetap ada orang mengejek saya kerana tidak arif menulis puisi.
Itu membuatkan saya hiba, dan mendorong saya menulis syair tradisional. Saya yakin kalau saya sudah lulus menulis syair lama begini, takkanlah ada lagi yang gamak mengajukkan saya. Terlepas dari berkecil hati, lebih penting, menulis ‘Syair Dukana Lubaba’ bukan untuk pengiktirafan bumi. Saya puas begini. Saya harap pembaca pun demikian. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.