Kecoh juga di media sosial minggu lepas video kisah seorang ustaz influencer dengan wanita di mana netizen membongkar rupa-rupanya dia tersebut bukanlah merempat hidupnya sebaliknya dia juga merupakan seorang pempengaruh media sosial yang mempunyai sejuta pengikut. Maka meletuslah perang di media sosial di antara pengikut ustaz itu dengan netizen lain yang mendakwa video tersebut suatu penipuan. Kacau!
Peristiwa ini hanyalah satu contoh dari berbagai perihal pempengaruh media sosial yang cukup berlambak hari ini. Pempengaruh ada bermacam-macam watak. Ada yang tampil dengan imej agama seperti contoh di atas tadi. Dengan slogan ‘Allah sayang kita’ sahaja cukup membuat dia masyhur dengan berjuta pengikut setia. Ada pempengaruh yang nak jadi penasihat rumahtangga, macam-macam tips kebahagiaan dia beri secara live di media sosial, beratus ribu menonton tanpa menyedari dia ini tak pernah berumahtangga. Ada pempengaruh yang mengulas politik. Pendek kata, macam-macamlah.
Dengan teknik persembahan yang menjadi, mereka berjaya mengumpul jutaan pengikut. Apa sahaja kata mereka akan menjadi pegangan pengikut mereka, ibarat wahyu yang turun menjadi sabda, ‘samikna wa ata’na’. Kami dengar dan kami taat. Kadang-kadang saya rasa macam hendak termuntah mendengar tips dan panduan si pempengaruh tetapi ternyata beratus ribu yang lain amat menyukainya. Siapa saya hendak menyangkal? Follower saya berapa aja?
Itulah! Teringat saya sebaris dialog dalam filem komedi romantik bertajuk The Rewrite, arahan Marc Lawrence (2014), “Every society back to ancient times had gods. First it was the stars and the sun, then the Greeks and Romans anthropomorphized them. Then, we had monotheism, and in today’s culture our gods are celebrities.”
Benar, era internet dan media sosial hari ini telah memunculkan ‘dewa’ baharu dengan gelaran influencer atau pempengaruh. ‘Dewa’ media sosial ini lebih menakutkan berbanding dewa-dewa zaman terdahulu kerana ‘dewa’ media sosial capaiannya lebih luas, pantas, dan bersifat semesta. Kalau dahulu cuma ada media cetak dan media elektronik. Generasi dahulu yang gilakan muzik dan fesyen hanya dapat merujuknya melalui akhbar, majalah, radio, televisyen, dan panggung wayang sahaja. Di platform yang terbatas itulah tempat mereka melayan ‘dewa’ mereka. Si peminat akan melaburkan wang untuk berfesyen seperti yang digayakan oleh ‘dewa’ gilaan mereka. Itu dahulu. Hari ini, di atas sebuah platform yang sama iaitu media sosial sama ada di Facebook, Instagram, atau TikTok si pempengaruh muncul untuk mencari pengikut. Memberi nasihat, menjual produk, mencadang ini dan itu untuk panduan hidup kita. Apa sebenarnya? Duit!
Pempengaruh ini tidak kisah sama ada anda memuji atau mencemuh. Itu tidak ada hal. Yang penting anda masuk komen. Kalau mereka kantoi buat salah, mereka buat video menangis. Jual air mata, jual simpati. Netizen pun masuk, yang mengutuk tetap mengutuk manakala yang simpati akan terlentok. Pempengaruh sudah masak akan hal ini. Yang penting penonton masuk. Penonton bertambah maka duit pun berganda.
Ketahuilah, publisiti buruk tetap jugalah publisiti. Faktor ‘duit mudah’ inilah mendorong ramai orang ingin jadi pempengaruh lebih-lebih lagi generasi muda. Mereka menemui satu kaedah untuk meraih pendapatan. Ini mungkin antara sebab hari ini mengapa separuh daripada lepasan SPM tidak mahu melanjutkan pelajaran. Jadi TikTokers, Instafamous, atau Gamers lebih berbaloi berbanding bangun awal pagi pergi ke tempat kerja. Jadi pempengaruh media sosial tak payah nak hafal nota, tak perlu pergi dewan peperiksaan. Mudah! Jika ini benar, sesuatu harus dilakukan oleh kerajaan bagi membendung generasi hari ini yang percaya dapat duit cepat dan mudah dengan hanya duduk menghadap telefon pintar adalah kerjaya yang bagus untuk masa depan.
Berbalik kepada selebriti adalah ‘dewa’ abad ini, itulah hakikat yang harus kita terima sekarang. Kita tak daya menolak mereka kerana kita sama ada sedar atau tidak, telah pun terpengaruh. Dulu manusia memuji bintang dan bulan, kemudian manusia mendewakan ahli falsafah Yunani dan Rom dengan perlambangan-perlambangan anjuran mereka. Masuk pula zaman muzik dan wayang sejak seabad yang lalu melahirkan ‘dewa-dewa’ yang masih disanjung sehingga hari ini oleh saki-baki pengikutnya. Kini, ‘dewa-dewa media sosial’ sudah turun menyampaikan ‘ajaran’ mereka. Mengumpul pengikut dan mengumpul wang melalui pujian dan kutukan dari pengikutnya.
‘Dewa-dewa’ ini tahu walau seteruk mana pun anda kutuk mereka di ruangan komen tetapi apabila anda terserempak dengan ‘dewa-dewa’ ini di tepi jalan, anda ingin selfie dengan mereka dan upload foto itu di media sosial dengan bangga. Anda pasti akan meraih komen dan ‘like’ yang banyak walaupun sebelum ini post anda tidak mendapat perhatian. ‘Dewa-dewa’ ini telah mengurniakan ‘rahmat’ kepada post anda yang selama ini hambar. Sekali lagi saya nyatakan, kita sama ada sedar atau tidak telah ‘memeluk’ mereka.
Mungkin kita dalam kategori kurang ‘beriman’ sedikit kerana tidak mendewa-dewakan sangat pempengaruh ini tetapi kita nampaknya tidak jauh dari lingkungan ini. Seperti magnet, ia menarik-narik kita untuk melekat ke sana! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.