`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 13, 2023

PM terima nasihat tak tepat isu perolehan vaksin, kata KJ

 

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata tidak ada perkara yang hendak disembunyikan dalam isu perolehan vaksin Covid-19 kerana ia telah mengikut tatakelola dan peraturan yang betul.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin menerima nasihat tidak tepat apabila beliau menyatakan bahawa perolehan vaksin Covid-19 yang dibuat pentadbiran sebelum ini tidak mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara, kata Khairy Jamaluddin.

Bekas menteri kesihatan itu bagaimanapun tidak menyalahkan Anwar atas kekeliruan itu, selepas pembentangan kertas putih oleh Kementerian Kesihatan (KKM) Khamis lepas di Dewan Rakyat menyatakan perolehan vaksin sebenarnya telah dibawa dan disemak peguam negara.

“Saya sebenarnya tidak menyalahkah perdana menteri kerana saya tahu beliau menerima nasihat tidak tepat ketika waktu itu.

Ads by Kiosked

“Saya simpan (ulasan) apa saya nak cakap sebab saya nak kertas putih ni bercakap bagi pihak saya,” katanya dalam episod terbaru ‘podcast’ Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Pada Februari lalu, perdana menteri ketika mengumumkan KKM akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin berkata, ada perkara yang tidak ikut peraturan dan ditandatangani oleh menteri tanpa persetujuan peguam negara.

Khairy sekali lagi menegaskan bahawa semua perolehan dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menurut Khairy lagi, tidak ada perkara yang hendak disembunyikan dalam isu perolehan vaksin kerana ia telah mengikut tatakelola dan peraturan yang betul.

Sementara itu berkaitan rang undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan, Khairy berkata ia merupakan ‘langkah taktikal’ yang diambil KKM bagi memastikan peruntukan Generasi Penamat (GEG) tidak digugurkan.

“Isunya ada banyak tekanan supaya peruntukan GEG digugurkan dari RUU dan bagi saya tidak adil sebab peruntukan GEG adalah (langkah) kompromi yang kita telah capai bersama komuniti dan sektor kesihatan yang tidak mahu vape dibenarkan sepertimana yang berlaku hari ini,” katanya.

Ads by Kiosked

Ia kali kedua RUU GEG itu dirujuk kepada JKPK selepas pertama kali dibentangkan oleh Khairy, pada tahun lalu.

Semalam Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata RUU itu dirujuk kepada JKPK setelah mengambil kira maklum balas yang diterima khususnya melalui sesi libat urus yang diadakan pada 6 Mac lalu.

Zaliha berkata dalam sesi lalu, ahli JKPK Kesihatan, ahli parlimen, badan profesional serta badan bukan kerajaan (NGO) mahukan beberapa perkara di bawah RUU terbabit dinilai dan diperincikan lebih lanjut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.