`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, December 30, 2024

Dr Rafidah dan Labu Labi dalam KKM

 

hishamuddin-aun

Bulan lalu, Dr Rafidah Abdullah meluahkan rasa kecewanya untuk meneruskan kerjaya di bawah Kementerian Kesihatan (KKM). Beberapa faktor terutama berkaitan hal pengurusan dan kebajikan kakitangan dinyatakannya sebagai punca mahu meninggalkan perkhidmatan kerajaan.

Putus asa, kecewa dan rasa serik mendorongnya menulis surat kepada KKM memohon untuk bersara awal tetapi hajatnya itu masih tergantung.

“Beberapa hari yang lepas, saya rasa kecewa, sedih dan putus asa meneruskan kerjaya di KKM. Rasa sudah tidak sanggup lagi, sudah penat dan pedih melihat keadaan sekarang.

“Akan tetapi, bila graduan dan pelatih pakar perubatan keluarga mengucapkan terima kasih, saya sedar yang saya membawa suara mereka. Membawa suara orang-orang teraniaya. Mereka hampir tidak diiktiraf kerana melalui latihan kepakaran menerusi ‘parallel path’ (laluan selari),” katanya di laman X.

Dr Rafidah, pakar nefrologi (kajian tentang buah pinggang dan penyakit berkaitan dengannya) di Hospital Putrajaya, yang berjuang untuk kebajikan petugas kesihatan menyambung bahawa jika beliau berhenti sekarang, ia akan memberi kemenangan kepada ‘Labu Labi’ dalam KKM.

Siapakah Labu Labi dalam KKM yang dimaksudkannya?

Dalam satu catatan media sosial baru-baru ini, Dr Rafidah berkongsi mengenai Labu Labi atau ‘Napoleon Kecil’ dalam KKM yang lebih sudu dari kuah dengan terus berada dalam penafian kononnya jumlah petugas kesihatan yang ada ketika ini mencukupi dan tiada masalah. Maka, tiada apa-apa langkah segera perlu diambil.

Sedangkan, katanya, mantan ketua pengarah kesihatan pada 2019 lagi sudah mengeluarkan kenyataan bahawa KKM kekurangan kakitangan, menyebabkan mereka terlebih beban kerja dan menanggung tekanan di samping kementerian itu kekurangan dana.

“Mana mungkin tahun 2024, keadaan ini lebih baik. Pesakit bertambah, isu kontrak tidak selesai, kemajuan kerjaya tidak jelas, jumlah yang meninggalkan KKM meningkat dan macam-macam lagi,” soal beliau sambil menegaskan statistik ikut “nombor post” dan “jumlah katil” yang sering diberi sebagai alasan sebenarnya tidak bermakna apa-apa.

“Kira beban kerja sebenar, berapa jam kerja, jumlah pesakit luar, pesakit dalaman, prosedur, kertas kerja dan macam-macam lagi.

“Ada ramai Labu dan Labi dalam KKM rupanya yang memberi maklumat pusing-pusing, mengaburi situasi sebenar. Apa salahnya beritahu isu sebenar. Penafian berterusan Labu dan Labi ini meloyakan, lebih baik mereka bekerja di tempat lain,” tambahnya.

Rasa-rasanya macam pernah terbaca kisah seperti ini. Oh ya, ia berkait seorang guru di Kanowit, Sarawak, Izzuddin Izhar atau dikenali sebagai Cikgu Din yang mohon berpindah tempat mengajar untuk menemani isterinya yang menghidap kanser tahap empat di Kota Bharu, Kelantan, Oktober lalu.

Dia pergi ke Putrajaya, turun sendiri ke Kuching untuk jumpa pengarah pendidikan tapi dimaklumkan tak boleh berpindah ke Semenanjung kerana pertukaran hanya untuk guru tetap yang sudah berkhidmat tiga tahun.

Bila dia hantar surat untuk bertukar, ada orang atasan yang berkata, “Yang sakit tu isteri awak. Awak tak sakit, masih lagi boleh berkhidmat (di Sarawak).” Tiada langsung budi bicara atau belas ihsan. Juga tiada pertimbangan kepada keperluan mendesak hinggalah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek campur tangan untuk Cikgu Din ditempatkan di sekolah berhampiran pasangannya buat sementara waktu.

Namun, tidak seperti Labu Labi, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam catatan balasnya kepada Dr Rafidah lebih peka dengan mengakui KKM memang kekurangan kakitangan — seramai 298,853 orang masih berkhidmat setakat 30 Jun lalu — hingga sesetengah mereka terpaksa menanggung beban kerja lebih daripada rakan-rakan lain.

Tidak memandang enteng lebih 6,000 doktor meletak jawatan sepanjang lima tahun lalu, Dr Dzulkefly memberi jaminan bahawa semua isu yang dihadapi warga kerja KKM di lapangan akan ditangani dalam penggal keduanya sebagai menteri kesihatan.

“Penting untuk diambil perhatian bahawa angka 6,000 doktor ini termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) kontrak yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap. Selain itu, sesetengah doktor telah beralih ke bidang akademik. Namun, ketirisan bakat kekal menjadi cabaran signifikan dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan.

“Walaupun diakui bahawa KKM tidak dapat menghalang MO dan pakar perubatan daripada berhijrah ke sektor swasta, kita telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengekalkan mereka dalam sektor awam,” kata Dr Dzulkefly lagi.

Inilah yang sebenarnya diharapkan oleh petugas kesihatan KKM berbanding Labu Labi yang kerjanya hanya memutar-belitkan fakta sambil membiarkan petugas kesihatan terus menanggung tekanan dengan beban kerja keterlaluan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap di majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 10 Jun lalu memberi amaran tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku penjawat awam di bawahnya sehingga tidak dilaporkan.

“Kalau nampak terang salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor, kenapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak tahu. Kita akan tetapkan seorang ketua jabatan atau ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat sekiranya diketahui di bawahnya itu sistemnya bobrok dan tidak dilaporkan,” katanya.

Kita kini di ambang tahun 2025, namun Napoleon Kecil — sekumpulan kecil penjawat awam yang berusaha menunjukkan kuasa dengan menunda-nunda atau sengaja melambat-lambatkan sistem penyampaian, perkhidmatan dan pelaksanaan kerajaan — masih ada kalau pun tidak berleluasa.

Kedudukan “diktator kecil” ini dikatakan sangat kukuh dalam struktur pentadbiran pejabat disebabkan mereka yang mengawal sistem dan proses kerja serta dilindungi pegawai atasan yang bersekongkol sama. Mereka memanipulasi keadaan bagi mendapatkan kepentingan peribadi, sekali gus mencemarkan reputasi dan integriti perkhidmatan awam.

Ia satu kemujuran Dr Rafidah belum berhenti, sebaliknya meneruskan perjuangan bagi pihak rakan-rakan senasib dalam perkhidmatan kesihatan supaya Labu Labi dalam KKM dapat didedahkan dan diambil tindakan atau lebih ramai lagi akan memilih jalan keluar.

Moga-moga tahun 2025 akan membawa perubahan dan penambahbaikan yang diharap-harapkan. Selamat Tahun Baru. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.