Laporan FMT oleh wartawan Anne Muhammad 27 Disember lalu cukup menarik. PAS akan mengadakan apa yang dipanggil himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ bulan depan. Lebih tepat pada 6 Januari ini.
Menurut laporan itu, himpunan berkenaan diadakan bagi menunjukkan perpaduan bersama bekas perdana menteri (yang kini dipenjara) dalam rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung apa yang didakwa titah addendum berkait tahanan rumah.
PAS sokong Najib? PAS tak yakin Najib dah dapat pengadilan? Sejak bila PAS sayang Najib? But come to think of it semasa skandal 1MDB hangat diperkatakan dulu Presiden PAS Hadi Awang dan saf pemimpinnya ‘memilih’ untuk berdiam diri.
Adakah waktu itu PAS, walaupun parti pembangkang, sudah ‘menyayangi’ Najib yang sedang menerajui kerajaan? Lalu timbul dakwaan dan tuduhan PAS menerima dana daripada Najib. Hadi menafikan terima wang daripada Najib. Najib menafikan beri wang kepada Hadi. Wang yang disebut ramai waktu itu dikatakan berjumlah RM90 juta.
Hadi juga tidak terima dakwaan partinya berdiam diri berhubung skandal 1MDB. Menurut laporan bertarikh 4 Februari 2018 siaran The Malaysian Insight, portal digemari ramai suatu masa dulu, Hadi berkata “kami bercakap tentang isu 1MDB di Parlimen dan meminta Suruhanjaya Siasatan Diraja (ditubuhkan untuk menyiasat) tetapi tidak diterbitkan kerana media tidak mesra dengan kami.” Haa… taktik lazim politikus. Salahkan media.
Hadi seterusnya dipetik berkata “kami juga berjumpa Najib. Kami berjumpanya tetapi tak minta projek dengannya. Kami tegur dia. Kami tak hanya tegur dia di Parlimen tetapi kami juga kata kepadanya secara bersemuka.”
OK maknanya PAS tidaklah ‘sayang gila’ Najib. So why this solidarity with Najib come 6 January?
Mungkin PAS mahu berbaik semula dengan Umno dan inilah pada hemat mereka caranya. Mungkin mahu hidupkan semula Muafakat Nasional. Perpaduan parti Melayu sememangnya mencetus kesukaan dalam kalangan ramai orang Melayu.
PAS sudah beberapa kali acah-acah mahu berdamai dengan Umno tetapi dalam pada tu berkata “kami tak akan bekerjasama selagi Ahmad Zahid Hamidi memimpin Umno”. Ini susulan Umno kata tiada kerjasama Umno-PAS selagi Hadi presiden PAS. Selain itu kata Umno ia tidak mahu digigit dua kali.
Sekarang dengan PAS mahu adakan himpunan setiakawan dengan Najib bekas presiden Umno, apa reaksi Umno agaknya? Perlu diingat bila PAS anjur apa-apa perhimpunan ia boleh membawa ribuan penyokongnya. It can move the masses. Umno kena memastikan orangnya lebih ramai datang daripada orang PAS.
Barangkali tindakan PAS itu strategi menggalakkan orang Umno menukar presidennya? Apa lagi bukan rahsia dalam Umno masih ada kelompok anti Zahid meskipun ramai sudah ‘dinyahkan’. Atau adakah PAS cuba memberi tekanan kepada Zahid supaya melakukan apa yang boleh untuk menolong Najib? Dalam lain perkataan, menekan Zahid membuktikan kesetiaan kepada bos lama dan kemampuannya kepada parti.
Saya tidak kata Umno dan PAS akan berbaik semula tetapi politics being what it is saya tidak akan terkejut beruk jika itu berlaku. Sebab tiada apa yang mustahil dalam politik. Ini umum tahu. The art of the possible. Semuanya bisa. Serba boleh serba jadi. Kita biasa dengar dalam politik tidak ada kawan yang kekal, tidak ada musuh yang kekal, yang kekal kepentingan bersama.
Walaupun banyak songeh, berbaik semula is the easy part. Yang susahnya mengatasi masalah yang kedua-dua parti sudah maklum bukan benda baharu malah PAS-Umno pernah cuba mencari jawapannya dulu.
Umpamanya siapa dapat apa? Umno dapat apa PAS dapat apa? Pilihan raya kelak berapa kerusi PAS tanding manakala Umno berapa? Kawasan mana yang dipertaruhkan kerana semasa berperang dulu mereka bertanding di kawasan yang masing-masing claim kawasan tradisi. Siapa jadi perdana menteri? Presiden PAS ke Umno?
Kedua-dua kata merkea parti Melayu-Islam. ‘Islam’ yang macam mana Umno hendak? Adakah Umno setuju dengan perundangan syariah anjuran PAS? Contoh: Hukuman sebat depan khalayak ramai ke atas pesalah jenayah takzir yang dijalankan di Terengganu yang ditadbir PAS. Sekarang Kelantan dah bersuara buat tindakan sama. Mursyidul am PAS mencadangkan semua negeri yang diperintah PAS menguatkuasakan perundangan seumpama Terengganu. Ertinya jika perintah Malaysia dari Perlis sampailah ke Sabah melaksanakannya. Umno setuju?
Umno sejak ditubuhkan pada 1946 mencorakkan dirinya sebagai parti Melayu, Islam dan nasionalis atau kebangsaan. Lantas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Pun begitu lama-kelamaan Umno menerap unsur Islamik tetapi mahu kekalkan imej parti nasionalis moderate. Berbeza imej terpaling Islamis PAS.
Bersatu yang asalnya Umno juga mahu imej nasionalis moderate, tetapi sejak berkawan dengan PAS dalam Perikatan Nasional, Bersatu semakin hardline dalam isu agama dan ras demi political survival. Bercakap mengenai Bersatu apa agaknya kata mereka jika Umno dan PAS baik semula. Kita tahu there’s no love lost between them. Kat mana nak letak Bersatu dalam equation Umno-PAS?
Sebenarnya banyak lagi perkara yang mesti diteliti dan atasi jika PAS dan Umno mahu bekerjasama. Kalau nak tulis sampai tahun depan tak habis. Bercakap pasal tahun depan, memang banyak perkembangan politik dijangka. Membosankan, memualkan, menakutkan, menggembirakan. Terpulang dari sudut mana anda melihatnya.
Selamat Tahun Baru buat semua. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.