Mereka tidak ada kena mengena dengan apa-apa salah laku mahu pun konspirasi tetapi mereka yang berdepan dengan cemuhan dan ejekan.

Jujur saya nyatakan apabila Mokhtar Dahari dan rakan seangkatan bersara, saya sudah tawar hati dengan bola sepak negara termasuk perkembangan pasukan kebangsaan.
Saya ikuti juga sedikit sebanyak liga semi pro tahun 1990an berdasarkan saki baki minat tetapi khususnya kerana melaksanakan tugas selaku penyelaras jabatan sukan TV3. Selepas itu saya tidak mengikuti bola sepak Malaysia secara dekat.
Bagaimanapun hari ini saya rasa perlu mengeluarkan pandangan tentang pasukan bola sepak kebangsaan atau apa yang ramai gelar Harimau Malaya. Sebelum itu perlu juga dinyatakan mengenai gelaran Harimau Malaya itu sendiri menurut pemahaman saya. Setahu saya Harimau Malaya dulu merujuk pasukan kebangsaan pada zaman Raja Bola, Abdul Ghani Minhat. Lantas jersi mereka ketika itu belang kuning hitam bagai harimau. Lambang Malaya waktu itu juga harimau. Itu juga lambang Malaysia sehingga dewasa ini. Sang belang juga tertera pada logo Persatuan Bolasepak Malaya. Maka tentulah pasukan bola sepak kebangsaan dipanggil Harimau Malaya.
Tetapi pada lewat 1960an dan seterusnya — waktu pasukan bola sepak Malaysia melalui zaman kegemilangan, gelaran itu tidak digunakan. Ketika Malaysia menang Piala Pestabola Merdeka 1968 atau semasa pasukan kebangsaan beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972 dan layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, mereka tidak dipanggil Harimau Malaya dan cuma dirujuk sebagai pasukan kebangsaan Malaysia.
Tak kisahlah semua itu. Realitinya pasukan bola sepak Malaysia sekarang digelar Harimau Malaya. Saya akur dan terima hakikat itu dan menerusi artikel ini saya bercakaplah pasal Harimau Malaya sekarang.
Umum tahu Harimau Malaya kalah 1-3 kepada Vietnam Selasa lalu dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong di Nam Dinh. Mujur tidak diharamkan bermain sama sekali. Konfederasi Bola Sepak Asia atau AFC tetap mengizinkan mereka melengkapkan jadual kempen Piala Asia (yang sudah tidak bermakna) berikutan tindakan FIFA ke atas Malaysia yang kita semua tahu mengapa, sama ada minat bola sepak atau tidak.
Saya petik laporan Sinar Harian siaran 1 April lalu. Berdasarkan kemas kini terbaharu di laman web rasmi FIFA, Malaysia yang sebelum ini menghuni tangga ke 135 dunia jatuh tiga anak tangga lagi ke kedudukan 138.
Sebelum ini Malaysia mengalami kejatuhan mendadak daripada kedudukan ke 116 ke tangga ke 121 pada Disember lalu selepas FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin. Keputusan tersebut menyaksikan kemenangan percuma 3-0 diberi kepada pasukan lawan sebagai sebahagian hukuman FIFA berhubung skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Malaysia. Kemelut berterusan apabila AFC turut mengambil tindakan serupa terhadap dua perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Vietnam dan Nepal bila mana Malaysia menggunakan khidmat tujuh pemain berkenaan.
Rentetan pemotongan mata itu ranking Malaysia menjunam dari 121 ke 135 dan sekerang tangga ke 138 dunia selepas kekalahan dengan Vietnam minggu lalu.
Maklumat itu untuk memberi konteks kepada penulisan ini. Now with that out of the way saya nyatakan apa yang mahu saya nyatakan. Sebelum Harimau Malaya yang ada sekarang berangkat ke Nam Dinh, para pemain tahu apa yang bakal ditemui di Vietnam kelak.
Bak kata penulis FMT, Frankie D’Cruz, dalam artikelnya sebelum perlawanan: “With qualification for the Asian Cup gone after sanctions over falsified records, Malaysia heads into a hostile Vietnam fixture searching for purpose beyond the table.”
Para pemain tahu akan situasi panas yang menanti. Mereka tahu akan dikecam dan dicemuh. Mereka tahu Vietnam tidak lupa kekalahan 4-0 di tangan Malaysia di Stadium Bukit Jalil 10 Jun tahun lalu.
Harimau Malaya tahu akan ini semua namun mereka pergi juga ke gelanggang musuh yang sedang membara mahu balas dendam. Mereka tahu Impian Piala Asia sudah hancur sebelum perlawanan bermula namun mereka main juga.
Sesungguhnya di Vietnam penyokong tuan rumah menyindir tajam. Menurut Sinar Harian ada segelintir penyokong Vietnam mempamerkan kain rentang besar yang mengejek status skuad Harimau Malaya.
Sememangnya mereka amat yakin kekalahan Vietnam di tangan Malaysia dulu hanya kerana adanya pemain orang putih yang menyamar sebagai rakyat Malaysia dalam skuad Harimau Malaya. Well the seven players in question were not in the team last Tuesday and Vietnam won the match.
Persetan keputusan perlawanan. Itu bukan persoalannya. Yang mahu saya tegaskan ialah pemain yang menentang Vietnam Selasa lalu tidak ada kena mengena dengan pemalsuan dokumen. Mereka tidak ada kena mengena dengan mencari dan membawa pemain warga asing untuk menyarung jersi Malaysia. Mereka tidak ada kena mengena dengan apa-apa salah laku mahu pun konspirasi.
Tetapi mereka yang berdepan dengan cemuhan, kritikan, ejekan, dipersenda dan ditertawa dan segala macam aib. Mereka menanggung beban akibat kesalahan yang dibuat orang lain.
Yang mengilhamkan rancangan membawa tujuh pemain luar bertopeng status pemain warisan tidak menerima cemuh dan ejekan di Stadium Thien Truong tempoh hari. Begitu juga golongan yang bertanggungjawab memalsukan dokumen dan menyembunyikan salah laku.
Saya ulangi yang tanggung aib di stadium Thien Truong adalah pemain Harimau Malaya sekarang.
Lantas saya namakan mereka si pemberani. Berani menghadap pelbagai cabaran, ejekan dan kutukan yang tercetus bukan kerana perbuatan mereka. Mereka hadapi semua bagi pihak orang lain.
Saya tabik si pemberani meskipun masih tidak minat bola sepak Malaysia — liga atau apa pun. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.