Adun Lenggeng Asna Amin tepis laporan wakil PH mungkin dilibatkan dalam pentadbiran negeri yang baharu.

Asna menegaskan tiada sebarang rundingan diadakan untuk membawa PH menyertai kerajaan negeri yang telah dipersetujui dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Berkenaan isu ada ura-ura perbincangan membawa PH dalam kerajaan, saya ingin menegaskan, langsung tiada perbincangan. Titik,” kata wakil rakyat BN itu di Facebook.
Terdahulu, MalaysiaGazette memetik sumber melaporkan PH kini disebut-sebut berkemungkinan menyertai pentadbiran Negeri Sembilan dalam pembentukan barisan exco yang masih dipercayai peringkat rundingan.
Laporan itu menyebut antara formula sedang diperhalusi ialah kemungkinan melibatkan wakil PH dalam pentadbiran negeri sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kestabilan politik serta membentuk sebuah kerajaan yang lebih inklusif.
Pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu, BN dan PN masing-masing menang 18 serta 7 kerusi menyaksikannya berjaya merampas pentadbiran daripada PH.
PH sekadar menang 11 kerusi dengan dua tokohnya iaitu Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook tewas.
Adun Juasseh Ismail Lassim mengangkat sumpah sebagai menteri besar menggantikan Aminuddin.
Dalam pada itu, Asna turut menafikan dakwaan bekas menteri besar Rais Yatim bahawa wujud campur tangan luar dalam urusan adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan ketika proses pelantikan menteri besar.
Rais sebelum ini merujuk kepada pertemuan Pengerusi BN Zahid Hamidi dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum pelantikan menteri besar dibuat.
Asna berkata pertemuan itu tidak bermakna Zahid mencampuri urusan institusi diraja, adat atau proses pemilihan menteri besar.
“Dakwaan bahawa ada campur tangan pihak luar dalam pelantikan jawatan menteri besar Negeri Sembilan adalah tidak benar.
“Beliau tidak mempengaruhi atau campur tangan dalam urusan pemilihan ini dan bersikap amat profesional,” katanya.
Menurut Asna, selepas senarai calon dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz, Zahid selaku pengerusi BN menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada budi bicara baginda.
Katanya, menteri besar telah dilantik dan mula menjalankan tugas, maka semua pihak perlu berhenti mempertikaikan keputusan itu serta memberi ruang kepada pentadbiran baharu melaksanakan tanggungjawabnya.
“Utamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik atau peribadi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.