`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, December 25, 2012

Generasi Y faktor penentu PRU 13. Pimpinan PR Perak wajib baca!


gen Y
KUALA LUMPUR : Di sebalik kontroversi politik yang kian berleluasa ketika ini, rupa-rupanya ada persoalan penting yang perlu diberi perhatian, iaitu sejauh mana pengetahuan Generasi Y terhadap sejarah dan tokoh bangsa yang dilihat mampu menentukan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan parti-parti politik mungkin sibuk melontarkan hujah mengenai kebaikan dan keburukan yang bakal dilalui pada PRU-13, tetapi adakah generasi diperkatakan menyedari implikasi yang bakal dilalui?
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Yaakub berkata, generasi muda tidak lagi mementingkan kekuatan kerajaan pentadbir malah tidak menghiraukan keadaan negara.
“Memang negara kita selama ini di tadbir oleh kerajaan yang bertanggungjawab, tetapi adakah kita mahu ianya terhenti di situ saja.Tidakkah kita tertanya-tanya apa yang bakal berlaku kepada masyarakat terutama selepas PRU-13 sekiranya ia jatuh ke tangan mereka-mereka yang berkepentingan?
“Apa yang saya dapat lihat ketika ini ialah, golongan ini (generasi Y) tidak mempunyai semangat kenegaraan malah tidak ambil peduli tentang masa depan negara sedangkan mereka tahu bahawa mereka akan berdepan dengan pelbagai rintangan sekiranya perkara ini diambil mudah,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Times.
Dr. Mohammad berkata, ketiadaan sikap cintakan negara dalam diri golongan itu seolah-olah menunjukkan generasi tersebut benar-benar alpa dan mundur meskipun hakikatnya negara telah membariskan pemimpin yang hebat.
“Sekiranya golongan muda tidak tahu apa yang sedang berlaku, bagaimana kita dapat menolong mereka membuat persiapan untuk bersaing pada peringkat global,” soalnya.
Beliau mengingatkan generasi Y untuk mengambil sikap luas dan liberal serta tidak terkongkong agar dapat membantu generasi akan datang untuk mengambil manfaat daripada tindakan wajar yang diambil.
Seorang lagi penganalisis politik, Dr Rahmat pula berkata, sikap golongan muda yang suka memberontak menyebabkan mereka lebih suka menyokong pembangkang berbanding kerajaan.
“Orang muda lebih suka berseronok sahaja. Kalau mereka buat sesuatu yang melanggar undang-undang, mereka lebih seronok. Macam juga kalau pilihanraya, kalau mereka sokong pembangkang dan tidak menyokong kerajaan, mereka akan rasa seronok.
Golongan ini juga kadang-kala melakukan sesuatu tanpa sebab,” katanya.
Badan bukan kerajaan (NGO)
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Pemuda Malaysia Semenanjung (GPMS), Rosdi Amir, salah faham tentang politik dan kepentingan mengundi menyebabkan generasi muda enggan turun mengundi.
“Mengundi adalah satu tanggungjawab kepada rakyat semasa nak memilih kerajaan yang sah dari sudut undang-undang. Politik pula ialah perjalanan seseorang pemimpin yang mungkin memerintah negara.
“Kita tak boleh salahkan sesiapa jika parti yang kita tidak suka menang sebab kita tidak keluar mengundi. Kita perlu ingat, kerajaan yang dipilih kelak akan memberi semula kepada rakyat. Ramai yang ambik enteng kepentingan mengundi terutamanya orang muda. Walhal kepimpinan kita akan diwarisi oleh golongan muda,” tegasnya.
Bagi Pesuruhjaya Suhakam, Detta Samen, mengundi adalah hak asasi setiap rakyat di negara yang menjalankan pemerintahan secara demokrasi dan generasi muda seharusnya perlu lebih peka mengenainya .
“Itu adalah hak asasi mereka, jadi mereka haruslah menunaikan hak asasi tersebut. Jika mereka tidak keluar mengundi, akan ada isu yang akan timbul di kemudian hari.
“Orang muda harus memainkan peranan dan bertanggungjawab mereka untuk tentukan kerajaan yang bakal memerintah. Ini adalah peluang untuk kita menentukan apa yang kita mahukan. Saya agak kecewa kalau tengok statistik sebab ramai pemuda yang ada hak mereka, tetapi tak menunaikannya. Don’t be a bystander, just participate,”ujarnya
Pandangan Ahli Politik
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut menekankan kepentingan mengundi melalui mesejnya kepada rakyat.
“Kepentingan mengundi itu menjadi prasyarat kepada mana-mana perubahan yang berlaku. Saya fikir, mesej mengajak orang muda dan mengajak mereka yang layak mengundi harus dilaksanakan oleh setiap pemimpin tidak mengira parti kerana kehadiran mereka di peti undi memungkinkan senario politik tanah air yang lebih dinamik dan kejayaan dilakar mana-mana pihak,”ujarnya.
Izzah berkata, setiap rakyat di Malaysia diberi kebebasan sama ada mahu mengundi atau tidak kerana ia termaktub dalam kebebasan hak asasi manusia namun undi sebenarnya sangat penting dalam menentukan hala tuju sesebuah negara bagi masa hadapan.
“Kita sebagai rakyat pula adalah orang yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut. Justeru, masa depan negara sebenarnya berada di tangan kita. Turun mengundi jika anda benar-benar mahukan negara yang anda idam-idamkan kerana satu undi mungkin merubah segalanya,” jelasnya.
Wee Choo Keong
Selain itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula menyatakan bahawa mengundi bukanlah untuk suka-suka, tetapi ia penting untuk masa depan negara.
“Mengundi akan menentukan masa depan mereka. Walaupun mereka tidak keluar mengundi, keputusan akan tetap dicapai jadi ia akan dianggap sebagai keputusan mereka juga. Lepas tu jangan pula kata kerajaan yang menang nanti tidak baik jika ia tidak memenuhi permintaan mereka.
“Ia (mengundi) adalah satu proses demokrasi dalam negara. Untuk memilih kerajaan yang baik, rakyat terutamanya golongan muda perlu peka dengan keadaan semasa, dan sentiasa membuat keputusan yang terbaik.
Jadi lebih baik jika mereka turun mengundi dan pilih kerajaan yang dirasakan sesuai untuk mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak menyesal kerana mencuba.”ujarnya.
Apa kata mereka?
Mohd Hashim
“Orang muda tentu sahaja akan tentukan kemenangan, sebab orang tua biasanya dah ada pilihan sendiri.Tapi saya harap orang muda undi kerajaan sebab kalau bagi menang pembangkang, kita tak tahu masa depan kita,”- Mohd Hashim b. Abdullah, 26
Vincent
“Muda mudi adalah penentu, sebab mereka masa depan negara. Ramai yang tak tahu hakikat sebenar kepentingan mengundi pihak yang betul, tu mereka main-main je. Orang-orang tua dah biasa, mereka tahu mana pihak baik dan mana yang tak betul sebab mereka dah biasa. Jadi orang muda kena turun mengundi. Pilih mana yang terbaik kerana ia bakal tentukan masa depan kita,” – Vincent Hi, 33
Siti Mariam
“Golongan muda selalunya tidak tetap pendirian, jadi mereka akan membuat keputusan di saat-saat akhir sahaja. Golongan tua pula selalunya sokong yang dia dah sokong dari dulu dan sukar beralih angin, jadi sukar bagi mana-mana parti lawan untuk mendapatkan sokongan mereka. Mana-mana parti yang boleh mendapatkan sokongan orang muda berpeluang untuk menang besar,” – Siti Mariam Mohd, 40
Ramasamy
“Kebanyakan anak muda mahu undi pembangkang sahaja. Susah untuk BN menang. Kalau anak muda keluar mengundi saya rasa kerajaan akan kalah. Semua orang kat rumah juga sokong Pakatan,”- Ramasamy, 65
Baca yang di bawah pulak!

SEMINAR GEN Y : PENENTU MASA DEPAN MALAYSIA

PENGENALAN
Generasi Y atau ‘generasi Millenium’ ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kelompok generasi manusia yang lahir sekitar tahun 1977 hingga 1997. Namun ada juga yang berbeza dalam menentukan tarikh bagi kelompok ini.Contohnya, terdapat beberapa tokoh seperti William Strauss dan Neil Howe’s yang memulakan tarikh permulaan bagi generasi ini pada 1982 hingga penghujung tahun ’90-an.
Walaupun berbeza dari sudut penentuan tahun, namun kelompok generasi Y (berumur antara 11 hingga 31 tahun) ini sebenarnya berkongsi ciri-ciri ketara yang sama berdasarkan kepada keadaan zaman ketika kelahiran mereka seperti peristiwa-peristiwa penting yang berlaku, peranan pemimpin, pembangunan dan kecenderungan zaman ketika itu.
Jika diperhatikan dengan teliti, dalam tempoh masa terdekat ini,kelompok generasi Y bakal menerajui hala tuju masa hadapan bermula dengan institusi kecil keluarga, masyarakat setempat, negeri dan seterusnya ke peringkat negara. Namun, jika ditimbang antara tanggungjawab yang bakal dipikul dan situasi semasa yang melingkari kehidupan kita ketika ini, hanya menampakkan pertumbuhan generasi Y ke arah perkembangan positif yang masih terumbang-ambing.
Tidak cukup dengan statistik kebejatan sosial yang semakin membarah dalam kalangan generasi muda yang ketinggalan di dalam pelajaran atau masih di bangku sekolah, ia turut merebak kepada kelompok golongan terpelajar di institut pengajian tinggi. Perkara ini yang amat membimbangkan. Apakah sandaran harapan yang kita ada?
Sehubungan itu, Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor dan Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia & Sukan, Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan Seminar Gen-Y yang memberi fokus kepada memahami psikologi dan biologi Generasi Y serta mencari solusi manhaj dakwah yang berkesan. Hasrat ini juga selaras dengan gagasan Kerajaan Negeri Selangor ke arah membina generasi belia Selangor yang berwibawa, beriman dan bertaqwa. Semoga Seminar ini menjadi wadah terbaik untuk para ilmuan, pendakwah, remaja bermuzakarah dan menghasilkan solusi terbaik bagi setiap isu yang dibentangkan.Tarikh : 29 Disember 2012
Masa : 8.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : Dewam Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor Shah Alam
PEMBENTANGAN KERTAS KERJA
9.00 pagi : SESI 1
Penjenamaan Generasi Manusia Menurut Perspektif Al-Quran HadithOleh : YBhg Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri
(Pendakwah / ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan dan Terengganu)
Ekspresi Gen Y Terhadap Dakwah
Oleh : YBhg. Ustaz Hj. Mohd Zamri Bin Zainal Abidin
(Pendakwah / Mantan Perantara Radio IKIM fm)
10.30 pagi : SESI 2
Generasi Y dan Z dari Aspek Perkembangan Psikologi
Oleh : YBhg Prof. Madya Dr. Mariani bin Md. Noor
(Universiti Malaya / Juri Rancangan Solehah TV Al-Hijrah)
Fenomena Media Baru : Sikap dan Sudut Pandang Gen Y
Oleh : YBhg Profesor Madya Dr. Abu Hasan Hasbullah
(Universiti Malaysia Kelantan / Penganalisa Politik)
12.00 tghari: UCAPTAMA
Gagasan Melonjak Harapan Belia Negara
Oleh : YB Dr. Ahmad Yunus Hairi
(Exco Adat Melayu, Belia & Sukan, Kerajaan Negeri Selangor)
2.00 petang : SESI 4
Bicara : Santai Bersama Selebriti : Hijrah Gen Y
YBhg. Puan Yatt Hamzah
YBhg. Cik Diana Amir
YBhg. Sdra Mel Wings
3.30 petang : SESI 3
Persepsi Gen Y terhadap Politik
Oleh : YBhg. Profesor Dato’ Dr Mohamad Redzuan Othman
(Profesor, Universiti Malaya)
Pendaftaran Penyertaan :
Untuk penyertaan seminar, sila hadir terus atau buat pendaftaran sebelum atau pada 27 Disember 2012 dengan menghubungi:
Sdra. Azmi : 016-274 6550
Sdra Hakimi : 013-384 0710
Pejabat: 03-5512 4300 / 03-5511 4301
Faks : 03-5511 4302
Email: pumselangor@yahoo.com
Website
http://www.pumselangor.org

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.