`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 17, 2013

MURUT KINI BERADA DI PERSIMPANGAN JALAN?





Oleh: JACOB BALANG
MANTAN Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Tenom (2008) Adris Taripin, menyifatkan perlantikan enam pemimpin daripada Sabah membarisi kabinet Persekutuan suatu keputusan yang bijaksana setakat ini; namun berpendapat masyarakat Murut berada di persimpangan jalan setelah Kabinet Malaysia meminggirkan pemimpin yang mereka pilih melalui PRU-13.

Perlantikan tiga pemimpin KDM ke dalam Kabinet Persekutuan iaitu Datuk Dr Maximus Ongkili, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Dr Ewon Ebin tidak boleh disifatkan mewakili masyarakat Murut, sekalipun dalam rumpun KDM.
Kata Adris, Sub etnik di dalam kelompok Kadazandusun (KD) terlalu ramai yang dianggarkan lebih 10 sub etnik; begitu juga dengan kesukuan Murut yang meliputi kira-kira 8 sub etnik.

"(jadi), tidak mungkin kebajikan masyarakat KDM mampu ditangani dengan berkesan dalam satu masa. Lebih-lebih lagi jika ia terpaksa bersandar kepada 3 Menteri di dalam kabinet yang terpaksa menjaga dan melayani penyokong serta para pengundi di kawasan masing- masing. Sudah pasti lah terlalu rumit.

“Kita juga sudah ada pemimpin Murut untuk menggalas tugas tersebut jika diberi peluang seperti Datuk Raime Unggi yang menang Parlimen Tenom pada PRU13 dan yang seorang lagi Dr Lucas Umbul seorang Ahli Dewan Negara (Senator),” kata beliau ketika mengulas barisan kabinet baru Persekutuan selepas PRU13.

Kata Adris, satira politik yang popular di era pemerintahan Kerajaan Berjaya (1976-1985) "Dusun senang di susun, Murut senang diurut" kini kembali lagi dengan agenda yang berbeza.
Tegasnya lagi, tidak ada sebab kenapa Perdana Menteri terlalu sukar untuk melantik seorang lagi pemimpin Murut ke dalam barisan kabinet itu jika benar-benar mahu mewujudkan Kabinet Transformasi.

"Sedangkan pemimpin Hindraf yang suatu ketika dahulu terlalu lantang mengkritik kerajaan BN, tetapi hari ini pemimpinnya sudah berada dalam kabinet. Kenapa Murut terus tersisih?" kata Adris yang turut mengakui bahawa kabinet baru lebih berimbang daripada sebelumnya, tetapi cacat kerana tiada suku Murut.

Pada Rabu, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan barisan kabinet baru seramai 24 orang Menteri manakala Timbalan Menteri seramai 27 orang itu, antara lain telah melantik Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Tan Sri Joseph Kurup, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Dr Ewon Ebin.

Manakala Timbalan Menteri yang turut dilantik dari Sabah, Datuk Mary Yap (baru), Datuk Abdul Rahim Bakri (dilantik semula), Datuk Rosnah Abdul Rashid Sherlin (dilantik semula), dan Datuk Azizah Mohd Dun (baru).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.