KENYATAAN MEDIA SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA
1. Sebagai maklumat tambahan untuk mengelakkan percubaan mengundi lebih daripada sekali oleh seorang pengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menggunakan dakwat kekal dalam proses pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13). Walau bagaimanapun, penggunaan dakwat kekal itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada parti politik, calon dan pengundi bahawa dakwat kekal itu tidak kekal lama melekat di jari pengundi.
2. Berdasarkan pengalaman pertama itu, SPR yang mengadakan Mesyuarat SPR pada hari ini, 21 Mei 2013 telah memutuskan untuk menubuhkan satu Pasukan Khas Menyemak Masalah-Masalah Penggunaan Dakwat Kekal PRU Ke-13 untuk meneliti hal-hal yang berkaitan dengan dakwat kekal itu. Di antaranya berkaitan aspek ramuan, syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, cara penggunaan dakwat kekal, kaedah calitan dakwat kekal di jari dan hasil ujian-ujian yang telah dibuat sebelum dihantar ke Malaysia dan selepas dakwat itu sampai di Malaysia. SPR berharap, dengan penubuhan pasukan khas ini, ia akan dapat membantu SPR mengenalpasti perkara-perkara yang menyebabkan dakwat itu tidak kekal lama di jari setelah dicalit. Tempoh Pasukan Khas itu menyiapkan penyiasatannya dalam tempoh satu bulan.
3. SPR juga memandang serius perbuatan pihak-pihak tertentu yang telah menyebarkan rakaman video, tulisan dan gambar melalui laman sosial, media cetak dan portal berita berhubung dengan tuduhan dan dakwaan yang tidak berasas mengenai SPR. Di antara tuduhan dan dakwaan itu adalah seperti yang berikut:
(a) warganegara asing mengundi dalam PRU Ke-13;
(b) kejadian lampu padam semasa pengiraan undi;
(c) berlaku tiga tong undi hilang di pusat penjumlahan rasmi undi di Putrajaya;
(d) peti undi diturunkan dari helikopter dengan tujuan memenangkan pihak yang tertentu;
(e) kenderaan SPR membawa peti undi ke pusat penjumlahan rasmi undi dengan tujuan untuk memanipulasi keputusan pengundian;
(f) petugas SPR meminta agen calon menandatangani Borang 14 sebelum tamat proses pengiraan undi;
(g) terdapat pengundi hantu yang mengundi dalam PRU Ke-13; dan
(h) pengundi dari Sabah dan Sarawak diangkut dan dihantar untuk mengundi di beberapa negeri.
4. SPR mendapati semua tuduhan dan dakwaan itu adalah tidak berasas, tidak benar dan boleh mengelirukan rakyat serta mendatangkan ketidaktentuan dalam negara. Satu laporan Polis telah dibuat oleh Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria pada 16 April 2013 bagi menjaga nama baik dan integriti SPR sebagai sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan pilihan raya. Salinan laporan Polis disertakan.
5. SPR akan meneruskan sesi penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu PRU Ke-13 bagi memberikan maklumat dan fakta yang tepat kepada orang ramai melalui pelbagai kaedah termasuk melalui media massa. SPR juga menasihatkan orang ramai supaya menapis maklumat-maklumat yang dibaca terutamanya dari media sosial. Jika perlu, orang ramai boleh menghubungi SPR bagi mendapatkan maklumat yang sahih berkaitan sesuatu isu itu.
Sekian dan terima kasih.
…………….t.t………………
(TAN SRI DATO' SERI ABDUL AZIZ BIN MOHD YUSOF)
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
21 Mei 2013
mantra:
1. Ong Kia Meng, DAP MP of Serdang had used Chua as an
example of foreigners being given Malaysian identity cards
- The Star
2. Nurul Izzah dan Tian Chua - dakwat tidak kekal ditunjuk pada pukul 7.55 pagi?
Dan Nurul Izzah ada cara untuk menghilangkan dakwat kekal, saksikan DI SINI
3. DAP rancang operasi 'blackout' PRU13 .... di SINI
4. Semua bukti untuk SPR ambil tindakan ada di SINI...
4. Semua bukti untuk SPR ambil tindakan ada di SINI...
5. Google search saja penipuan demi penipuan Pakatan Rakyat!
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.