Oleh : MOHD FARHAN DARWIS
SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah diberitahu hari ini pendatang asing dari Filipina didakwa menggunakan nama bapa kepada bekas ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun dalam kad pengenalannya.
Eric yang dipanggil sebagai saksi ke-130 memberitahu panel RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bahawa beliau secara peribadi mengenali individu berkenaan, malah turut berkata warga asing Filipina itu sebelum itu hanya menggunakan passport.
"Saya kenal, dia tukang buat rumah dan menggunakan passport dulu, kemudian saya diberitahu oleh saudara bahawa dia menggunakan kad pengenalan.
"Dia orang Filipina yang gunakan nama ayah saya, Majimbun!" kata Eric, yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu.
Beliau kemudiannya berkata kepada panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, pada 2007, beliau telah mengarahkan unit Cawangan Khas pasukan polis menyiasat perkara itu, dan telah diberikan salinan kad pengenalan warga Filipina tersebut.
"Kebetulan SB (cawangan khas) dapat dan beri satu salinan kad pengenalan menggunakan nama Jerum Majimbun, bapa saya."
"Kemudian saya menulis surat kepada Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada 2007 memaklumkan perkara itu, namun tiada sebarang jawapan," katanya.
Pegawai penyiasat RCI bagaimanapun kemudiannya memberikan penjelasan kepada Eric, nombor kad pengenalan yang tertera kepada kad pengenalan milik warga Filipina itu adalah palsu, dan nombor berkenaan tidak pernah didaftarkan.
"Nama ini tidak pernah dikeluarkan (Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ... dengan kata lain, IC yang dikeluarkan adalah palsu," kata pegawai penyiasat Azmir Ariffin kepada Eric.
"Kalau palsu kenapa (KDN) tak maklumkan kepada saya?" soal Eric.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.