`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 20, 2013

Loji arang batu kejutkan rakyat Sabah

Penggunaan batu arang telah dibangkit dalam mesyuarat kabinet pusat. Perkembangan ini bercanggah dengan keputusan Ketua Menteri
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah sekali lagi dikejutkan oleh pengumuman penggunaan sumber arang batu sebagai penjana tenaga selepas ia telah ditolak oleh kerajaan negeri pada dua tahun yang lalu.
Kedatangan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak ke Sabah untuk merasmikan sambutan Hari Malaysia ke 50 diiringi dengan hadiah sebuah loji penjana batu arang.
Timbalan Menteri Tenaga, Tekonologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Mahdzir Khalid telah memaklumkan kepada media bahawa penggunaan batu arang telah dibangkit dalam mesyuarat kabinet pusat. Perkembangan ini bercanggah dengan keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Sabah Musa Aman pada awal tahun 2011 yang telah membuat keputusan untuk tidak membina loji batu arang di Sabah.
Mahdzir berkata, sumber batu arang sebagai penjana kuasa adalah pilihan yang amat sesuai untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik yang berpanjangan kerana tidak banyak pengguna sanggup untuk membayar harga tarif bekalan elektrik yang tinggi sekiranya menggunakan sumber penjana yang lain.
Malah, Mahdzir menyalahkan seorang pemimpin kumpulan pencinta alam, dan berkata jika individu yang tidak beliau nyatakan nama itu, tidak membantah, Sabah tidak akan mengalami kekurangan kuasa hari ini kerana loji kuasa arang batu itu mungkin telah pun memulakan operasi dalam tahun 2010.
Sebelum ini Mahdzir juga mengumumkan penubuhan Pasukan Kerja (Task Force) Perancangan Dan Pemantauan Perlaksanaan Projek-Projek Pembekalan Elektrik Sabah (PPPES). Tujuan penubuhan Pasukan Kerja ini adalah untuk menyeleras masalah bekalan elektrik secara menyeluruh dan meneliti dan memantau projek-projek bekalan elektrik di Sabah.
Perbincangan di peringkat kerajaan pusat ini telah mengejutkan pelbagai pihak termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun ketika ditanya oleh pihak media. Beliau berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk tidak membina loji batu arang untuk menjaga alam sekitar untuk kepentingan industri pelancongan negeri.
Tarikan
“Keupayaan kerajaan negeri untuk menjaga alam sekitarnya adalah tarikan utama jutaan pelancong datang melawat dalam setahun. Kerajaan persekutuan seharusnya menghormati keputusan kerajaan negeri untuk tidak meneruskan perancangan ini,” katanya.
Badan Bukan Kerajaan (NGO) amat kesal sekali akan keputusan kerajaan pusat yang bertegas untuk membangkitkan semula penggunaan sumber arang batu di Sabah setelah memerima banyak membantah akan pembinaanya di pantai timur Sabah.
Pengerusi Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (SEPA), Lanash Thanda mempersoalkan kepekaan Mahdzir dalam isu bantahan batu arang di Sabah sedangkan beliau pernah mengajar di Sabah pada tahun 80an.
Lanash menjelaskan, rakyat Sabah dan kerajaan negeri yang sebenarnya telah membuat keputusan menolak penggunaan batu arang di Sabah yang berubah lokasi sebanyak tiga kali. Pertama kali di Silam, Lahad Datu, kedua di Seguntor, Sandakan dan ketiga di Kampung Sinakut, Lahad Datu yang berdekatan dengan lokasi kejadian Kampung Tanduo beberapa bulan yang lalu.
“Dakwaan Mahdzir yang menyalahkan Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack sebagai penyebab kepada kekurangan bekalan tenaga di Sabah adalah tidak tepat sama sekali” tegas beliau
Membazir
Tiba masanya kita berhenti membazir masa, wang dan usaha untuk menilai kembali sumber kotor seperti batu arang dan maju ke hadapan dengan menilai akan sumber tenaga hijau yang banyak di Sabah. SEPA amat mengalu-alukan perbincangan ini dengan Timbalan Menteri sekiranya dijemput.
Pengarah Eksekutif Land Empowerment Animals People (LEAP), Cynthia Ong, berkata kerajaan Malaysia tidak harus dilihat sebagai berdolak dalik dalam soal ini.
Beliau berkata Sabah tidak boleh mempunyai sumber tenaga yang mencemarkan, sedangkan ia menyatakan kepada dunia bahawa negeri ini merupakan penggerak barisan hadapan dalam usaha pempelbagaian bio dan pemuliharaan.
Katanya, masyarakat antarabangsa memuji Perdana Menteri Najib Razak kerana menyambut seruan oleh masyarakat awam dan orang ramai yang membantah pembinaan loji kuasa arang batu 300 Megawat di pantai timur Sabah.
“Komitmen kerajaan Malaysia seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, pada 16 Feb, 2011 mestilah dipertahankan. Kami amat terkejut mendengar bahawa Kerajaan Persekutuan masih mempertimbangkan sebuah loji kuasa arang batu sebagai sebahagian daripada penjanaan tenaga bagi Sabah, kali ini di Tawau,” tegas Ong.
Ong berkata sama ada Mahdzir tidak tahu apa yang berlaku atau telah diberikan maklumat yang salah tentang pergerakan akar umbi yang berusaha tanpa mengenal penat dan lelah bersama dengan anggota masyarakat yang prihatin untuk meyakinkan kerajaan bahawa loji kuasa arang batu tidak memberi faedah kepada Sabah.
Keupayaan
Lanash dan Ong juga bersama memetik kenyataan Ketua Menteri Musa Aman yang menyatakan Perdana Menteri  (Najib Razak) amat memahami bahawa sementara kita perlu meningkatkan keupayaan bekalan tenaga di Sabah, ia tidak boleh dilakukan dengan mengabaikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pencinta Alam Malaysia Omar Kadir berkata, kerajaan pusat tidak sepatutnya membangkitkan semula loji batu arang yang bernilai RM1.3 billon. Mereka sepatutnya menumpukan usaha untuk menyiapkan grid elektrik selatan yang dijangkakan siap pada tahun 2005 yang memberi tenaga tambaha 500mw kepada pantai timur Sabah.
Beliau mendakwa, ada segelintir yang sengaja menangguh kerja pembinaan grid selatan ini semata mata untuk membina loji batu arang di Sabah. Sekiranya mereka bertekad untuk meneruskan perancangan mereka, ini akan memberi gambaran kepada rakyat Sabah bahawa Perdana Menteri Malaysia Najib tidak ikhlas ketika beliau menghentikan pembinaan loji batu arang di Sabah.
Sehingga kini, Sabah adalah negeri terakhir yang masih bebas dalam penggunaan batu arang di pulau Borneo. Keputusan kerajaan negeri untuk tidak meneruskan pembinaan loji batu arang tersebut ternyata tidak berkekalan dengan perkembangan yang baru ini.
Terdapat tanda tanda perbincangan untuk membangkitkan penggunaan batu arang dalam kerajaan untuk menyelesaikan masalah bekalan tenaga dalam dilaporkan oleh FMT pada 8 Jun yang lalu. Kerisauan pelbagai pihak menjadi nyata apabila pengumumannya disiarkan oleh pihak media.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.