`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 17, 2013

Lokasi sambutan Hari Malaysia jadi tanda tanya

Penduduk berasa kecewa atas kegagalan kerajaan negeri mengadakan sambutan di Padang Merdeka Kota Kinabalu yang membawa lebih makna dalam sejarah ulang tahun penubuhan Malaysia.
KOTA KINABALU: Malam sebelum Hari Malaysia di Tanjung Aru disambut dengan limpahan hujan yang sederhana. Namun, ia tidak menghalang kebanyakan penduduk Kota Kinabalu daripada melawat tapak sambutan dan melihat pameran budaya etnik, rumah tradisional, dan pertunjukan bunga api pada malam sebelumnya.
Acara tersebut adalah acara yang ditunggu-tunggu oleh penduduk tempatan tetapi lokasi sambutan pada tahun ini telah mewujudkan tanda tanya oleh kebanyakan penduduk Sabah akan kesesuaiannya ia disambut di pantai Tanjung Aru sedangkan ia adalah sambutan Jubli Emas penubuhan Persekutuan Malaysia
Apabila ditanya, ada di kalangan penduduk berasa kecewa atas kegagalan kerajaan negeri menggunakan kesempatan ini untuk mengadakan sambutan di Padang Merdeka Kota Kinabalu yang membawa lebih makna dalam sejarah ulang tahun penubuhan Malaysia.
Padang Merdeka Kota Kinabalu atau juga pernah dikenali sebagai Town Padang merupakan lokasi pengistiharan Malaysia di Sabah 50 tahun yang lalu.
Kejadian bersejarah ini berlangsung dengan kehadiran Tun Abdul Razak, Tun Mustapha  Datu Harun dan Tun Fuad Stephens, mengangkat sumpah dan menandatangi perjanjian penubuhan Malaysia dengan disaksikan oleh penduduk bandar Kota Kinabalu yang pada masa tersebut dikenali sebagai Jesselton.
Lokasi sambutan Hari Malaysia ke 50 dikatakan tidak dapat disambut di Padang Merdeka kerana kawasannya terlalu kecil dan tidak mampu menampung bilangan perserta dan kedatangan penduduk yang dijangkakan amat ramai.
Tambahan pula, aktiviti naik taraf kawasan tempat duduk teduh di Padang Merdeka yang sekian lama tertangguh ini telah menyebabkan keputusan diambil untuk diadakan di kawasan lain.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, sambutan Hari Malaysia ke 50 di Taman Putera Philip Tanjung Aru juga selari dengan pelancaran projek Tanjung Aru Eco Development yang melihat pembangunan semula persisiran pantai di Tanjung Aru.
Sambutan Hari Malaysia juga diadakan di Stadium Likas di mana Gabungan Gereja Sabah (Sabah Council of Churces) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang mengadakan acara “A Day to Bless Malaysia”.
Hari Malaysia pada tahun ini merupakan hari di mana empat bekas jajahan British iaitu Persekutuan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 50 tahun yang lalu pada tahun 1963 bersatu dalam gabungan yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.
Singapura kemudiannya meninggalkan Persekutuan Malaysia dengan usul penyingkiran di Persidangan Parlimen pada 9 Ogos 1965 dengan undian 126 menyokong dan tiada yang membantah dengan ketiadaan wakil ahli parlimen Singapura yang hadir.
FMT sempat menjalankan temu bual dengan beberapa individu  mengenai sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Pengarah Muzium Sabah, Joanna Kitingan tidak sabar menantikan sambutan yang diadakan di Taman Putera Philip Tanjung Aru.
Beliau amat bangga kerana dapat terlibat dalam menyumbangkan dalam persediaan bagi perayaan ulang tahun yang ke 50 Malaysia.
Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia tahun ini menandakan kelahiran sebuah negara 50 tahun yang lalu dan memperingati segala kejadian yang telah berlaku di sepanjang 50 tahun ini terutamanya di Sabah maka sebuah buku peringatan akan dilancarkan khas untuk memperingati 50 tahun  kejayaan yang telah dicapai oleh Negeri Sabah.
Anne Lasimbang, Pengarah badan amanah Partners of Community Organization in Sabah (PACOS Trust) berkata, ulang tahun yang ke 50 ini memberi makna yang penting dalam pemahaman ajaran agama Kristian kerana ia merupakan tahun di mana ia adalah tahun penyumbangan dan pemberian semula.
Anne juga menjelaskan bahawa tahun ini merupakan masa renungan untuk sekian penduduk Sabah sama ada mereka gembira  sebagai rakyat Malaysia.
” Tahun ke 50 ini juga adalah juga menandakan tahun menjadi matang dalam pengalaman dan kehidupan seseorang,” katanya.
Julia Wong, seorang pesara bidang perbankan sebaliknya menyuarakan perasaan kecewa beliau apabila ada segelintir besar rakyat dan kerajaan masih keliru dengan sambutan perayaan Hari Malaysia dengan Hari Merdeka.
Beliau merasakan penduduk Sabah seakan-akan ditipu dan dipinggirkan kerana ulang tahun ke 56 Kemerdekaan disambut oleh kerajaan persekutuan yang hakikat sebenarnya untuk Sabah hanya selama 50 pada tahun ini.
Barth Chua, seorang pesara gembira bahawa sambutan pada tahun ini lebih mementingkan sambutan Hari Malaysia 16 September daripada Hari Merdeka yang berlangsung pada 31 Ogos.
” Ini kerana telah ramai di kalangan rakyat Malaysia sedar akan kepentingan sambutan Hari Malaysia,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa Sabah yang dahulunya pernah dikenali sebagai “North Borneo” hanya berpeluang menikmati erti sebenar kemerdekaan selama 16 hari sehingga pengistiharan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
Ahli parlimen Penampan,g Darell Leiking berpendapat bahawa kejadian ini berlaku kerana kebanyakan rakyat Malaysia kurang pengetahuan dalam sejarah penubuhan Malaysia.
“Sambutan ke 50 Malaysia ini memberi peluang kepada penduduk di Sabah memikirkan adakah perkara yang telah dijanjikan telah ditunaikan?” soal beliau.
Darell berpendapat bahawa Sabah telah hilang akan status autonomi dari segi pentadbiran dan ekonomi.
” Ini menyebabkan hala tuju politik dan ekonomi negeri ini ditentukan oleh mereka yang bukan penduduk yang berasal di Sabah,” dakwanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.