KUANTAN 13 Sept. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sedang mengkaji untuk menubuhkan sebuah institusi khas yang bertanggungjawab mengendalikan urusan mengagihkan zakat di negeri itu.
Yang Dipertua Muip, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pihak Muip diberi tanggungjawab melakukan kajian mengenainya dan penubuhan institusi itu akan diputuskan selepas hasil kajian diperoleh.
"Penubuhan institusi yang berperanan dalam hal-hal pengagihan zakat ini penting supaya urusan dapat dilakukan dengan cara lebih teratur dan lebih sistematik.
"Dengan adanya institusi seperti ini kelak dapat mempertingkatkan tahap kecekapan dalam sistem penyampaian dan memaksimumkan tahap kepuasan pelanggan," titah Tengku Mahkota Pahang.
Baginda bertitah demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Pusat Kutipan Zakat (PKZ), di sini semalam.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Dalam majlis itu, Tengku Abdullah berkenan menerima Sijil ISO 9001 dan Sijil MS 1900 yang disampaikan Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad, Dr. Zainal Abidin Mohd Yusof.
Baginda bertitah, penubuhan institusi itu sebagai satu langkah untuk meningkatkan sistem pengurusan zakat melibatkan pengagihan kepada golongan yang layak.
"Sistem pembayaran zakat yang ada pada masa kini amat baik sehingga mencatatkan jumlah peningkatan pembayar zakat pada setiap tahun.
"Oleh itu, kita juga memerlukan satu sistem pengagihan yang sistematik dan sempurna agar setiap agihan direkodkan dengan jelas.
"Dalam masa sama, kita boleh melaporkan kepada pihak pembayar zakat mengenai agihan yang dilakukan Muip kepada golongan asnaf terlibat. Dengan kata lain, setiap agihan akan menjadi lebih telus," titah Tengku Abdullah.
Dalam pada itu, Tengku Abdullah menyifatkan pengiktirafan melalui Sijil Pengurusan Kualiti itu sebagai satu bukti bahawa PKZ mempunyai satu sistem yang baik dalam pengurusan kutipan zakat dan usaha itu perlu dicontohi oleh semua pihak. -Utusan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.