`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, September 25, 2013

Penipuan Pakej Umrah di Kota Damansara, 3 Orang Didakwa


[UM] PETALING JAYA 24 Sept. - Seorang ejen pelancongan bersama anak perempuan dan menantunya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dua orang mutawwif bagi pakej umrah melibatkan kerugian lebih RM100,000 awal tahun ini.

Rohaya Asmuni, 52, yang merupakan pengusaha syarikat Arlief Juara Kembara Sdn. Bhd.; Nurul Azrikin Azman, 31; dan suami Nurul Azrikin, Muhammad Alif Haziq Aman, 23, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.

Mereka didakwa bersama-sama menipu Mohd. Yatim Abu Idras, 57, yang merupakan ejen pengurusan pakej umrah kepada 19 orang untuk menyerahkan wang RM79,550 kepada mereka sedangkan pakej tersebut tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa berlaku di pejabat tertuduh di syarikat Arlief Juara Kembara Sdn. Bhd. di No. 55-3, Jalan PJU 5/20E, The Strand Damansara, Kota Damansara antara 13 Januari dan 22 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka bertiga bersama-sama didakwa melakukan perbuatan yang sama terhadap Umi Ngah Loden, 56, untuk menyerahkan wang RM20,500, berupa pakej umrah bagi lima peserta di tempat yang sama pada 6 April lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Maanor Yusoff yang mewakili kesemua tertuduh memohon agar jumlah itu dikurangkan kerana syarikat pengurusan umrah yang dikendalikan oleh anak guamnya itu tidak lagi beroperasi.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.