`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 21, 2013

Berkonvoi ke rumah Tuhan

Kunjungan ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama berlangsung dalam suasana tenang dan tanpa sebarang masalah.
COMMENT
Pada 12 Oktober 2013, sementara orang ramai sedang berdebar menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes penggunaan kalimah “Allah” dalam akhbar mingguan The Herald yang bakal diketahui dua hari kemudian, sekelompok 15 individu pula menyertai Konvoi Rumah Ibadat IV.
Konvoi anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Projek Dialog ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama berkunjung ke rumah-rumah ibadat seperti masjid, kuil, gereja, gurdwara, wat dan tokong.
Kavyan pernah menganjurkan konvoi seperti ini pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011 di Kuala Lumpur, manakala pada 17 Februari 2013, acara berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan dengan kerjasama Hidayah Centre.
Pada kali ini, sekali lagi rumah-rumah ibadat di Jalan Ipoh dan sekitar Sentul menjadi pilihan kerana mudah mengaturkan konvoi berkereta. Wartawan dan jurukamera dari BBC World News menyertai kami kerana tertarik dengan usaha yang dilakukan.
Pada saat pelbagai pihak berusaha secara licik memecah-belahkan masyarakat dengan senjata kaum dan agama, Kavyan pula sedar bahawa pada umumnya, masyarakat di Malaysia memilih perpaduan, keamanan, persaudaraan, hormat-menghormati serta segala nilai murni.
Perkara-perkara ini jelas sepanjang Konvoi Rumah Ibadat IV. Sekadar contoh mudah, sering dipolitikkan – oleh politikus dan kuasawan, tentunya – bahawa orang Bukan Islam tidak boleh masuk ke masjid yang merupakan “rumah Allah”.
Namun, pada hakikat sebenar, pihak Masjid Al-Hidayah di Sentul memberikan kami keizinan walaupun menyedari bahawa konvoi melibatkan peserta pelbagai kaum dan agama. Di pihak peserta pula, kami memastikan segala peraturan dan sensitiviti dijaga.
Hal yang sama juga berlaku di Kuil Subramaniam Chettiar, Gurdwara Sahib, Tokong Dewa Pengawal dan Wat Buddha Sri Lanka. Atas sebab kesuntukan masa, kami tidak sempat mengatur konvoi ke Gereja Katolik St Joseph. Berdasarkan pengalaman 2010 dan 2011, gereja juga mengalu-alukan kunjungan muhibah kami.
Pada 18 Oktober 2013, saya berbual-bual bersama-sama dua daripada individu yang menyertai konvoi berkenaan. Bagi Kughan Nadarajah, ini adalah konvoi kedua yang disertainya selepas acara di Seremban pada Februari lalu.
Kumpulan kecil beri manfaat lebih
“Di Seremban, konvoi melibatkan peserta yang amat ramai manakala kali ini hanya kumpulan kecil. Maka muncul peluang lebih besar untuk interaksi dan menyaksikan secara lebih dekat semua rumah ibadat yang dikunjungi,” kata jurutera komputer itu yang juga Penolong Setiausaha Kavyan.
Kunjungan ke masjid bukan sesuatu yang baru bagi Kughan. Semasa berumur enam tahun lagi, beliau menyertai rombongan yang diaturkan oleh tadika tempat beliau belajar.
Bagi Perzeus James pula, inilah kali pertama beliau berpeluang menyertai konvoi ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama. Atas sebab itulah juga beliau amat teruja dan bersemangat untuk merebut peluang menyertainya walaupun ada urusan lain pada tarikh sama.
“Saya sudah biasa dengan gereja dan kuil. Maka pengalaman berkunjung ke gurdwara, tokong Cina dan masjid buat julung kali amat bermakna. Saya tidak sempat menyertai rakan-rakan ke wat Buddha kerana ada kerja tetapi saya akan cuba sertai pada kesempatan lain,” kata Perzeus, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil.
Bagi Kughan, hanya melalui Konvoi Rumah Ibadat maka beliau berpeluang mengunjungi gurdwara iaitu tempat ibadat orang Sikh. Beliau mengakui amat tertarik apabila diberikan penerangan mengenai kitab Guru Granth Sahib.
“Ternyata ajaran yang dibawakan oleh agama Sikh ada banyak persamaan dengan agama-agama lain. Kesemuanya menyeru kepada kebaikan dan bersifat universal.
“Saya berpeluang ke gurdwara di Seremban tetapi mungkin kerana peserta yang terlalu ramai, tidak berpeluang mendapatkan penerangan terperinci. Pada kali ini, dapat juga peluang memasuki dan melihat sendiri bilik khas di mana Guru Granth Sahib disimpan pada waktu malam,” kata pemuda itu yang tinggal di Seksyen 17, Shah Alam.
Antara perkara yang menarik perhatian Perzeus semasa kunjungan ke Tokong Dewa Pengawal adalah maklumat yang disampaikan oleh beberapa wanita yang ditemui di sana.
Menurut mereka, orang ramai pergi ke tokong itu bukan semata-mata untuk berdoa bagi diri dan keluarga; sebaliknya mendoakan kesejahteraan orang ramai secara sejagat.
Melihat persamaan antara agama
“Kertas-kertas khas yang dibakar juga dipercayai akan menyampaikan mesej yang terkandung di dalamnya kepada Tuhan; iaitu meminta Tuhan mengawal dan melindungi umat manusia tanpa mengira kaum dan agama.
“Memanglah amalan seperti ini juga ada dalam beberapa agama lain seperti Hindu, Buddha, Sikh dan Kristian tetapi amat menarik bagi saya kerana memberikan kesedaran tentang persamaan yang wujud dalam kalangan kita,” pensyarah dan aktivis sosial itu menghuraikan.
Ajaran-ajaran sepuluh Guru agama Sikh yang terkandung dalam kitab Guru Granth Sahib juga menarik perhatian Perzeus semasa kunjungan ke gurdwara. Semakin jelas kepadanya bahawa ada begitu banyak persamaan antara agama-agama utama di dunia.
Agak malang jika ada pihak yang secara sengaja mencari-cari dan memperkatakan tentang beberapa perbezaan kecil yang wujud. Puak seperti ini pasti sudah lupa bahawa sesungguhnya Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali dan memahami; bukan untuk saling memusuhi dan menzalimi.
“Secara amat jelas, peraturan gurdwara menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana – tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan sosial – adalah sama. Tidak ada sesiapa yang diberikan layanan istimewa.
“Kami juga dilayan mesra dan dihidangkan minuman dan makanan. Dapur di setiap gurdwara menyediakan makanan berasaskan sayur-sayuran dan sesuai dimakan oleh semua orang,” Perzeus menghuraikan kepada saya dan Kughan sambil kami minum di sebuah restoran di Taman Sri Muda, Shah Alam.
Kughan sering menyertai sambutan Wesak di wat (tokong Buddha) tetapi melihat secara luaran sahaja. Pada kali ini, beliau berpeluang untuk mendengar pelbagai penerangan yang amat terperinci daripada sami Buddha di rumah ibadat berkenaan.
“Walaupun saya dan kawan-kawan biasa berkunjungi ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama, kunjungan itu tidak menyeluruh. Pada kali ini, kunjungan adalah lebih bermakna dan membantu meningkatkan pemahaman saya terhadap keunikan rumah ibadat dan ritual setiap agama,” katanya.
Bercakap tentang kunjungan ke masjid pula, Perzeus mengakui bahawa pada mulanya beliau agak was-was kerana pelbagai berita negatif yang disebarkan menerusi media arus perdana sejak beberapa tahun lalu. Kononnya orang Bukan Islam tidak boleh memasuki masjid.
Akan tetapi, kunjungan ke Masjid Al-Hidayah berlangsung dalam keadaan tenang dan dipenuhi aura positif. Kami disambut mesra oleh rakan-rakan beragama Islam tanpa prejudis. Kehadiran kami tidak pula dianggap sebagai mengganggu walaupun apabila masuk waktu solat Zohor.
Pupuk persaudaraan, perpaduan
“Bagi saya, inilah ajaran sebenar yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW. Satu lagi perkara yang menarik di masjid adalah apabila para peserta konvoi ditunjukkan cara umat Islam berwuduk.
“Ada sedikit perbezaan antara cara Islam dan agama-agama lain tetapi tujuannya adalah sama, iaitu menghadap Tuhan dalam keadaan suci dan bersih secara mental dan fizikal,” pemuda itu menghuraikan.
Semasa berkunjung ke kuil, Perzeus menceritakan bahawa beliau nampak seorang wanita Islam (bertudung) yang datang bersama-sama beberapa rakan Hindu. Dia bukan sebahagian peserta konvoi.
“Saya perhatikan bahawa sementara rakan-rakannya bersembahyang, wanita Islam itu tidak pula terasa kurang selesa. Sebaliknya dia berada di dalam kuil; cuma tidak mengambil bahagian dalam ritual yang berlangsung,” Perzeus berkongsi kisah.
Insiden kecil itu membuktikan betapa umat Islam juga boleh masuk ke rumah-rumah ibadat agama-agama lain tanpa perlu bimbang akan kemungkinan keimanan tergugat. Kehadiran orang Islam – tanpa terlibat dalam apa-apa ritual – tidak akan dihalang oleh sesiapa.
Sepanjang Konvoi Rumah Ibadat, tidak timbul apa-apa masalah. Tidak wujud persoalan agama mana yang lebih baik, lebih hebat, lebih tepat dan sebagainya. Tiada agama atau ritual yang dipersendakan. Sebaliknya, masing-masing berpeluang memahami dan menghormati agama lain.
“Bagi saya, inilah keunikan Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan dan Projek Dialog kerana ia berusaha memupuk persaudaraan serta membantu para peserta menerima perbezaan; bukannya mencari siapa atau agama mana lebih hebat.
“Saya dapat merasakan hubungan persaudaraan yang intim antara para peserta walaupun berbeza kaum, agama dan mazhab. Kami berpeluang untuk berbincang, berdialog, berkongsi maklumat dan berbual secara terbuka dan dari hati ke hati,” Perzeus menyimpulkan.
Bagi Kughan dan Perzeus, kalau ada lagi konvoi seperti ini dianjurkan di tempat-tempat lain, sama ada oleh Kavyan, Projek Dialog atau mana-mana pihak, mereka berminat untuk menyertainya untuk meningkatkan persefahaman, perpaduan dan persahabatan dengan rakan-rakan pelbagai kaum, agama, mazhab dan budaya.
Orang ramai boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my bagi maklumat mengenai konvoi akan datang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.