`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, October 26, 2013

Penduduk Kecewa, Lima Tahun Lalui Laluan Berlumpur !

  • Lima tahun laluan berlumpurKeadaan jalan raya ditakungi air dikhuatiri berisiko mengakibatkan kemalangan.
 1 / 1 
ROMPIN – Penduduk Felda Gugusan Selendang dan Sungai Mok, di sini mendakwa struktur jalan raya berhampiran projek amang dan tempat pemeriksaan balak itu dilimpahi lumpur akibat hujan sekali gus mendatangkan kesulitan kepada pengguna.

Biro Masyarakat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Selendang 1 dan 2, Mohamad Ibrahim, 50, berkata, air lumpur bertakung atas jalan apabila hujan dan seterusnya berisiko menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas.

Menurutnya, laluan turut berdebu apabila cuaca panas dan lebih membimbangkan, kedudukan jalan itu berhampiran dengan selekoh sekali gus mengakibatkan kemalangan.

“Masalah ini sudah berlarutan lebih lima tahun dan wakil rakyat serta pihak berkaitan sudah maklum mengenai masalah yang kami hadapi.

“Tetapi respons yang diterima amat mengecewakan dan laluan tersebut masih belum dibaiki walaupun ramai pengguna merungut kerana dikhuatiri terbabas ketika memandu di laluan itu,” katanya.

Mohamad berkata, jalan itu turut dilalui banyak kenderaan memandangkan ia adalah laluan utama pengguna untuk ke lokasi pelancongan Taman Negeri Endau Rompin.

“Laluan ini sepatutnya diselenggarakan dengan baik kerana ramai orang luar menggunakan laluan ini untuk ke Taman Negeri Endau Rompin khususnya pada musim cuti sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Umno Cawangan Selendang 1 berkata, isu tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat JKKR dan Pegawai Daerah Rompin juga maklum mengenai hal ini.

“Masalah ini ada kaitan dengan sistem perparitan kerana parit di kiri dan kanan jalan tidak berfungsi.

“Pihak berkaitan digesa bertindak segera bagi mengatasi masalah ini kerana penduduk sudah lama bersabar,” katanya. -SH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.