Bimbang nasib sebuah keluarga  
Walaupun dipenuhi air najis, keluarga ini tetap mendiami rumah mereka.

ALOR SETAR - Sebuah keluarga didakwa mengalami masalah mental terpaksa ‘berendam’ dalam air najis sejak seminggu lalu berikutan sistem pembetungan najis mereka di Flat Simpang Kuala, di sini, rosak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Simpang Kuala, Zakri Hassan, dia bersimpati terhadap keluarga berkenaan yang terpaksa berdepan masalah air najis bertakung.

“Kami difahamkan salah seorang anak lelaki yang memiliki gangguan mental terbabit telah merosakkan sistem pembetungan najis kediaman mereka, namun masalah ini tetap perlu ditangani.

“Sekiranya, mereka normal seperti penduduk lain, sudah pasti mereka berpindah daripada kediaman ini. Namun, mereka tidak seperti insan biasa lain, disebabkan itulah keluarga ini duduk tanpa berbuat apa-apa,” katanya.
Katanya, kebanyakan penduduk mengadu kepada dirinya bahawa mereka bimbang mengenai penyakit yang mungkin dialami keluarga terbabit berikutan tinggal dalam persekitaran tidak bersih.

"Keluarga ini didakwa tidak berupaya menguruskan diri sendiri dengan baik, malah memerlukan penjagaan rapi," katanya.

Selain itu, bau busuk memenuhi kediaman yang kelihatan agak tidak terurus terbabit menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai kerana mereka juga terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.

“Mereka yang terdiri daripada ibu dan dua anak dipercayai sudah lama mendiami flat ini.

"Dalam pada itu, kebanyakan penduduk ada menghulurkan makanan mahupun minuman untuk keluarga ini berikutan kasihan,” katanya.

Sementara itu, katanya, walaupun tidak mengganggu orang ramai, namun kadang-kala anak lelaki keluarga terbabit juga dilihat merayau-rayau tanpa memakai sebarang pakaian sehingga menimbulkan kesulitan.

"Ekoran bimbang mengenai keadaan mereka, saya mengemukakan aduan kepada beberapa pihak berkenaan namun sehingga kini masalah dihadapi masih belum diselesaikan, manakala tindakan didapati belum diambil," katanya.

Katanya, dia memohon mana-mana pihak berkenaan supaya mengambil tindakan sewajarnya tanpa berdolak-dalih seperti bertindak menghantar anak beranak terbabit ke pusat penjagaan.

Menurutnya, mereka cuma mengharapkan nasib anak beranak terbabit terbela, malah mendapatkan penjagaan dan perhatian sepenuhnya daripada mana-mana pihak bertanggungjawab.