Rasuah, kebocoran maklumat punca kelemahan di perairan Sabah, kata Hishammuddin |
Menteri pertahanan itu berkata, faktor kelemahan manusia yang dikesan dalam keselamatan perairan Sabah adalah rasuah dan kebocoran maklumat oleh pihak yang bertanggungjawab.
"Kita sudah kehilangan banyak masa apabila bercakap tentang keselamatan Pantai Timur Sabah. Masa kita banyak dihabiskan dengan mencari kelemahan.
"Kelemahan bukan sahaja aset yang digunakan tetapi faktor manusia seperti rasuah, kebocoran maklumat dan kredibiliti pegawai kami yang perlu dilihat," katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.
Hishammuddin hari ini memperkenalkan empat aspek yang perlu diberi perhatian kepada keselamatan perairan Pantai Timur Sabah iaitu perisian, perkakasan, sumber manusia dan risikan.
Katanya, perisian adalah berkaitan polisi yang digunakan bagi menangani pencerobohan di kawsan itu, perkakasan adalah aspek teknologi pensenjataan dan kelengkapan yang digunakan manakala sumber manusia adalah tenaga yang dikerahkan oleh polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Saya mendapat mandat dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, persetujuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung kait dengan polis dan APMM.
“Penting untuk kita kaji semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam konteks ancaman baru yang dihadapi,” katanya.
Beliau berkata dalam misi terbaharu untuk menambah baik kawalan di perairan Pantai Timur Sabah, pelantar minyak Petronas yang lama akan digunakan bagi mempergiat kawalan di kawasan itu.
Katanya, kerajaan Brunei juga sedia bekerjasama dengan syarikat cari gali minyak di negara itu bagi membantu penggunaan pelantar minyak untuk tujuan sama.
“Penglibatan pihak ketiga iaitu Petronas dengan pelantar minyak akan digunakan sebagai respon kepada apa jua ancaman untuk kita lihat secara mendalam.
“Sabtu dan Ahad ini saya akan ke Sabah untuk melihat 1,400km pantai yang harus dikawal, radar sedia ada yang perlu ditingkatkan dan resort yang perlu diperkukuhkan dengan kehadiran penguatkuasa.”
Hishammuddin berkata tiada gunanya bidang kuasa ketua pengarah Esscom diperluas sekiranya agensi keselamatan yang terlibat di kawasan itu tidak memainkan peranan mereka secara berkesan.
“Ini banyak bergantung kepada kerjasama pihak yang berkepentingan. Bukan sahaja ketua pengarah tetapi penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan APMM. Itu tidak termasuk kastam, imigresen dan negara ketiga.
“Apa jua kuasa yang diberikan kepada ketua pengarah, jika tak dapat kerjasama daripada pihak berkepentingan maka ia tak membawa apa-apa makna,” katanya.
Mengulas mengenai laporan media yang mendakwa Malaysia membayar sejumlah wang tebusan bagi membebaskan mangsa culik di perairan Sabah, Hishammuddin berkata rakyat harus mempercayai apa yang dikatakan perdana menteri.
Katanya, kejayaan Malaysia membebaskan tebusan itu memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia-China bersempena dengan sambutan dua hala untuk tahun yang ke-40. “Perdana menteri katakan tidak dan memang tidak.
Ini bukan satu perkara baru. Saya semasa di Kementerian Dalam Negeri pun ada kes yang kita dapat pembebasan kepada mereka yang diculik. “Apa yang penting keselamatan mereka yang diculik.
Warganegara China yang diculik dikembalikan ke Beijing. Bayar tak bayar, tak boleh dinilai dengan wang ringgit.”
Reuters pada Sabtu mendakwa pembebasan dua wanita yang diculik di Sabah dalam usaha bersama pihak berkuasa Malaysia dan Filipina hanya dicapai selepas pembayaran "wang tebusan yang besar".
Laporan itu bercanggah dengan kenyataan Najib bahawa "tidak ada wang tebusan dibayar" untuk membebaskan pelancong China, Gao Huayun dan pekerja resort, warga Filipina Marcy Dayawan, yang diculik dari Singamata Adventures and Reef Resort, di Semporna, 2 April lalu.
Najib dalam satu kiriman tweet berkata: "Saya baru sahaja diberi taklimat oleh @PDRMsia bahawa kedua-dua wanita diculik dari sebuah resort di Sabah April lepas diselamatkan oleh pihak berkuasa kita."
"Tiada wang tebusan dibayar bagi mendapatkan pembebasan mereka. Kejayaan hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat."
Bagaimanapun, sumber polis Filipina memberitahu Reuters bahawa wang tebusan yang besar dibayar bagi membebaskan kedua-dua wanita itu.
- The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.