Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata adalah melucukan jika Timbalan Ketua Pengarah Jais Ahmad Zaki Arshad mendakwa nama pemain tenis Sepanyol, Rafael Nadal mirip kepada orang Islam sedangkan nama tersebut digunakan secara meluas di serata dunia.
“Adakah Jais akan menyiasat seseorang dengan nama Idris Jala jika seseorang membuat laporan individu itu hadir ke mana-mana gereja di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaki berkata kepada The Malaysian Insider pada Selasa, jabatannya tidak akan menghukum seseorang hanya kerana memiliki nama Islam.
“Sebagai contoh, jika Rafael Nadal datang ke Malaysia dan pergi ke gereja, kami perlu siasat kerana dia mempunyai nama Islam. Jadi jangat cepat membuat kesimpulan,” katanya merujuk kepada pemain tenis nombor satu dunia itu.
Ong mempersoalkan apakah salah umat Islam melawat gereja, kuil atau tokong semasa perayaan atau sebarang majlis sambutan.
Katanya, serbuan Jais dan kenyataan Zaki jelas menunjukkan kegagalan mereka memahami sensitiviti bukan Islam di Selangor dan berlebihan dalam menyiasat laporan sedemikian.
“Baru-baru ini terdapat rakan media yang mengadakan perkahwinan di sebuah gereja di Subang Jaya dan turut dihadiri rakan Melayu. Adakah Jais juga akan menyerbu dan mengganggu perkahwinan ini?
“Adakah bukan Islam di Selangor sekarang dilarang menjemput kawan Melayu ke majlis perkahwinan atau perayaan yang diadakan di rumah ibadat bukan Islam?” soalnya.
Beliau berkata, apa yang dilakukan Jais selepas rampasan Bible dan serbuan ke sebuah gereja di Petaling Jaya pada 2011 hanya menambahkan persepsi masyarakat bukan Islam di Selangor dibelenggu.
Katanya, hubungan antara etnik juga akan bertambah teruk yang bukan hanya berlaku di Selangor tetapi di Malaysia secara keseluruhannya.
Zarinah Abdul Majid, pengantin perempuan yang terlibat dalam serbuan Jais pada Ahad berkata sejak tujuh tahun lalu, dia berulang-alik ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuang perkataan “Islam” di kad pengenalannya.
Katanya, ajaran Islam sememangnya tidak diamalkannya selain mendakwa kerugian ribuan ringgit untuk membayar peguam tetapi semuanya tidak berhasil.
“Saya sudah tidak takut lagi. Saya sudah bosan dan tidak boleh tunggu lebih lama. Usia saya sudah meningkat dan saya mahu keluarga saya sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Zarinah, 32, seorang pekerja kilang diikat “thali” di leher oleh kekasihnya selama tujuh tahun dalam satu upacara perkahwinan Hindu di Petaling Jaya.
Beliau menjemput 400 tetamu dan membelanjakan lebih RM30,000 untuk majlis tersebut.
Tetapi majlis perkahwinan itu tidak berjalan seperti dirancang apabila penguatkuasa Jais yang ditemani pegawai polis menahannya untuk menyoal tentang status agamanya.
“Kebanyakan tetamu saya terkejut dan meninggalkan majlis tanpa menjamah makanan. Sangat memalukan dan menyakitkan hati,” katanya. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.