Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata minyak dan gas bukan milik orang Melayu dan Bumiputera semata-mata tetapi milik semua rakyat Malaysia tidak kira kerajaan atau pembangkang.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu berkata, Akta Pembangunan Petroleum (PDA) menyebutkan dengan jelas minyak dan gas adalah milik semua rakyat Malaysia.
"Ia menyebut rakyat Malaysia, jadi ia boleh milik kerajaan, boleh juga kepada pembangkang, dan sesiapa sahaja. Kami (Petronas) ini adalah penjaga,” katanya dalam wawancara eksklusif akhbar perniagaan mingguan berbahasa Inggeris, The Edge keluaran 23-29 Jun, 2014.
Beliau berkata, pada 2010 Petronas menyusun semula struktur semua organisasinya, termasuk komposisi lembaga pengarah dengan memasukkan mereka yang berkebolehan.
"Orang bercakap yang saya menyingkirkan kakitangan kerajaan dengan membawa masuk bukan Melayu, membuka Petronas yang menjadi milik orang Melayu kepada orang bukan Melayu. Adakah kami tidak berminat pada kecekapan? Inilah perkara susah yang saya hadapi.
"Petronas perlu membentuk diri menjadi organisasi profesional, tetapi pada masa sama saya ditarik dalam politik, campur tangan pihak berkepentingan, oleh agenda yang ketinggalan zaman,” katanya.
Beliau berkata, campur tangan golongan birokrat dari dalam kerajaan menyukarkan Petronas untuk membuat keputusan.
Setakat ini, bos saya (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) tidak banyak mencampuri urusan Petronas, tetapi orang di sekeliling beliau yang campur tangan.
“Bolehkah awak bayangkan masalah yang saya alami?”
Shamsul berkata, syarikat minyak negara itu mengamalkan kecekapan dan meritokrasi untuk setanding dengan syarikat minyak global dan keputusan yang dicatatkan oleh Petronas setiap tahun menunjukkan mereka melaksanakan tanggungjawab untuk kekal berdaya saing di peringkat global.
"Adalah terlalu sukar untuk membuat kerja dengan jujur. Awak menghabiskan masa melakukan tugas lain daripada kerja hakiki.
"Keputusan kewangan menunjukkan keadaan sebenar, ia amat baik. Tidak seperti orang luar (yang menjadikan sesuatu perkara sukar) dan juga orang daripada kerajaan-birokrat. Campur tangan birokrat menjadikan sesuatu perkara menjadi susah,” katanya.
Wawancara yang bertajuk “Adakah kami tidak berminat pada kecekapan” itu dibuat sebagai mengulas khabar angin menyatakan Shamsul akan meletak jawatan.
Dalam wawancara itu, beliau berkata, sebahagian daripada transformasi Petronas adalah untuk menjadikan syarikat minyak negara itu model baharu dunia korporat Malaysia daripada segi profesionalisme.
Shamsul berkata, DNA Petronas adalah kurangnya campur tangan kerajaan, akan membolehkan Petronas bertindak secara profesional.
"Pada masa sama mereka (kerajaan) mahukan Petronas menjadi sebuah syarikat minyak global yang setara dengan Exxonmobils dan Shell, dan kami mahu menjadi seperti itu. Tetapi Shell dan Exxonmobils tidak banyak diganggu oleh kerajaan mereka,” katanya.
Beliau juga mendedahkan beberapa syarikat seperti Labuan (Shipyard) yang memerlukan lesen fabrikasi dan kerajaan meminta Petronas membantu kerana mereka mempunyai limbungan.
Katanya, Petronas membantu syarikat itu dengan memberikan lesen dengan syarat akan ada proses bida dan tender ditawarkan di peringkat serantau. Tetapi selepas mendapat lesen, syarikat itu mahu peruntukan pula.
"Saya orang Melayu dan saya bangga... awak fikir saya tidak akan bantu kaum saya? Sudah tentu saya mahu bantu mereka, tetapi dengan cara yang lebih sesuai, bukannya melalui pemberian dan suapan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.