Thursday, September 18, 2014
KELUARGA ALLAHYARHAM MOHD ALI MD SALIM MENAHAN SEBAK DAN PILU SAAT MENGEMAS BARANG PENINGGALAN ARWAH DI BELANDA
JUNAIDAH Basiron tidak dapat menahan air mata ketika berada di bilik anaknya, Allahyarham Mohd Ali Md Salim di sebuah rumah di J H van den Broekstraat, Rotterdam, Belanda.
Suasana hiba dan sedih menyelubungi sebuah rumah di J H van den Broekstraat, Rotterdam apabila tujuh ahli keluarga Allahyarham Mohd Ali Md Salim yang tiba dari Malaysia dibawa masuk ke bilik anak mereka di pagi kelmarin.
Kesemuanya mengalirkan air mata sebaik sahaja bilik yang serba sederhana itu dibuka oleh pemilik rumah itu, Mohd Yusof Ismail yang lebih mesra disapa Uncle Jo.
Bilik Allahyarham Mohd Ali terletak di tingkat bawah rumah tiga tingkat yang didiami sejak tiga tahun lalu.
Kedatangan ahli keluarga itu yang bersama Md Salim Sarmo dan Junaidah Basiron, ibu bapa Mohd Ali untuk mengemas barang-barang peninggalan anak mereka, selain menyelesaikan perkara-perkara lain.
Mohd Ali adalah seorang calon Doktor Falsafah di Universiti Erasmus, Rotterdam, merupakan salah seorang mangsa nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya pada 17 Julai lalu.
Mereka yang pada mulanya melangkah tenang ke dalam bilik tidak dapat menahan perasaan sedih apabila melihat semua barang Mohd Ali tersusun kemas.
Bilik bercat putih itu didiami Mohd Ali ringkas sahaja - ada sebuah katil bujang, meja dan kerusi belajar, lampu tidur, rak buku dan kabinet almari baju dan sebuah kerusi sayap.
Lebih daripada 10 pasang kasut milik Mohd Ali terletak di luar biliknya. Semuanya tersusun kemas.
"Inilah Ali, sentiasa bersih. Hidup dia sentiasa tersusun. Tengok bilik dia pun bersih," tutur Junaidah dengan linangan air mata.
Suasana cukup sedih apabila Junaidah yang sibuk melipat baju-baju Mohd Ali terjumpa baju T anaknya yang belum dibasuh, tiba-tiba menangis sambil memeluk dan mencium baju serta memanggil nama anak keenamnya itu.
Reaksi Junaidah yang meruntun jiwa itu menyebabkan semua ahli keluarganya turut sama menangis.
Selain pakaian dan buku-buku, juga terdapat beberapa kotak yang mengandungi pinggan mangkuk, peralatan dapur jenama Tefal, acuan membuat kek, sudu jenama Venier, bekas mangkuk kaca, bekas kek disimpan di bawah katil - yang menurut rakan Ali dibeli untuk ibunya.
"Arwah memang terlalu sayangkan emaknya. Semua barang-barang ini dibeli untuk mak," kata Azuwa, rakan baik Ali.
Mohd Ali yang dalam proses menyiapkan tesis berkaitan pembangunan neuropsiko patogi dijadual tamat pengajiannnya pada April tahun depan.
Menurut Mohd Zaki Md Salim, abang kepada Mohd Ali barang-barang itu akan dibawa balik oleh keluarganya pada 20 September ini manakala barangan yang bersaiz besar pula akan ditumpangkan dalam kargo salah seorang penuntut Malaysia.
- Malaysia Gazette
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.