Pemuda PAS PP tarik balik boikot PRK Pmtg Pauh
Pemuda PAS Pulau Pinang telah mengubah pendiriannya dan hari ini mengumumkan untuk membantu jentera Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.
Ketua Pemudanya Mohd Yusni Mat Piah berkata, keputusan itu diambil selepas mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang bersama Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib Timbalannya. Khairil Nizam Khirudin, malam tadi.
"Kami sebulat suara untuk akur arahan PAS Pusat untuk bantu gerak kerja PRK Permatang Pauh.
"Kami juga tetap dengan pendirian kami supaya AMK menarik balik kenyataan melampau terhadap presiden PAS," katanya dalam sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang di Kepala Batas pagi ini.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Khalil dan Khairil.
Pemuda PAS Pulau Pinang sebelum ini bertegas tidak akan membantu gerak kerja Pakatan di Permatang Pauh setelah AMK negeri masih tidak memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan melampau kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
AMK Pulau Pinang sehingga hari ini masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada untuk menarik balik kenyataan tersebut atau membuat permohonan maaf.
Selain itu, Yusni berkata tindakan pihaknya membantu jentera Pakatan pada PRK ini tidak bermakna mereka akur dengan kenyataan AMK itu.
Walaupun AMK belum menarik balik kenyataan dan memohon maaf, Pemuda PAS akan tetap membantu jentera pilihan raya Permatang Pauh atas dasar mempertahankan kerusi itu, katanya.
Malah, Yusni berkata, pihaknya juga hanya akur pada Majlis Syura Ulama apabila sebelum ini yang menetapkan bahawa PAS masih lagi kekal di dalam Pakatan.
"Kita tetap dengan pendirian kita pada masa sama tetap nak pertahankan kerusi Permatang Pauh. Tidak mahu kerusi terlepas dari Pakatan.
"Kita ada Majlis Syura Ulama yang tetapkan PAS masih dalam Pakatan, jadi akhirnya kita akan akur," tegasnya lagi.
Selain itu, Yusni juga berkata, beliau turut bersedia untuk memberi kerjasama dengan Jawatankuasa Disiplin parti sekiranya dikenakan tindakan tatatertib.
"Saya bersedia dan tahu prosudernya. Kalau ada laporan untuk diambil tindakan, saya bersedia kalau diminta.
"Saya atau (PAS) Pulau Pinang bersedia untuk bekerjasama dengan Lembaga Tatatertib," katanya lagi. -mk
ULASAN GB
Begitulah kisahnya...
Akhirnya KP PAS Pulau Pinang melakukan U-turn dan kini baru bercakap soal "PAS masih dalam Pakatan".
Kan dah labuh muka para penyokongnya seperti Ketua Pemuda PAS Marang, KP-KP Pemuda PAS Selangor dan lain-lain individu yang mempertahankan tindakan Yusni untuk boikot PRK Permatang Pauh sebelum ini.
Selama ini beliau bersama konco-konconya termasuk dari kalangan beberapa pimpinan terutama yang bergelar ulama telah menghentam habis-habisan mereka yang mahu perkukuhkan Pakatan Rakyat seperti tuntutan muktamar.
Malah di dalam pemilihan muktamar kawasan-kawasan yang sedang berlansung, habis semua golongan progresif dicantas, kerana dikatakan menjadi agen PKR dan DAP. Diatur segala strategi di semua peringkat.
untuk hanya menaikkan mereka dari kalangan ustaz disamping mengenepi mereka yang berbaik-baik dengan parti komponen PR.
Seolah-olah PAS dah macam kuat sangat untuk berjuang sendirian.
PR tak rugi apa-apa tanpa PAS, tapi PAS paling banyak kerugian tanpa PR. GB bagi contoh di Selangor pun cukup. Tanpa PR, kerusi PAS Selangor dari 15 akan jadi 5 kerusi sahaja. Bagi kerusi parlimen, tanpa PR, PAS akan jadi seperti dulu-dulu, tinggal 1 atau dua kerusi sahaja. Renung-renungkanlah.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.