`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, January 4, 2017

“PEMAKAN DEDAK ADA DI MANA-MANA” DAN MENYANGGAH HUJAH PENGARAH KOMUNIKASI BN

Tidak dinafikan bahawa tindakan bekas Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohd Zin bersara awal adalah disebabkan terlalu kecewa dan tidak ingin terus menanggung dosa, meskipun tempoh perkhidmatannya masih berbaki kira-kira dua tahun lagi.
Kecewanya beliau bukan atas sebab-sebab peribadi, tetapi kerana keinginan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan seolah-olah telah dihalang oleh pihak lain yang lebih tinggi berbanding dirinya.
Sebagaimana dipetik daripada portal FMT, Bahri berkata, “Saya kecewa kerana kes siasatan SRC International tidak boleh dibawa ke mahkamah sedangkan kes lain tidak menghadapi sebarang masalah.
“Bukan saja kecewa, malah saya rasa amat berdosa kepada 30 juta rakyat Malaysia.”
Kepada Sinar Online pula, Bahri memberitahu, “Sepatutnya saya bersara pada 2018, ada lagi dua tahun tempoh perkhidmatan. Tindakan ini diambil kerana saya kecewa dan berdosa sangat kepada 30 juta rakyat Malaysia.
“Saya tidak mahu berbohong dengan diri sendiri, saya rasa amat berdosa kalau saya masih berkhidmat kerana agama kita secara jelas melarang untuk cenderung kepada kezaliman dan ketidakadilan…cenderung pun tak boleh, apatah lagi terus berkhidmat.”
Lebih dari itu, sebagaimana yang dilaporkan media dua tiga hari yang lalu, Bahagian Operasi Khas SPRM juga sekarang ini semakin dikecilkan saiznya dengan beberapa pegawainya dipindahkan ke bahagian-bahagian lain.
Maka, di mana seriusnya SPRM di bawah kendalian Dzulkifli Ahmad selaku Ketua Pesuruhjaya yang baru mahu membanteras aktiviti jerung-jerung besar yang masih bebas berkeliaran dengan tindakan terbaru itu?
Masihkah Dzulkifli ingat dan berpegang kepada warkah terbukanya sempena 100 hari menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilafazkan dengan penuh semangat pada 8 November 2016 lalu?
Mereka yang jujur, ikhlas dan benar-benar berkhidmat untuk negara serta tiada kepentingan peribadi atau terghairah dengan dedak, jika berada di kedudukan Bahri, pasti akan turut merasa kecewa.
Ia seolah-olah memperlihatkan usaha gigih dan kejujuran mereka terhadap negara langsung tidak diambil kira.
Sudahlah  sebelum ini, ketika melakukan penyiasatan, tugas mereka diganggu dengan serbuan dan rampasan komputer oleh pihak berkuasa yang lain, hasil penyiasatan terhadap kes yang dianggap “straightforward” juga menjadi sia-sia akhirnya.
Hanya pemakan dedak yang tidak berasa apa-apa jika mereka diperlakukan seperti Bahri.
Yang lebih menarik, UMNO dan BN melalui Pengarah Komunikasi Strategiknya, Abdul Rahman Dahlan bukan saja pantas menjawab, bahkan secara terbuka menyangggah apa yang diluahkan oleh Bahri itu.
Ia dengan sendirinya menggambarkan Abdul Rahman yang mewakili UMNO dan BN seolah-olah tidak sealiran dengan pegawai kerajaan yang jujur, amanah dan benar-benar mahu berkhidmat untuk kebaikan negara.
Antaranya Abdul Rahman cuba menggambarkan SPRM hanya berperanan menyiasat dan tugas pendakwaan terletak sepenuhnya di tangan Peguam Negara dan pengasingan kuasa itu bertujuan mengelakkan mana-mana pihak menyalahgunakan kuasa mereka.
Kata beliau, “Tujuannya ialah untuk mengelakkan mana-mana pihak daripada menyalahgunakan kuasa mereka. Ini boleh berlaku jika pihak yang menyiasat juga diberikan kuasa untuk mendakwa. Apatah lagi kalau kuasa untuk mengadili juga diberikan kepada pihak yang sama.
“Kuasa mendakwa diberikan kepada Peguam Negara dan kuasa menghukum diberikan kepada hakim atau mahkamah. Ini dibuat supaya ada elemen “Check and balance” atau “semak dan imbang” dalam sistem perundangan bagi mengelak mana-mana pihak dari menyalahguna kuasa mereka untuk menganiaya.
“Maknanya kalau pihak penyiasat mempunyai niat untuk menganiaya orang yang disiasat, maka pihak yang mendakwa boleh menghalang niat tidak baik itu.
“Kalau pihak penyiasat dan pendakwa pula bersengkokol untuk menganiaya orang yang disiasat dengan mendakwa orang yang disiasat itu, maka pihak mahkamah (hakim) boleh menjadi penghalang kepada niat buruk mereka itu.”
Abdul Rahman juga berkata, tiada pendakwaan bermakna tiada kes?
Benarkah tiada pendakwaan semata-mata kerana tiada kes atau disebabkan faktor-faktor lain yang hanya Peguam Negara saja mengetahuinya?
Kepada Abdul Rahman juga,  apakah dalam penyiasatan kes  Najib Razak yang menerima kemasukan RM42 juta daripada SRC International, benar-benar tidak ada kes serta terdapat sebarang elemen atau niat untuk menganiaya dan bersekongkol di antara pihak yang menjalankan tugas itu?
Melainkan jika terdapat kes yang benar-benar kukuh dan “straightforward”, apakah untungnya bagi pegawai kerajaan mempunyai niat jahat atau cuba menjatuhkan Perdana Menteri sedangkan mereka bukan ahli politik?
Bukankah lebih baik dan selamat jika mereka berdiam diri dan awal-awal lagi tidak melakukan penyiasatan?
Bukankah kerana sayangkan negara, inginkan kebenaran serta takut kepada Tuhan saja, maka seseorang itu sangggup mengambil risiko menyiasat dan mencadangkan pendakwaan terhadap Perdana Menteri?
Sehubungan itu, dalam kes SRC International, antara Bahri yang mengetuai Bahagian Operasi Khas SPRM dengan Peguam Negara yang baru dilantik setelah penjawat lamanya dibuang secara mengejut, siapakah yang sebenarnya bersekongkol?
Abdul Rahman juga cuba memberi gambaran seolah-olah tindakan Bahri yang berasa kecewa kerana kes SRC International tidak dibawa ke mahkamah sebagai tidak rasional kerana pandangan pihak yang menyiasat tidak semestinya betul.
“Hanya kerana Peguam Negara tidak bersetuju dengan rumusan beliau, tidak bermakna Peguam Negara telah melakukan kesalahan dan tidak mempunyai integriti. Saya bagi satu contoh dalam konteks kes yang dihadapkan ke mahkamah rayuan atau mahkamah persekutuan.
“Jika seorang yang dituduh dibebaskan oleh mana-mana mahkamah dan pihak pendakwa tidak berpuas hati dan membawa kes itu ke mahkamah rayuan atau mahkamah persekutuan, kes itu selalunya diadili oleh tiga atau lima orang hakim secara serentak.
“Hakim-hakim yang bijaksana ini kadang-kadang mempunyai pandangan berbeza terhadap fakta-fakta kes yang sama yang dihujah oleh pihak pendakwa dan pihak pembela dalam mahkamah rayuan atau mahkamah persekutuan.
“Ada masanya keputusan mahkamah rayuan atau mahkamah persekutuan ialah dua satu (2-1) atau tiga dua (3-2).
“Kenapa mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam menghakimi kes yang sama?
“Patutkah kita melemparkan tuduhan bahawa hakim yang tidak bersetuju itu adalah seorang hakim yang telah dibeli atau hakim yang tidak ada integriti? Sudah tentu tidak. Kita terima dan redho dengan keputusan mahkamah seadanya.
“Jadi kalau begitu, kenapa Dato Bahri merasakan pandangan beliau terhadap kes SRC itu yang betul dan pandangan Peguam Negara terhadap fakta kes yang sama adalah salah?
“Kalau hakim-hakim mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan, yang kita anggap bijaksana dan terhormat, boleh mempunyai pandangan berbeza keatas kes yang sama, kenapa pula kita mahu mempertikaikan pandangan berbeza dari Peguam Negara terhadap kes yang sama?”
Sekali lagi ternampak jelas bahawa Abdul Rahman hanya mahu mengelirukan rakyat dengan hujah-hujah yang dilontarkannya.
Adakah pandangan berbeza hakim yang bertiga atau berlima boleh disamakan dengan Peguam Negara yang hanya membuat keputusan seorang diri, lebih-lebih lagi jika beliau baru saja dilantik mengisi jawatan itu oleh Perdana Menteri secara mengejut di tengah-tengah ribut siasatan sedang dijalankan?
Kenapa tidak dikekalkan saja Peguam Negara yang lama jika benar-benar percaya dengan perbezaan pandangan?
Lebih dari itu, jika Abdul Rahman benar-benar meyakini kebijaksanaan hakim dan kebebasan mereka membuat keputusan, beliau seharusnya mencadangkan agar kes SRC International yang melibatkan Najib itu dibawa ke mahkamah untuk diadili oleh hakim yang bijaksana, bukannya diputuskan tiada kes oleh Peguam Negara tanpa perbicaraan?
Akhirnya, seperti jawapan ringkas Bahri sebelum beliau dilaporkan akan mengeluarkan kenyataan penuh menjawab pelbagai persoalan mengenai persaraannya, termasuk hujah-hujah Abdul Rahman, “Pemakan dedak ada di mana-mana, di luar sana mahu pun di jabatan-jabatan kerajaan.
“Jangan cabar saya. Saya tahu semua pemberi rasuah dan pemakan rasuah. Pengamal rasuah jangan cuba nak jadi juara di luar sana.”
Syabas Bahri, rakyat tidak sabar untuk menanti langkah seterusnya.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.