`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, February 11, 2017

3 pesakit ‘virus misteri’ sah kena kencing tikus

Menteri kesihatan berkata sebelum itu, mereka bersama 3 lagi yang lain dimasukkan ke Hospital Tanah Merah kerana dipercayai menghidap “virus misteri” selepas berkunjung ke Kajang, Selangor.
subramaniam_tikus_6001
JOHOR BAHRU: Tiga individu di Kelantan disahkan mengalami jangkitan kencing tikus (leptospirosis), setakat semalam, yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian banjir di Tanah Merah, baru-baru ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata sebelum itu, ketiga-tiga mereka bersama 3 lagi yang lain dimasukkan ke wad Hospital Tanah Merah (HTM) selepas dipercayai menghidap “virus misteri” selepas berkunjung ke majlis perjumpaan keluarga di Kajang, Selangor.
Beliau berkata 3 individu lain itu, bagaimanapun masih dirawat di HTM sementara menunggu keputusan pemeriksaan yang dilakukan terhadap mereka.
“Di mana mereka mendapat leptospirosis ini, kita belum dapat pastikan. Tetapi, kalau dilihat kepada masa tanda awal, ada kemungkinan ia bermula di kampung halaman mereka di Tanah Merah sebelum mereka ke Kajang.
“Namun, seperti yang dimaklumkan, Jabatan Kesihatan sedang menyiasat perkara ini bagi menentukan punca sebenar. Pada masa sama, kita juga membuat pemeriksaan terhadap individu lain yang turut mengalami tanda itu bagi memastikan mereka dijangkiti penyakit sama atau sebaliknya,” katanya.
Dr Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Ponggal Muafakat Johor 2017 di Hutan Bandar Mutiara Rini, di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan 40 individu dikuarantin di HTM kerana disyaki diserang virus misteri selepas berkunjung ke Kajang.
Serangan itu turut menyebabkan seorang daripada mereka yang berusia 59 tahun meninggal dunia, namun, setakat ini punca kematiannya masih disiasat disebabkan dia mempunyai sejarah penyakit lain.
“Sejak berlaku banjir, memang terdapat peningkatan dalam kes kencing tikus dan kebetulan mangsa ini tinggal di Tanah Merah yang dilanda banjir.
“Mungkin ia berkaitan, tetapi kita masih perlukan pengesahan dan pemeriksaan Jabatan Kesihatan yang mengambil masa seminggu hingga 2 minggu. Pemeriksaan yang dilakukan merangkumi ujian air kencing, ujian darah dan mengambil sampel di tempat yang disyaki,” katanya.
Dr Subramaniam berkata banjir kebiasaannya akan mengakibatkan wujudnya beberapa penyakit dengan satu daripadanya kencing tikus yang terhasil akibat persekitaran kotor.
Beliau berkata banjir juga boleh mengakibatkan melioidosis iaitu sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan bakteria pada tanah yang dibawa oleh banjir dan apabila kering, akan menjangkiti saluran pernafasan manusia.
Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu risau terhadap kes virus Influenza A (H1N1) yang dilaporkan menyerang 2 murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Tengkera 2, Melaka Tengah, Melaka, semalam.
“Pada keseluruhannya, kita (kementerian) mempunyai keupayaan untuk mengesan penyakit dan memberi rawatan sewajarnya. Apa yang lebih penting, kita kena mengamalkan ciri kebersihan seperti mencuci tangan, mengambil makanan yang bersih dan sebagainya,” katanya.
Berkenaan hasil siasatan suruhanjaya siasatan bebas yang ditubuhkan bagi mengesan punca kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini yang meragut 6 pesakit Oktober lepas, Dr Subramaniam berkata ia masih belum lengkap dan dijangka mengambil masa sebulan lagi untuk disiapkan.
“Tetapi, kita sudah menerima laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan daripada laporan itu, kebakaran dinyatakan bermula daripada kapasitor di dalam lampu dalam wad.
“Selepas kapasitor itu mencapai suhu yang terlampau tinggi, ia terbakar lalu terkena bahan yang mudah terbakar dan merebak,” katanya.-FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.