`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, June 16, 2017

Mengapa guru tidak halang pembuli Nhaveen?

Peguam dan aktivis kanak-kanak berkata sekolah dan ibu bapa perlu menghentikan budaya buli kerana ia boleh membawa kesan meluas.
Sharmila-Sekaran-3

PETALING JAYA: Aktivis kanak-kanak Sharmila Sekaran mempersoalkan mengapa para guru di bekas sekolah T Nhaveen mengabaikan kejadian buli semasa mangsa masih di bangku sekolah.
“Adakah mereka cuba mendekati dan membantu beliau selepas salah seorang daripada mereka dilaporkan berkata Nhaveen menjadi sasaran ahli kumpulan samseng?”
Walaupun Nhaveen mengabaikan tindakan buli itu, para guru tidak sepatutnya merasakan isu itu sudah berakhir, kata pengerusi Suara Kanak-Kanak itu, yang juga seorang peguam.
“Adakah para guru bersemuka dengan pembuli terbabit apabila mereka membuli Nhaveen?
“Mereka tidak sepatutnya merasakan masa akan ‘memulihkan’ mangsa yang dibuli.”
Awal hari ini media melaporkan seorang guru di bekas sekolah Nhaveen berkata penyerang mangsa seorang pelajar yang diketahui menyusahkan hidup Nhaveen semasa di sekolah lagi.
“Ada seorang budak lelaki yang menyerang beliau. Saya tidak mahu menamakannya, tetapi dia sudah lama membuli Nhaveen.
“Ibu Nhaveen juga mengenali pelajar itu. Pendekkan cerita, dia ni memang bawa masalah,” kata guru itu.
Pada 9 Jun lepas, Nhaveen dan kawannya T Previin, 19, yang bekerja sebagai promoter di Aeon Queensbay, pulang ke rumah di Gelugor selepas syif malam mereka.
Selepas singgah di gerai burger berhampiran rumah mereka, mereka diganggu 2 pemuda bermotorsikal, yang merupakan bekas rakan sekolah mereka.
Pemuda berkenaan terus mengganggu Nhaveen kerana bersifat keperempuanan. Mangsa mengabaikan mereka tetapi Previin berasa jengkel.
Pemuda terbabit menganggap tindakan mangsa sebagai ancaman lalu memanggil 3 kawan mereka sebagai kumpulan sokongan.
Previin sempat melarikan diri sebelum kumpulan sokongan itu tiba.
Mereka kemudian membawa Nhaveen ke padang di Jalan Kaki Bukit, 5 minit dari situ, di mana mereka didakwa menderanya.
Mereka memukul Nhaveen dengan topi keledar dan kemudian didakwa memasukkan botol atau kayu ke dubur mangsa.
Keluarga mendakwa adik perempuan Nhaveen juga diganggu selepas kejadian itu.
Polis diminta meningkatkan kawalan keselamatan di Hospital Pulau Pinang sementara Previin dirawat untuk kecederaannya. Lima pemuda ditangkap untuk disiasat.
Selain Nhaveen, satu lagi kes buli yang menjadi perhatian rakyat adalah kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang dikatakan dipukul sehingga mati selepas dituduh mencuri komputer riba.
Zulfarhan, 21, mati di Hospital Serdang pada 2 Jun, selepas dia dimasukkan ke wad dengan kesan lecur dan kecederaan pada tubuh.
Lima pelajar UPNM didakwa kerana membunuh kadet tentera laut itu semalam sementara seorang lagi dituduh bersubahat.
Ketika ditanya sama ada Malaysia memerlukan undang-undang anti-buli untuk menghalang tragedi berulang, Sharmila berkata Kanun Keseksaan sudah memadai untuk menangani kes serangan.
Sebaliknya, beliau mengulangi seruan kepada kementerian pendidikan untuk mengiatkan kempen anti-buli di sekolah.
“Kita tak perlukan undang-undang khusus. Kita perlukan satu hari di mana pelajar dan guru bersama dan menekankan toleransi sifar terhadap buli.
“Ibu bapa, guru dan pelajar sepatutnya boleh menangani buli.”
Pensyarah undang-undang Shamsher Singh Thind berkata mereka yang menyerang Nhaveen perlu dituduh membunuh kerana tindakan mereka menyebabkan mangsa terlantar di hospital dan kemudian meninggal dunia.
“Tiada sebab untuk polis melengahkan kes itu dikelaskan sebagai bunuh,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai sikap para guru Nhaveen yang mengabaikan buli di sekolah, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Harry Tan tidak mahu mengulas isu itu kerana kes kini dalam siasatan polis.
Awal minggu ini, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata kementerian pendidikan dengan kerjasama para guru dan kaunselor perlu mengenalpasti pelajar yang cenderung bertindaK ganas.
Beliau berkata ia akan membolehkan program kaunseling intensif dijalankan untuk membentu individu berkenaan sebelum mereka merosakkan diri sendiri dan orang lain.
Aktivis sosial itu berkata buli dan keganasan dalam kalangan pelajar dan remaja perlu diawasi kerana budaya itu semakin berakar dalam masyarakat. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.