`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, October 1, 2017

FASTAQIM 2.0: PERHIMPUNAN BESAR DENGAN IMPAK YANG KECIL

WALAUPUN berjaya menarik hampir 200,000 penyokong sejak dua hari lalu, perhimpunan besar PAS di Kuala Terengganu tidak dapat menyampaikan mesej kepada bukan Islam dan umat Islam lain yang bukan ahli.
Hanya saiz hadirin menjadi satu-satunya kejayaan perhimpunan ini, membuktikan sekali lagi yang parti Islam berusia 66 tahun itu adalah parti kedua negara terbesar dari segi bilangan ahlinya.
Bagaimanapun, Fastaqim 2.0 yang diadakan lebih dua hari di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, di Terengganu, gagal menyampaikan dua perkara.
Pertama, pengumuman yang digembar-gemburkan bahawa beberapa tokoh besar nasional akan menyertai parti itu tidak menjadi kenyataan.
Dua bekas pegawai perkhidmatan awam, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rahim Che Daud dan Timbalan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zakaria Jaafar, sebenarnya bukanlah “sesiapa” di peringkat nasional.
Kedua, ia juga tidak berjaya menyampaikan mesej atau platform berinspirasi yang boleh memberikan faktor “wow” dan membezakannya daripada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).
Ketika BN bercakap mengenai rekod dan kestabilannya selama 60 tahun, dan PH mencetuskan agenda pembaharuannya, PAS hanya mampu kembali kepada mesej Islam lamanya pada 1980-an yang mahu melaksanakan Islam dan hudud.
Parti itu menyebut mengenai Pelan Induk Negara Sejahtera tetapi hanya menerangkan sedikit sahaja dari segi perincian mengenai dasar yang ingin dijalankan.
“Perhimpunan ini tidak memperlihatkan keupayaan PAS untuk memimpin gabungan ketiga yang boleh mencabar BN atau PH,” kata penganalisis politik Hisomuddin Bakar.
“Ia lebih mempamerkan jentera dan keupayaannya untuk menggerakkan ribuan ahli untuk melakukan apa sahaja yang dikatakan pimpinan mereka.”
Tiada keraguan tentang jentera PAS dan asas sokongan tegarnya kerana ia adalah parti kedua terbesar dari segi keahlian, yang kini berjumlah lebih 880,000 orang.
Pihak penganjur Fastaqim 2.0 berkata perhimpunan itu juga akan melancarkan blok politik ketiga, Gagasan Sejahtera Rakyat (Gagasan), dan menjadikannya pencabar sebenar terhadap kuasa persekutuan seperti PH dan BN.
Tetapi tiada faktor “wow” sebenar yang akan menjadikan Gagasan menonjol, kata Hisommudin daripada pusat pemikir Ilham Centre.
Sebaliknya, ia kembali kepada platform lama yang ingin mewujudkan jenama Islamnya sendiri dan akan menentang sebarang bentuk berlawanan dengannya seperti “Better Beer Festival” yang baru dibatalkan.
Platform ini sama seperti yang digunakan pada tahun 1980-an dan awal 1990-an dengan sedikit kejayaan bagi mendapatkan sokongan umum yang lebih meluas.
Tetapi kali ini, PAS telah menggabungkan seruannya “untuk menubuhkan sebuah negara Islam” dengan idea umat Islam Melayu ditindas walaupun di negara mereka sendiri.
Dalam ucapan perhimpunannya, Ketua Penerangan PAS dan Pengarah Fastaqim 2.0, Nasrudin Hassan berkata penentangan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 membuktikan “Islam sedang dipinggirkan”.
Akta 355 adalah rang undang-undang persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan syariah.
Layanan yang diterima umat Islam diharap Nasrudin memacu “gelombang hijau” Islam yang akan mendorong PAS untuk berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Hisomuddin berkata dengan membangkitkan mentaliti ditindas, PAS berhasrat untuk mendapatkan lebih banyak undi daripada umat Islam yang selama ini menyokong Umno tetapi sudah tawar hati dengan ketuanan Melayu keterlaluan dan tuduhan rasuah.
“Mesejnya adalah PAS juga parti Melayu-Islam yang akan menjaga hak dan kepentingan mereka. PAS perlu menarik sokongan Melayu daripada BN dan PH dalam PRU14 bagi menggantikan kehilangan sokongan daripada bukan Islam.”
– https://www.themalaysianinsight.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.