`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 6, 2017

SEKOLAH AGAMA SWASTA LEBIH DIYAKINI DARI SEKOLAH KERAJAAN

DARI SUDUT LAIN
Heboh beberapa minggu ini tentang kejadian tahfiz terbakar yang mengorbankan 23 orang pelajar termasuk 2 daripada guru. Walaupun akhirnya polis memaklumkan hasil siasatan adalah berpunca dari perbuatan khianat, berbagai pihak sebelumnya saling memberikan respon. Ada yang menyalahkan pengurusan tahfiz, ada juga yang mengkritik kerajaan kerana tidak memberikan penumpuan kepada institusi pendidikan swasta terutama pendidikan agama di negara ini.
Jika dilihat dari sudut yang lain, sekolah-sekolah agama termasuk tahfiz semakin mendapat tempat di hati ibubapa. Semakin banyak maahad dan madrasah persendirian yang ditubuhkan berbagai pihak. Jika dahulu ia hanya tertumpu di negeri Pantai Timur dan juga Kedah, tetapi kini institusi seumpama itu semakin berkembang hingga ke negeri Pantai Barat dan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Ibubapa yang memilih sekolah agama persendirian ini terdiri dari berbagai latarbelakang dan taraf kehidupan. Bukan setakat orang biasa, malah orang kenamaan seperti datuk-datuk, pemimpin negara, selebriti dan ahli perniagaan, turut memilih sekolah-sekolah seperti ini. Bukan sahaja dari bangsa Melayu, malah kaum Tionghua, India dan berbagai suku dari Sabah dan Sarawak menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama persendirian.
Ada antara sekolah ini mengenakan yuran yang lebih mahal dari sekolah biasa yang mendapat tajaan kerajaan, tetapi ibubapa tidak kisah dan masih memilihnya. Walaupun fasiliti yang disediakan tidak semewah sekolah kerajaan, ia tidak menjadi penghalang untuk sekolah agama terus mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Fenomena ini menunjukkan bahawa sebahagian rakyat Malaysia tidak begitu meyakini sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan. Mereka melihat model yang hanya menumpukan tentang pengajian bersifat keduniaan semata-mata tidak mampu membentuk peribadi anak-anak ke arah yang lebih baik. Kebanyakan kes-kes juvana berlaku di kalangan pelajar yang menerima pendidikan dari sekolah-sekolah kerajaan. Jika dinilai perangai dan tingkahlaku kanak-kanak dan remaja sekolah hari ini, keperibadian mereka semakin teruk walaupun kerajaan seringkali mengumumkan pencapaian akademik semakin baik dari setahun ke setahun.
Dari sudut kepintaran akal pula, pelajar-pelajar yang menerima pengajian agama dari sekolah persendirian ini juga tidak kurang hebatnya. Sebagai contoh, pada tahun lepas pelajar dari sekolah agama mendominasi anugerah dalam pertandingan robotik yang diadakan di Singapura. Secara tidak langsung mereka telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Selain itu, nama negara turut diharumkan oleh ramai lepasan institusi pendidikan swasta ini dalam banyak pertandingan tilawah mahupun hafazan di peringkat antarabangsa. Malaysia sering mendapat tempat tertinggi setiap kali diadakan musabaqah dan pertandingan mengatasi peserta-peserta lain termasuk di Timur Tengah.
Melihat kepada sambutan dan permintaan masyarakat terhadap institusi pendidikan agama sebegini, nyata ia sebenarnya bukanlah sekolah bertaraf kelas kedua di negara kita sebaliknya juga boleh dianggap sebagai mainstream. Justeru kerajaan terutama kementerian pendidikan tidak lagi mengabaikannya dan turut menjadikannya sebagai fokus untuk membantu dan mempertingkatkan lagi taraf sekolah-sekolah agama persendirian di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.