`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, December 10, 2019

Calon polis perlu ambil ujian agama, moral

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Abd Rahim Jaafar berkata, penekanan nilai agama dan moral bertujuan menangani kes salah laku dalam kalangan warga polis, walaupun jumlah kes sedemikian tidak sampai 1%.
KUALA TERENGGANU: Setiap calon anggota dan pegawai polis bagi pengambilan akan datang perlu melepasi ujian agama serta moral.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Abd Rahim Jaafar berkata, ia bagi memastikan semua anggota dan pegawai polis baru memiliki nilai murni serta berintegriti tinggi.
“Tahun depan kita unjurkan pengambilan 6,000 anggota dan kira-kira 500 pegawai untuk mengisi perkhidmatan.
“Selain ujian psikometrik dan sikap, setiap calon perlu menjalani dan melepasi ujian agama bagi yang Muslim serta ujian moral bagi bukan Muslim secara dalam talian, dan juga ketika sesi temuduga sebelum diterima untuk latihan.
“Polis ini tugas dia menjaga keselamatan orang ramai, tetapi macam mana nak jaga jika dia pun bermasalah,” katanya selepas menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di sini, hari ini.
Rahim berkata, penekanan nilai agama dan moral itu dibuat bagi menangani kes salah laku dalam kalangan warga polis, walaupun jumlah kes seumpama itu sangat kecil, iaitu tidak sampai 1%.
Seramai 300 anggota, pegawai serta pesara polis menerima anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara yang disampaikan Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar. Majlis itu turut dihadiri Ketua Polis Terengganu, Aidi Ismail.
Selain penekanan terhadap asas agama dan moral, Rahim berkata, polis juga sedang mendapatkan bantuan pihak universiti untuk mengkaji teknologi yang dapat mengesan calon bermasalah dengan dadah lebih awal.
“Ini kerana kita dapati ada anggota polis yang ditangkap berkaitan kes dadah, sebenarnya sudah terlibat lebih awal, iaitu sebelum memasuki perkhidmatan polis.
“Perkara seperti ini yang kita cuba elakkan kerana ia memberi imej serta reputasi buruk kepada polis, walaupun jumlah sangat kecil.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.