`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, December 30, 2019

‘Saya Melayu tapi saya bangga boleh bercakap, menulis Bahasa Mandarin’

Nurfatihah menjadikan peribahasa ini sebagai kekuatan untuk dirinya agar tidak berputus asa mempelajari sesuatu perkara.

Mempelajari bahasa tambahan bukan suatu yang merugikan.

Malah ia dikira sebagai kelebihan yang ada pada diri seseorang jika mempelajari banyak bahasa tambahan.
Pada permulaan, mungkin ia tidak dianggap sebagai kepentingan, namun kita perlu percaya bahawa banyak manfaat dan kegunaannya di masa hadapan.
Itulah pandangan dan pegangan Nurfatihah Ali apabila pada asalnya dia tidak mahu mempelajari bahasa Mandarin kerana fikir ia sekadar buang masa dan tiada kaitan dengan kehidupannya.
Namun tanggapan itu sama sekali salah apabila pekerjaannya kini menjurus kepada keperluan tiga bahasa yang perlu dikuasainya iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
“Saya pada ketika itu tidak berfikiran jauh seperti apa yang ibu bapa saya fikirkan, pada saya sudah cukup hanya mempelajari Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Lagi pun saya memang ada asas dalam tulisan jawi dan Bahasa Arab.
Ibu bapa Nurfatihah, Ali Muda dan Hasmah Ali menjadi pendorong untuk dia terus mendalami Bahasa Mandarin.
“Tetapi mereka (ibu bapa) lebih tahu tentang keperluan masa hadapan yang lebih baik untuk anak mereka. Jadi saya dan adik-beradik telah dihantar ke sekolah Cina untuk belajar bahasa Mandarin,” katanya kepada FMT.
Nurfatihah kini bekerja sebagai Eksekutif Industri Kebersihan di sebuah syarikat perunding, ESH Sdn Bhd yang memantau dan menilai perkhidmatan syarikat berkaitan Kebersihan Alam Sekitar.
Ia memerlukan dirinya untuk membuat terjemahan daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Mandarin atau sebaliknya berikutan majoriti klien syarikat tersebut berbangsa Cina.
Nurfatihah ketika bertugas di syarikat klien bagi memantau pencemaran bunyi sewaktu operasi dijalankan.
Nurfatihah yang telah berkhidmat selama dua tahun di syarikat itu, merasakan dirinya mempunyai kelebihan yang tidak ada pada diri orang lain.
“Saya seorang pekerja berbangsa Melayu yang boleh membuat terjemahan dengan baik dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Mandarin, atau Bahasa Mandarin kepada Bahasa Inggeris. Setiap kali saya ditugaskan di mana-mana kilang, saya akan membuat laporan dalam pelbagai bahasa seperti yang majikan inginkan,” ujarnya.
Jelas Nurfatihah dalam hal ini, dia tidak mempunyai masalah besar tentang terjemahan bahasa, malah turut dianggap sebagai “orang penting” dalam syarikat tersebut.
Malah dia tidak menafikan turut menerima gaji yang agak lumayan berbanding pekerja yang lain disebabkan kelebihan yang dimilikinya.
Selain menulis, dia juga fasih berbahasa Mandarin jika dihantar untuk bertugas di sebuah syarikat Cina, yang memerlukan kesefahaman dalam apa jua urusan kedua-dua pihak.
“Apa yang kita belajar ni kita perlu praktikkan, kita tak boleh simpan dan tidak amalkan kerana ia akan menyebabkan kita lupa. Tetapi saya sehingga hari ini masih ingat apa yang diajar di sekolah dulu dan saya amalkan.”
Mengulas lanjut Nurfatihah berkata jika dilihat dalam permohonan kerja dalam talian, kriteria yang sering diperlukan adalah mereka yang mempunyai kemahiran dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.
“Saya sudah kuasai kedua-duanya, jadi saya tidak perlu buang masa untuk belajar di peringkat awal tentang maksud bahasa tersebut,” katanya lagi.
Bagaimanapun, gadis berusia 28 tahun yang berasal dari Paka, Terengganu ini dalam masa yang sama turut berkata meskipun tulisan Jawi tidak dipraktikkan seperti bahasa Mandarin dalam dunia pekerjaan, tetapi ia adalah seni dan kelebihan pada diri masing-masing.
Nurfatihah menegaskan mempelajari pelbagai bahasa sebenarnya tiada isu yang perlu diperbesarkan, malah hati perlu terbuka tanpa bersikap “perkauman”.
“Tidaklah kita akan terpinga-pinga jika kita membaca sesuatu perkataan dalam tulisan Jawi dan kita tidak faham. Sekurang-kurangnya asas tulisan Jawi itu kita ada.
“Jangan pernah ada rasa lokek belajar ilmu baru untuk diri sendiri, saya sentiasa ingat pada pesanan ibu saya sehingga hari ini.
“Sebab itu saya selalu pesan kepada pelajar sekolah khususnya, belajar bahasa tambahan itu perlu sebagai kegunaan diri sendiri walaupun ia tidak digunakan sekarang tetapi ia cukup bermanfaat suatu hari nanti,” katanya.
Nurfatihah dalam masa yang sama berkata mempelajari bahasa selain sepatutnya tidak perlu dijadikan isu besar yang boleh menggugat mana-mana perkauman, malah sepatutnya ia boleh dijadikan sebagai kelebihan pada diri sendiri di kemudian hari. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.