PETALING JAYA: Amalan memberi dan menerima rasuah dalam kalangan penjawat awam tidak lagi terhad kepada pakej-pakej membabitkan wang, hiburan serta seks, tetapi turut melibatkan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, tindakan memalukan itu berlaku kerana penerima-penerima rasuah tidak mampu mengawal nafsu hingga menyebabkan mereka terjebak dalam aktiviti tidak bermaruah tersebut.
“Apa yang mereka terima sebagai gaji dan pendapatan tidak pernah cukup untuk memuaskan nafsu mereka. Ia boleh dilihat menerusi tindakan orang yang mengeksploitasikan seseorang itu bagi tujuan mendapatkan kepentingan mereka.
“Bukan sahaja pakej-pakej bermain golf dan sebagainya, malah pergi umrah dan haji juga boleh digunakan. Ia amat memalukan kerana diselubungi ciri Islamik dan sebagainya tetapi apa yang dibuat langsung tidak patut dilakukan,” katanya dalam wawancara bersama sebuah stesen televisyen swasta, malam tadi.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki mendedahkan, terdapat ramai pegawai kerajaan daripada sektor perolehan dan penguatkuasaan terlibat menerima rasuah berbentuk ‘pakej’ tertentu yang kebanyakannya melibatkan perkhidmatan hiburan dan seks.
Latheefa turut memaklumkan, bagi mengekalkan mutu dan integriti pegawai-pegawai SPRM, pihaknya sendiri tidak akan membiarkan mana-mana pegawainya bertugas di sesuatu tempat dalam tempoh masa yang lama, kerana dibimbangi terdorong melakukan salah laku.
“Sudah tentu, di peringkat dalaman kami melihat beberapa polisi dan akan sentiasa pantau pegawai kami sendiri, iaitu polisi membuat pertukaran supaya tidak ada pegawai yang berada di sesuatu tempat untuk tempoh terlalu lama, kerana mungkin akan berlaku rasuah.
“Di peringkat dalaman, kami akan lihat semula apakah yang berlaku, setakat ini SPRM sudah melalui beberapa transformasi bagi mengelakkan salah laku khususnya dalam kalangan anggota SPRM sendiri. Kami perlu kekalkan imej ini (bebas dari rasuah),” katanya.
Sejak dilantik 6 bulan lalu, Latheefa turut menegaskan suruhanjaya itu diberi kebebasan menjalankan siasatan tanpa mendapat arahan daripada mana-mana pihak. Hal ini kerana, siasatan yang dijalankan SPRM bukan sahaja melibatkan rasuah dilakukan bekas pemimpin tetapi pihak yang berkuasa ketika ini.
“Kita boleh lihat dalam tempoh setahun ini, banyak kes yang dibawa melibatkan orang-orang berpengaruh. SPRM meneruskan siasatan dan melakukan pengumpulan bukti dengan penuh keberanian, bukan perkara mudah untuk lihat mereka dibawa ke muka pengadilan.
“Kita perlu kekalkan kebebasan, jika ada tekanan dan maklumat berbentuk ugutan, kami diberi kebebasan yang penuh untuk lakukan siasatan bukan sahaja kepada bekas pemimpin tetapi juga orang yang mempunyai kuasa pada masa sekarang,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.