KUCHING: Ratusan pengunjung yang sedang membeli-belah persiapan Krismas di VivaCity Mall, Jalan Wan Alwi panik seketika apabila 2 kereta terbakar di tingkat 4 bangunan perniagaan itu hari ini.
Kejadian yang mulai disedari kira-kira pukul 2.00 petang itu memaksa pengurusan pusat membeli-belah berkenaan meminta semua pengunjung mengosongkan bangunan berkenaan bagi membolehkan pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran berkenaan.
Seramai 10 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Tabuan Jaya bergegas ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran yang melibatkan kereta jenis Proton Persona dan Perodua Myvi itu kira-kira sejam kemudian.
Pasukan penyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahman Osman melaporkan tiada mangsa terlibat dan siasatan dimulakan bagi mengenalpasti punca kebakaran itu.
Sementara itu, satu mesej yang tersebar di media sosial dikatakan dari pengurusan pusat membeli-belah itu mengesahkan kejadian berkenaan, namun berkata operasi diteruskan seperti biasa selepas kebakaran itu dipadamkan.
Kejadian kebakaran di pusat membeli-belah itu menjadi perhatian umum ekoran ia menjadi tumpuan khususnya di kalangan pengunjung yang hendak membuat persiapan menyambut Krismas esok.
Ia juga kebetulan berlaku kira-kira setahun selepas satu insiden letupan gas dan kebakaran di sebuah lagi pusat membeli-belah,CityOne Megamall, yang jaraknya kurang 3km dari VivaCity Mall.
Kejadian letupan di CityOne Megamall pada 4 Dis tahun lepas mengorbankan 3 nyawa dan 26 orang tercedera. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.