`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 8, 2019

Tidak terima Muafakat Nasional, ramai ahli PAS Kelantan, Terengganu sertai Amanah, kata Mat Sabu

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, tidak mudah bagi ahli PAS untuk menerima kerjasama parti itu dengan Umno melalui Muafakat Nasional.
SHAH ALAM: Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, parti itu kini menerima masuk ramai ahli baru daripada PAS, terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah susulan kerjasamanya dengan Umno.
“Ahli yang paling ramai di Pasir Mas, kami pun berasa terkejut,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Konvensyen Amanah Nasional di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Katanya, bukan mudah bagi kebanyakan ahli PAS untuk menerima kerjasama parti mereka dengan Umno melalui Muafakat Nasional.
Jelas Mohamad, ahli PAS sudah dididik untuk membenci Umno sejak sekian lama, maka apabila tercetusnya piagam MN membuatkan mereka bertindak meninggalkan parti.
Inisiatif Muafakat Nasional merupakan platform rasmi kerjasama antara Umno dan PAS yang dimeterai pada 14 Sept lepas, sekali gus menamatkan persengketaan puluhan tahun antara 2 parti Melayu terbesar itu.
“Sehingga tahap menggelar Umno sebagai kafir,” katanya.
Sebelum itu, dalam ucapan penggulungannya pada konvesyen tersebut, Mohamad mengingatkan pimpinan dan perwakilan parti itu agar sentiasa menyantuni rakan-rakan lama daripada PAS.
“Kita tinggalkan PAS, tapi jangan tinggalkan ahli-ahli PAS.
“Kalau sempat, kita pergi ziarah.”
Beliau menarik perhatian hadirin dengan menceritakan pengalaman menziarahi seorang bekas ahli Majlis Syura PAS yang pernah bersama-samanya ketika dalam parti tersebut.
Kata Mohamad, individu itu memegang erat tangannya dan menyebut, “menteri kau sekarang, ya?”
Tambahnya, beliau dapat merasai kasih dan sayang yang terpancar dari pandangan dan sentuhan bekas rakan seperjuangannya itu.
“Saya yakin bekas presiden lama saya pun masih sayang kat saya.
“Sebenarnya, saya pun masih sayang kat dia, tapi tak tahu dia tahu ke tidak saya sayang kat dia,” katanya, merujuk kepada presiden PAS Abdul Hadi Awang, disambut gelak tawa hadirin.
Sementara itu, Mohamad turut memberitahu, beliau tidak dapat berinteraksi dengan lebih kerap bersama ahli dan pimpinan sejak diangkat menjadi menteri pertahanan.
Katanya, sebagai seorang menteri beliau dikelilingi dengan tentera dan pengawal peribadi.
“Saya bergerak banyak guna helikopter dan jet tentera. Bila saya mendarat satu tempat, jadi kuranglah berinteraksi dengan ahli dan penyokong.
“Program dengan tentera pula tertutup maklumlah kem tentera tak boleh masuk mudah berbanding tempat lain,” katanya.
Semalam, ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sebulat suara mengekalkan Mohamad sebagai presiden parti itu bagi penggal 2019-2022.
Selain Mohamad, parti itu juga mengekalkan Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden.
Selepas 4 tahun ditubuhkan ini merupakan kali pertama Amanah mengadakan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasionalnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.