`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, January 5, 2020

Nurul Izzah berpengalaman angkat isu reformasi pendidikan

a close up of a scarf on her head: NURUL Izzah. FOTO Fail NSTP© Provided by Harian Metro NURUL Izzah. FOTO Fail NSTPamir_hamid@mediaprima.com.my
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) dijangka membangkitkan isu desas-desus Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bakal dilantik sebagai Menteri Pendidikan baharu dalam mesyuarat di ibu pejabat parti itu Rabu depan.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan antara kepemimpinan parti berhubung perkara itu apabila nama Nurul Izzah antara calon sesuai diperkatakan sebaik Dr Maszlee Malik meletak jawatan di kementerian kanan itu berkuat kuasa semalam.
Menurutnya, anak sulung Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mempunyai pengalaman dalam isu mengangkat agenda reformasi pendidikan.
“Sebelum ini antara perkara yang beliau tekankan adalah tahap membaca dalam kalangan anak-anak terutama miskin bandar.
“Itu menjadi fokus menerusi kedudukan Malaysia dalam carta Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), ada yang diusahakan beliau (Nurul Izzah) sendiri sewaktu Ahli Parlimen di Lembah Pantai dahulu.
“Saya tahu kerana turut terbabit dalam program tuisyen contohnya yang masih diteruskan hingga ke hari ini. Saya lihat beliau ada pengalaman dapat membantu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Fahmi berkata, pada peringkat awal selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Nurul Izzah turut membabitkan diri dalam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Katanya, TVET penting dalam pendidikan memandangkan pasaran kerja sentiasa mengharapkan lebih ramai pelajar lepasan TVET berkelayakan untuk masuk ke pasaran kerja.
“Apa pun, saya melihat siapa sahaja yang akhirnya dilantik untuk pegang jawatan Menteri Pendidikan ada tanggungjawab yang besar dan berat.
“Ini kerana isu pendidikan adalah satu isu yang cukup dekat di hati ramai ibu bapa dan rakyat Malaysia amnya. Masa depan anak-anak tidak boleh dipermainkan atau diperlekehkan, sebaliknya perlu diutamakan.
“Terpulang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menetapkan sesiapa sahaja untuk menjadi Menteri Pendidikan,” katanya.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sesiapa sahaja yang memegang jawatan Menteri Pendidikan mesti memahami secara menyeluruh manifesto PH terutama berkait dengan pendidikan
“Jadi mana-mana yang belum dilaksana atau yang sedang dilaksana oleh mantan Menteri Pendidikan perlu diterus dan dipercepatkan.
“Kedua, isu yang dihadapi guru dan pelajar terutama dari segi prasarana itu perlu diutamakan,” katanya.
Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan ulasan Nurul Izzah belum berhasil kerana gagal dihubungi.  - nst

1 comment:

  1. Tak payah buang masa lah Izzah. Kerja dengan mahathir adalah kerja buang masa sahaja.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.